Ingat pesanan Allahyarham isteri

MELAKA – Suami kepada Allahyarham Mastura Abd Karim, 34, ejen insurans yang maut dalam kemalangan jalan raya pertengahan Disember lalu, akan menggunakan wang pampasan insurans isterinya itu untuk kegunaan anak-anak.

Moed Salleh, 54, berkata, semasa hayat isterinya itu pernah berpesan supaya sekiranya berlaku apa-apa terhadap dirinya, gunakanlah wang berkenaan untuk tiga anaknya berusia 15, 11 dan 5 tahun.

“Nasib baik arwah ada mencarum insurans sejak lima tahun lalu. Saya bersyukur, sekurang-kurangnya wang pampasan ini bolehlah digunakan untuk keperluan sekolah anak-anak,” katanya selepas menerima cek berjumlah RM124,553.44  daripada MCIS Insurans Berhad.

Pampasan tersebut disampaikan MCIS Fazil Agency di pejabat mereka di Jalan Munshi Abdullah di sini, semalam.

Pada 18 Disember lalu, Allahyarham Mastura meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kilometer 250 Lebuhraya Utara  – Selatan, arah utara berhampiran Senawang.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, kereta Perodua Alza dinaiki mangsa bersama seorang rakan sekerja berusia 25 tahun terbabit kemalangan dengan sebuah treler ketika mereka dalam perjalanan bertemu pelanggan di Bangi.

Sementara itu, turut menerima pampasan, Sajahan Mohamed, 58, bapa kepada seorang lagi ejen MCIS, Allahyarham Muhammad Idzwan Sajahan, 24, yang meninggal dunia pada 4 Januari lalu juga akibat kemalangan jalan raya.

Menurut ibu Allahyarham, Zalilah Zanal Abidin, 57, wang RM121,555.10 yang diterima akan dimanfaatkan sebaik mungkin termasuk untuk tujuan kebajikan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fazil Agency, Datuk Mohamad Fazil Shafie berharap dengan adanya pampasan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kedua-dua keluarga.

“Bagi saya, Arwah Mastura dan Muhammad Idzwan adalah seorang ejen insurans yang cemerlang. Mastura berkhidmat di agensi ini sudah lebih lima tahun dan merupakan seorang top agent. Manakala arwah Muhammad Idzwan pula sudah kira-kira tiga tahun berkhidmat.

Guna pampasan untuk upah haji arwah suami

image

KOTA BHARU – Wang pampasan insurans berjumlah RM91,964.64 dari Predential Bank Simpanan Nasional (BSN) Takaful akan digunakan sebaik mungkin bagi merealisasikan hasrat arwah suami  menunaikan haji. Nurul Zatil Aqmar Mat Lazim, 28, isteri kepada Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Negeri Sembilan, Allahyarham Safrizal Tarmizan, 31, berkata, sebahagian wang pampasan itu akan digunakan untuk upah haji arwah suaminya. “Sebelum ini saya dan arwah ada pasang niat  mengerjakan haji bersama tetapi tidak kesampaian apabila arwah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, September lalu. “Wang selebihnya akan disimpan untuk pendidikan anak saya apabila dia dewasa nanti, ”katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Che Deris, di sini.

Hadir sama pada penyerahan tersebut ialah Nurul Izwani Azis, Muhammad Syamwill Mertadza, Mohd Norfazreim Imran dan Azue Azereen Mohd Sharif.

Nurul Zatil berkata, selepas kemalangan itu, dia dan anak lelaki tunggalnya, Uma Al-Fateh Safrizal, 3, tinggal bersama ibunya di Kampung Che Deris, Pantai Cahaya Bulan (PCB) kerana anak lelakinya itu memerlukan rawatan dan perhatian.

“Kemalangan tersebut menyebabkan saya hilang upaya untuk berjalan dan terpaksa berpindah tempat mengajar dari  Sekolah Agama Pedas, Rembau, Negeri Sembilan ke Kelantan, tambahan pula kami perlu mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian,” katanya.

Dalam kejadian 20 September lalu, suami dan ibunya, Asmita Lukman, 56, maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 106.2 Kuala Krai-Gua Musang ketikaperjalanan menuju ke Pengkalan Kubor.