Ramai menderita selepas bersara!

SELEPAS bersara, bayangkan apa yang boleh dilakukan dengan ‘gaji’ bulanan sebanyak RM208 bagi menanggung kehidupan seharian selama 20 tahun atau 240 bulan termasuk terpaksa melunaskan hutang pinjaman kereta, perumahan, pinjaman peribadi, keperluan diri sendiri dan keluarga.

Lebih teruk lagi sekiranya masih terpaksa menanggung anak-anak yang sedang belajar, melunaskan saki-baki hutang perkahwinan hebat ‘wedding of the year’, kos tinggi rawatan perubatan secara ‘pakej’ – kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Keadaan yang menyesakkan nafas ini secara khususnya banyak melibatkan majoriti pekerja swasta, berbeza dengan rakan penjawat awam lain yang mampu menarik nafas lega kerana masih mempu­nyai talian hayat duit pencen.

Menurut statistik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebanyak 69 peratus pencarumnya yang berusia 54 tahun pada 2013 mempunyai simpanan hari tua di bawah RM50,000 dan lebih tragik lagi apabila majoriti daripada mereka menghabiskan simpanan itu dalam tempoh antara tiga dan lima tahun sahaja.

Bukan secara sengaja penulis memilih tempoh sehingga 20 tahun tetapi ia bersebab kerana hasil kajian terkini purata jangka hayat penduduk negara ini ialah 75 tahun, iaitu kira-kira 20 tahun selepas bersara pada usia 55 tahun.

Oleh itu, amat beruntung bagi pesara yang turut mempunyai simpanan hari tua selain daripada KWSP, sekurang-kurangnya mampu menampung sedikit-sebanyak keperluan hidup. Persoalannya, ramai dalam kalangan penduduk negara ini beranggapan bahawa simpanan KWSP adalah mencukupi, justeru tidak memerlukan simpanan lain.

Situasi ini sebenarnya amat kritikal kerana sekiranya apabila mencapai usia 50-an baharu tersedar, semuanya agak terlambat untuk melakukan sesuatu. Melainkan langkah awal dilakukan pada seawal usia 30-an, namun yang menjadi masalahnya ramai golongan muda ini kebanyakannya tidak terfikir untuk merancang awal sebagai persediaan menghadapi hari tua masing-masing.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP bagi pengurusan perancangan dan strategi, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias memaklumkan bahawa 23 peratus daripada pencarum berusia 54 tahun mempunyai simpanan asas kira-kira RM196,000 yang bermakna jika dibahagikan kepada 240 bulan, jumlah bulanan yang bakal diperoleh ialah kira-kira RM800.

Namun jumlah itu akan menjadi realiti sekiranya pencarum sanggup menahan seketika nafsu dan memilih untuk membuat pengeluaran bulanan. Bagi yang memilih pengeluaran semua sekali atau sebahagian – lain pula ceritanya.

“Masalah ini bukannya berlaku terhadap pencarum KWSP sahaja tetapi turut melibatkan majoriti kumpulan rakyat lain, contohnya daripada statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Program Pengurusan Kredit mencatatkan daripada 200,000 pelanggannya, 10 peratus daripada menghadapi masalah kewangan kritikal.

“Persepsi bahawa simpanan da­lam KWSP sudah memadai adalah silap. Secara formulanya, 30 peratus daripada pendapatan bulanan perlu dijadikan sebagai simpanan, tetapi ramai yang tidak sanggup melakukannya kerana kekangan tuntutan lain yang ditambah lagi faktor luaran seperti inflasi.

“Kaedahnya seperti mudah iaitu apabila dapat gaji, sebanyak 30 peratus diagihkan untuk simpanan dan selebihnya barulah dibelanjakan, namun apa diamalkan oleh majoriti penduduk ialah dapat gaji, ditolak untuk perbelanjaan dan bakinya barulah disimpan, itu pun jika ada,” katanya di sini baru-baru ini.

Sedikit maklumat untuk dimanfaatkan bersama, jumlah pengeluaran simpanan KWSP pada suku ketiga tahun ini mencecah RM8.5 bilion dengan 413,827 permohonan diluluskan. Pengeluaran fleksibel umur 55 tahun kekal sebagai pengeluaran tertinggi dengan RM1.7 bi­lion berbanding RM1.53 bilion pada suku tahun sama tahun lalu iaitu kenaikan sebanyak 11 peratus.

Ahli yang memilih untuk mengeluarkan simpanan KWSP melalui pengeluaran penuh umur 55 tahun pada tempoh sama juga meningkat sebanyak 2.74 peratus kepada RM1.63 bilion dengan 40,931 permohonan diluluskan berbanding RM1.60 bilion pada suku ketiga tahun lalu.

Isunya di sini ialah perlunya ke­sedaran merancang kewangan sejak daripada awal lagi, tidak dapat tidak, langkah ini amat perlu dilakukan, melainkan kerajaan mem­punyai satu pelan mapan jaringan keselamatan kebajikan sosial terutama bagi warga emas bekas kakitangan swasta atau yang be­kerja sendiri.

Sehubungan itu, kurikulum khu­­sus mengenai perancangan kewangan perlu dijana sejak daripada peringkat akar umbi lagi, termasuk diwajibkan pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Kesedaran tentang kelebihan menabung perlu kembali dirakyatkan, perbelanjaan mengikut keperluan perlu dimantapkan.

Persepsi dalam kalangan ge­ne­rasi muda yang menganggap pelan perancangan untuk masa tua tidak ‘cool’ perlu dibuang sejauh mungkin, kerana kumpulan sasar inilah yang sepatutnya menyibukkan diri kerana mereka bakal menjadi orang tua.

Mentaliti zon selesa yang terlalu mengharapkan bantuan ‘Fama’ (Father Mother) perlu dikikis kerana tidak selamanya semua daripada kita mampu ditanggung, ditambah lagi sesuatu yang bakal berlaku pada masa hadapan juga tidak semua daripada kita mampu menekanya dengan tepat.

“Bagi generasi ‘burger’ pada masa ini atau generasi Y setiap kali mendapat bonus atau gaji, benda pertama yang terlintas da­lam fikiran ialah membeli atau ‘up grade’ gajet terkini seperti te­lefon dan tablet, lagi canggih dan hebat lagi ‘cool’, dan kebanyakannya proses ini mampu menjangkau hingga beribu-ribu ringgit,” kata Tunku Alizakri.

Menyedari mengenai situasi ti­dak menyenangkan yang mungkin jarang disedari oleh sebahagian besar penduduk negara ini, ter­utamanya pencarum KWSP, agensi itu melaksanakan inisiatif yang pertama di dunia apabila memperkenalkan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) yang dilancarkan secara tidak rasmi pada 1 Julai lalu.

Melalui RAS, Tunku Alizakri memaklumkan bahawa para ahli akan diberikan khidmat nasihat percuma dan panduan tentang bagaimana mereka boleh membuat keputusan penting berkaitan simpanan KWSP agar wang mereka boleh bertahan lebih lama sepanjang tempoh persaraan, termasuk pilihan untuk membantu mengurus dan meningkatkan simpanan mereka.

“Khidmat ini adalah percuma, segala maklumat akan dirahsiakan. Apa yang paling penting, RAS tidak memberikan cadangan terutamanya dalam hal-hal berkaitan pelaburan atau mempromosikan sebarang khidmat yang ditawarkan oleh pihak ketiga,” katanya.

Projek perintis RAS pada masa ini dilaksanakan di ibu pejabat KWSP Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, ia bakal diperluaskan pada tahun hadapan di enam lagi bandar utama termasuk memperkenalkannya di 67 cawangan seluruh negara, bergantung kepada maklum balas yang diterima kelak.

Untuk maklumat lanjut ber­kenaan RAS, ahli boleh melayari laman web, www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-89226000 (dari 8 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Jumaat). Ahli juga boleh mengunjungi cawangan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur atau Jalan Gasing, Petaling Jaya, untuk mendapatkan khidmat nasihat secara percuma.

– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/ramai-menderita-selepas-bersara-1.39885#sthash.6KNNezGs.dpuf

Ambil Takaful Jangan Ikut Nafsu Siri 2

Ambil takaful ikut kepada keperluan bukan ikut nafsu, keperluan yang dimaksudkan di sini ialah ikut komitmen dan kemampuan kita yang sebenarnya. Orang yang hendak ambil takaful sendiri yang tetapkan berapa sumbangan yang hendak diberikan pada setiap bulan. Kalau ia mampu RM 50.00 maka polisi pun dengan harga RM 50.00. Salah dalam hal ini kalau agen yang tetapkan berapa jumlah caruman kita. Di sinilah agen boleh memanipulasikan jumlah yang sebenarnya. agen boleh masukkan banyak cover dengan alasan penting dengan harapan kliennya bayar besar dan komisyen yang ia dapat juga besar dari 25% jumlah caruman.

amana-takaful-concept
Agen hanya boleh memberikan cadangan sahaja bukan menentukan polisi takaful kliennya. Kalau hal ini berlaku anda boleh buat aduan kepada operator takaful dan Bank Negara, masukkan sekali dalam laporan tersebut nama no. kod agen tersebut. Bank Negara akan mengambil tindakan kepada agen tersebut di atas putar belit yang dilakukan olehnya.

Nasihat saya ambil yang lebih penting dahulu, setelah itu baru kita fikirkan yang lain, kalau tidak ambil yang lain pun tidak mengapa. Cadangan saya ialah seperti di bawah ini :

Sum Cover (Manfaat Asas)

Kenapa wajib ambil takaful? Wajib disebabkan kita mempunyai komitmen seperti hutang dan nafkah. Cuba kita kira hutang dan nafkah yang ditanggung oleh kita :

    1. Hutang rumah : hutang pokok bagi rumah ialah sebanyak RM 170.000.00. Tolak segala keuntungan bank. Kita kira pada hutang pokok sahaja, kerana apabila kita bayar langsam pihak bank hanya mengambil hutang pokok sahaja dan segala keuntungan akan ditolak (rebit).
    1. Hutang kereta : Contoh hutang kereta sebanyak RM 70.000.00. konsepnya sama juga seperti hutang rumah.
    1. Pembiayaan peribadi : contoh loan peribadi sebanyak RM 50.000.00.
  1. Nafkah keluarga : setiap bulan RM 2000.00 termasuk semua perbelanjaan sekolah dan rumah. Nafkah kita hitung selama setahun, kerana apabila ditimpa apa-apa musibah kepada kita, isteri atau anak-anak sempat untuk mencari pekerjaan yang sesuai dan boleh menyusun semula ekonomi yang dimiliki olehnya. Dalam masa setahun itu amat baik bagi dirinya untuk membuat persediaan. Firman Allah yang bermaksud : “Hendaklah orang yang mampu, memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rizkinya, hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sekedar) apa yang Allah berikan kepadanya” (At-Talaq : 7)

Jumlah keseluruhan komitmen kita ialah sebanyak RM 314.000.00. Jadi sum cover (tabung khairat asas) kita tentukan sebanyak 314.000.00. Kenapa perlu begini? Jawapannya ialah kerana untuk mengelakkan kita menyusahkan keluarga kita, elak dari tekanan emosi, hutang yang ada dapat dilunaskan, dapat membantu persekolahan anak kita dan banyak lagi. Alamak mesti kena bayar tinggi sebab besit cover ini tinggi? Setiap manusia Allah berikan akal fikiran, gunakan akal kita dengan baik, cari operator takaful yang murah pembiayaannya. Setahu saya, ada operator di Malaysia yang boleh memberikan besit cover ini sebanyak RM 100.000.00 dengan bayaran hanya RM 50.00 ke bawah (apa-apa pun rujuk kepada umur). RM 300.000.00 ini kita hanya perlu membayar RM 150.00 sahaja.

Cuba fikirkan kalau sum cover ini kita ambil hanya RM 20.000 hingga 30.000. Apa yang kita dapat bantu keluarga kita dalam menyelesaikan masalah  yang mereka tanggung waktu kita lumpuh atau mati nanti. Sekurang-kurangnya dapat menampung nafkah mereka selama setahun, sudah memadai untuk kita rasa selesa dengan tanggungjawab kita kepada keluarga.

Medical Card

Setelah selesai sum cover (besit cover/tabung khairat asas) barulah kita pergi kepada manfaat kedua iaitu kos rawatan (medical card). Lazimnya cas bulanan kepada medical card ini mahal, kita perlu membayar deposit hospital dan 10% dari ko takaful. Contoh apabila masuk sahaja hospital kita dikehendaki membayar deposit sebanyak RM 400.00 dan ko takaful sebanyak RM 1000.00 jumlah keseluruhan RM 1400.00. Setiap tahun ada maksimum kos yang boleh kita kliem dari takaful seperti setahun RM 50.000.00, lebih dari itu kita kena bayar sendiri. Kelemahan bagi orang yang menggunakan medical card ialah rata-rata pihak hospital akan mengambil kesempatan di atas kliem tersebut seperti kos rawatan menjadi mahal, ada pelbagai pemeriksaan hospital seperti x-ray dan sebagainya.

Perlu kita faham betul-betul sebelum ambil, jangan main ambil sahaja medical card, bila kena bayar itu dan ini baru kita melenting dan menuding jari kepada pihak takaful dan agen. Sebagai klien Tanya habis-habisan, setelah itu baru buat keputusan untuk ambil.

Pelaburan Atau Simpanan

Memang ada sebahagian orang diluar sana mengatakan tidak perlu buat simpanan di dalam takaful, kerana ia merugikan pencarum. Betul apa yang dikatakan oleh mereka, tetapi saya sangat menyarankan simpanan dan pelaburan. Setiap orang apabila telah berumur resikonya juga semakin tinggi. Contoh mudah, seseorang yang berumur akan mempunyai penyakit kritikal seperti darah tinggi, kencing manis, jantung, kanser dan sebagainya. Apabila kita tidak mempunyai pelaburan atau simpanan, sudah tentu akaun takaful kita menjadi muflis dan suatu ketika nanti pihak takaful akan meminta kita menambah bayaran bagi membiayai kos akaun takaful kita.

Penting di sini, kita buat pelaburan dan simpanan walaupun hanya RM 10.00 kerana ia membantu kita pada masa hadapan seperti dapat mengelakkan kita menambah bayaran, pulangan balik apabila telah matang menjadi besar. Sekurang-kurangnya pulangan tersebut boleh juga kita buat untuk menunaikan umrah dan haji.

Simpanan adalah lebihan setelah ditolak ke akaun resiko iaitu sum cover dan medical card. Lebihan dari situ dimasukkan ke dalam simpanan. Besar akaun resiko maka besar cas dan kecil simpanannya. Akaun resiko tidak akan kembali kepada kita dan ia akan habis begitu sahaja. Kenapa jadi begini sebab di dalam konsep takaful akaun resiko dinamakan tabarru (sedekah) yang disumbangkan oleh orang yang mengambil polisi (keterangan lanjut lihat di sini). Apabila berlaku apa-apa musibah kepada ahli yang mencarum, akaun resiko itu akan membantu ahli tersebut. Duit dalam akaun resiko tidak akan dapat balik walaupun setelah ia matang.

Pelaburan ialah satu perkara yang asing dari akaun simpanan dan resiko, ia bertujuan untuk mengembalikan pulangan yang besar kepada pencarum kerana ada sebahagian takaful memberikan bonus pelaburan besar dari bonus simpanan (lebihan)

Manfaat Lain Kurang Perlu

Bukan maksud saya tidak perlu, kalau orang itu berkemampuan, maka terpulang kepadanya untuk ambil yang lain-lain seperti hospital benefit, crisis cover dan banyak lagi. Kena ingat semua ini kita bayar dengan duit dan duit itu tidak akan kembali kepada kita. Lagipun yang paling penting ialah sum cover (manfaat asas) dan medical card sahaja. Mana-mana orang ambil takaful adalah bertujuan untuk kematian dan rawatan hospital sahaja. Jadi kenapa kita ambil banyak-banyak, kan baik duit kita masuk pelaburan dan buat simpanan sahaja, lebih bagus dan lebih manfaat.

Kredit to Ust Nor Amin

Lihat Artikel Dari Siri 1, Klik Di Sini