Ramai menderita selepas bersara!

SELEPAS bersara, bayangkan apa yang boleh dilakukan dengan ‘gaji’ bulanan sebanyak RM208 bagi menanggung kehidupan seharian selama 20 tahun atau 240 bulan termasuk terpaksa melunaskan hutang pinjaman kereta, perumahan, pinjaman peribadi, keperluan diri sendiri dan keluarga.

Lebih teruk lagi sekiranya masih terpaksa menanggung anak-anak yang sedang belajar, melunaskan saki-baki hutang perkahwinan hebat ‘wedding of the year’, kos tinggi rawatan perubatan secara ‘pakej’ – kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Keadaan yang menyesakkan nafas ini secara khususnya banyak melibatkan majoriti pekerja swasta, berbeza dengan rakan penjawat awam lain yang mampu menarik nafas lega kerana masih mempu­nyai talian hayat duit pencen.

Menurut statistik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebanyak 69 peratus pencarumnya yang berusia 54 tahun pada 2013 mempunyai simpanan hari tua di bawah RM50,000 dan lebih tragik lagi apabila majoriti daripada mereka menghabiskan simpanan itu dalam tempoh antara tiga dan lima tahun sahaja.

Bukan secara sengaja penulis memilih tempoh sehingga 20 tahun tetapi ia bersebab kerana hasil kajian terkini purata jangka hayat penduduk negara ini ialah 75 tahun, iaitu kira-kira 20 tahun selepas bersara pada usia 55 tahun.

Oleh itu, amat beruntung bagi pesara yang turut mempunyai simpanan hari tua selain daripada KWSP, sekurang-kurangnya mampu menampung sedikit-sebanyak keperluan hidup. Persoalannya, ramai dalam kalangan penduduk negara ini beranggapan bahawa simpanan KWSP adalah mencukupi, justeru tidak memerlukan simpanan lain.

Situasi ini sebenarnya amat kritikal kerana sekiranya apabila mencapai usia 50-an baharu tersedar, semuanya agak terlambat untuk melakukan sesuatu. Melainkan langkah awal dilakukan pada seawal usia 30-an, namun yang menjadi masalahnya ramai golongan muda ini kebanyakannya tidak terfikir untuk merancang awal sebagai persediaan menghadapi hari tua masing-masing.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP bagi pengurusan perancangan dan strategi, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias memaklumkan bahawa 23 peratus daripada pencarum berusia 54 tahun mempunyai simpanan asas kira-kira RM196,000 yang bermakna jika dibahagikan kepada 240 bulan, jumlah bulanan yang bakal diperoleh ialah kira-kira RM800.

Namun jumlah itu akan menjadi realiti sekiranya pencarum sanggup menahan seketika nafsu dan memilih untuk membuat pengeluaran bulanan. Bagi yang memilih pengeluaran semua sekali atau sebahagian – lain pula ceritanya.

“Masalah ini bukannya berlaku terhadap pencarum KWSP sahaja tetapi turut melibatkan majoriti kumpulan rakyat lain, contohnya daripada statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Program Pengurusan Kredit mencatatkan daripada 200,000 pelanggannya, 10 peratus daripada menghadapi masalah kewangan kritikal.

“Persepsi bahawa simpanan da­lam KWSP sudah memadai adalah silap. Secara formulanya, 30 peratus daripada pendapatan bulanan perlu dijadikan sebagai simpanan, tetapi ramai yang tidak sanggup melakukannya kerana kekangan tuntutan lain yang ditambah lagi faktor luaran seperti inflasi.

“Kaedahnya seperti mudah iaitu apabila dapat gaji, sebanyak 30 peratus diagihkan untuk simpanan dan selebihnya barulah dibelanjakan, namun apa diamalkan oleh majoriti penduduk ialah dapat gaji, ditolak untuk perbelanjaan dan bakinya barulah disimpan, itu pun jika ada,” katanya di sini baru-baru ini.

Sedikit maklumat untuk dimanfaatkan bersama, jumlah pengeluaran simpanan KWSP pada suku ketiga tahun ini mencecah RM8.5 bilion dengan 413,827 permohonan diluluskan. Pengeluaran fleksibel umur 55 tahun kekal sebagai pengeluaran tertinggi dengan RM1.7 bi­lion berbanding RM1.53 bilion pada suku tahun sama tahun lalu iaitu kenaikan sebanyak 11 peratus.

Ahli yang memilih untuk mengeluarkan simpanan KWSP melalui pengeluaran penuh umur 55 tahun pada tempoh sama juga meningkat sebanyak 2.74 peratus kepada RM1.63 bilion dengan 40,931 permohonan diluluskan berbanding RM1.60 bilion pada suku ketiga tahun lalu.

Isunya di sini ialah perlunya ke­sedaran merancang kewangan sejak daripada awal lagi, tidak dapat tidak, langkah ini amat perlu dilakukan, melainkan kerajaan mem­punyai satu pelan mapan jaringan keselamatan kebajikan sosial terutama bagi warga emas bekas kakitangan swasta atau yang be­kerja sendiri.

Sehubungan itu, kurikulum khu­­sus mengenai perancangan kewangan perlu dijana sejak daripada peringkat akar umbi lagi, termasuk diwajibkan pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Kesedaran tentang kelebihan menabung perlu kembali dirakyatkan, perbelanjaan mengikut keperluan perlu dimantapkan.

Persepsi dalam kalangan ge­ne­rasi muda yang menganggap pelan perancangan untuk masa tua tidak ‘cool’ perlu dibuang sejauh mungkin, kerana kumpulan sasar inilah yang sepatutnya menyibukkan diri kerana mereka bakal menjadi orang tua.

Mentaliti zon selesa yang terlalu mengharapkan bantuan ‘Fama’ (Father Mother) perlu dikikis kerana tidak selamanya semua daripada kita mampu ditanggung, ditambah lagi sesuatu yang bakal berlaku pada masa hadapan juga tidak semua daripada kita mampu menekanya dengan tepat.

“Bagi generasi ‘burger’ pada masa ini atau generasi Y setiap kali mendapat bonus atau gaji, benda pertama yang terlintas da­lam fikiran ialah membeli atau ‘up grade’ gajet terkini seperti te­lefon dan tablet, lagi canggih dan hebat lagi ‘cool’, dan kebanyakannya proses ini mampu menjangkau hingga beribu-ribu ringgit,” kata Tunku Alizakri.

Menyedari mengenai situasi ti­dak menyenangkan yang mungkin jarang disedari oleh sebahagian besar penduduk negara ini, ter­utamanya pencarum KWSP, agensi itu melaksanakan inisiatif yang pertama di dunia apabila memperkenalkan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) yang dilancarkan secara tidak rasmi pada 1 Julai lalu.

Melalui RAS, Tunku Alizakri memaklumkan bahawa para ahli akan diberikan khidmat nasihat percuma dan panduan tentang bagaimana mereka boleh membuat keputusan penting berkaitan simpanan KWSP agar wang mereka boleh bertahan lebih lama sepanjang tempoh persaraan, termasuk pilihan untuk membantu mengurus dan meningkatkan simpanan mereka.

“Khidmat ini adalah percuma, segala maklumat akan dirahsiakan. Apa yang paling penting, RAS tidak memberikan cadangan terutamanya dalam hal-hal berkaitan pelaburan atau mempromosikan sebarang khidmat yang ditawarkan oleh pihak ketiga,” katanya.

Projek perintis RAS pada masa ini dilaksanakan di ibu pejabat KWSP Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, ia bakal diperluaskan pada tahun hadapan di enam lagi bandar utama termasuk memperkenalkannya di 67 cawangan seluruh negara, bergantung kepada maklum balas yang diterima kelak.

Untuk maklumat lanjut ber­kenaan RAS, ahli boleh melayari laman web, www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-89226000 (dari 8 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Jumaat). Ahli juga boleh mengunjungi cawangan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur atau Jalan Gasing, Petaling Jaya, untuk mendapatkan khidmat nasihat secara percuma.

– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/ramai-menderita-selepas-bersara-1.39885#sthash.6KNNezGs.dpuf

Ramai tak tahu kena HCV

Dianggarkan 160 juta orang dijangkiti Hepatitis C (HCV) di seluruh dunia, dengan 350,000 daripada mereka meninggal dunia setiap tahun.

Dua punca utama HCV disebabkan amalan minum alkohol secara berlebihan, dan dijangkiti daripada proses pemindahan darah atau organ, khususnya sebelum 1992.

getty_rm_illustration_of_hepatitis_c

Keadaan itu berlaku apabila darah daripada penderma tidak disaring daripada jangkitan seperti hepatitis C. Selain itu, jangkitan boleh berpunca daripada perkongsian jarum penyalahgunaan dadah.

Suntikan menggunakan jarum tercemar boleh mendedahkan individu dengan virus ini. Berkongsi barang kegunaan peribadi seperti pencukur dan berus gigi juga menjadi punca. Bayi dilahirkan daripada ibu yang dijangkiti HCV juga berisiko, selain mengadakan hubungan seks dengan mereka yang dijangkiti HCV.

Ketua Gastroenterologi dan Hepatologi Universiti Malaya, Prof Dr KL Goh, berkata, ramai tidak menyedari mereka dijangkiti HCV disebabkan tiada sebarang gejala.

“Kira-kira 80 peratus pesakit yang dijangkiti HCV tidak tahu mengenai kewujudannya sehingga 30 tahun lamanya. Ini kerana HCV tidak menunjukkan gejala. Akibat tidak sedar, ramai mangsa lewat mendapatkan rawatan.

“Kelewatan itu menyebabkan berlaku kerosakan hati, seterusnya serangan itu meninggalkan parut pada hati atau sirosis yang menyebabkan organ itu menjadi keras,” katanya dalam sesi taklimat HCV di ibu negara, baru-baru ini.

Kira-kira 25 peratus sirosis boleh berkembang menjadi barah dengan 33 peratus daripada penghidap menemui ajal.

HCV sukar dikesan kerana selalu menyerang tanpa membawa kesan khusus atau tidak berpanjangan.

Dr Goh berkata, hati memainkan peranan penting bagi memastikan seseorang dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Ini kerana hati mengawal lemak, protein serta gula bagi memastikan kita terus hidup, selain membuang toksin dari dalam tubuh. Di negara ini, kira-kira 1.5 peratus atau 451,000 daripada jumlah keseluruhan penduduk dijangkiti HCV.

“Saya yakin jumlah ini akan meningkat jika tidak ada ujian saringan darah untuk HCV dijalankan. Prosedur saringan darah perlu dimasukkan ke dalam pakej pemeriksaan kesihatan.

“Penyakit ini hanya boleh dikesan menerusi pemeriksaan darah dan orang ramai, terutama yang menerima pemindahan darah dan menjalani pembedahan memindahkan organ sebelum 1992 khususnya, digalakkan menjalani ujian darah sekurangnya setahun sekali,” katanya.

Pada masa ini, hanya ada suntikan agen antivirus bersama interferon yang disuntik di perut seminggu tiga kali. Pesakit juga diberi pil ribavirin yang dimakan setiap hari bagi menghalang jangkitan daripada menular ke seluruh organ itu.

Di rantau Asia Pasifik, kira-kira 27 peratus saja orang awam tahu mengenai HCV, 22 peratus mengetahui ia boleh dirawat manakala 19 peratus lagi faham mengenai akibat jika tidak dirawat.

INFO

Faktor risiko jangkitan HCV

– Berkongsi peralatan suntikan ubat

– Pemindahan darah/organ sebelum pemeriksaan diperkenalkan (di Malaysia sebelum 1994)

– Berkongsi menggunakan peralatan yang tidak disteril dalam bidang perubatan atau pergigian

– Tatu dan bertindik menggunakan perkakas tidak disteril

– Cedera tercucuk picagari (petugas kesihatan)

– Aktiviti seks tanpa perlindu­ngan atau banyak pasangan

– Pemindahan dari ibu kepada bayi sewaktu bersalin

– Akupuntur

– Suntikan dadah, walaupun hanya sekali

Ujian darah kesan bahan dalam darah dan kaitannya dengan HCV. Ini termasuk:

– Anti HCV (sejenis antibodi)

– ALT (sejenis enzim hati)

– HCV RNA (cebisan bahagian virus berkenaan)

– Genotip (satu strain virus ini)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:00 AM

– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/51413#sthash.PWDdsoX4.dpuf

Orang Melayu kurang sedar keperluan insurans

10447159_808458905841808_8514438678744036512_n

KUALA LUMPUR – Tahap kesedaran di kalangan orang melayu untuk perlindungan insurans perlu ditingkatkan lagi bagi meningkatkan kadar penembusan Takaful Ikhlas, demikian menurut dua penerima anugerah cemerlang syarikat berkenaan.

“Dilihat pada kadar penembusan 12 peratus untuk tahun 2012, kami melihat potensi yang cerah di pasaran yang belum ditembusi iaitu 88 peratus daripada pasaran sasaran Melayu Muslim di Malaysia,” kata Nik Faizal Nik Fauzi, 36, yang mana Al-Faisal Agencynya telah berjaya mengumpul premium RM1.5 juta untuk tempoh 2012/2013, kepada pemberita.

Nik Faizal dari Kelantan yang memegang ijazah senibina dari Universiti Malaya, ialah pemenang untuk anugerah agensi mega Takaful tahun ini.

Sementara itu, Zuraidah Hanim Ibrahim yang memenangi anugerah “Million Dollar Round Table” (MDRT) USA dalam kategori pencapaian peribadi pula menambah, “Orang Melayu merupakan 90 peratus daripada pelanggan saya, dan tahap kesedaran di kalangan orang Melayu terhadap keperluan melindungi diri sendiri dengan insurans masih rendah berbanding kaum lain.”

Diasaskan pada 1927, MDRT ialah Persatuan Profesional Kewangan terkemuka antarabangsa dengan hampir 38,000 profesional perkhidmatan insurans hayat dan kewangan dari lebih 450 syarikat di 79 negara.

Malam anugerah Takaful Ikhlas ialah pada 29 Jun. – Bernama

Artikel berita di atas menunjukkan bahawa bangsa bumiputera kurang kesedaran mengenai kepentingan insurans atau takaful. Bangsa bumiputera meletakkan insurans/takaful sebagai sesuatu yang tidak penting dan ada yang menganggap insurans dan takaful itu sesuatu yang merugikan. Kaum bukan bumiputera pula dikatakan mempunya kesedaran yang tinggi mengenai insurans dan takaful. Adakah kita sanggup menyusahkan sanak saudara kita apabila kita menghidap penyakit? Ramai yang mengatakan tidak ingin menyusahkan sanak saudara tetapi berapa ramai daripada kita yang mengambil langkah untuk mengurangkan beban kewangan kita ketika kita jatuh sakit. Saya yakin daripada 10 orang, tidak sampai separuh yang mengambil langkah untuk mengurangkan beban kewangan kita ketika kita sakit. Selain itu pernahkah kita terfikir yang duit simpanan kita mungkin terpaksa dikeluarkan apabila kita menghidap penyakit yang memerlukan pembedahan. Ya memang benar Hospital Kerajaan mengenakan caj yang minimum untuk merawat penyakit. Tetapi ini bermakna Hospital Kerajaan juga sangat sesak. Terdapat keadaan di mana pesakit-pesakit terpaksa menunggu untuk ditempatkan di wad kerana wad masih penuh. Ramai daripada kita ingin meninggalkan harta dan wang yang cukup untuk keluarga kita apabila kita meninggal dunia. Tetapi apakah usaha kita untuk memastikan matlamat kita itu berjaya? Dengan mengambil insurans atau takaful kita sekurang-kurangnya dapat memastikan bahawa waris atau keluarga kita mendapat wang pampasan dengan kadar yang cepat sementara menunggu urusan pengagihan harta mengikut undang-undang yang biasanya mengambil masa.

Sumber: Kewangan : Orang Melayu kurang sedar keperluan insurans | arieon.my