Ibu bapa jual rumah demi rawat anak

SHAH ALAM – Siapa yang sanggup melihat anak sakit. Demam sekalipun, ibu dan ayah sudah pasti resah gelisah. Inikan pula menghidap sakit kronik. Sakit yang hanya menyerang 10 daripada sejuta manusia.

Akbar Ali Mohamed Nordin, 43, tidak sanggup terus melihat anaknya, Adam, 10, menanggung derita. Tumor yang menyerang di saraf tunjang Adam bukan sakit main-main. Bukan boleh diubat dengan menelan pil seulas dua. Ikuti luahan hati ayah Adam seperti diceritakan kepada NORSHAHZURA MAT ZUKI.

“Adam hanya menunggu masa untuk menjadi lumpuh. Atau akan mengalami risiko kematian jika tumor itu menekan saraf pernafasan.”

Itu maklumat yang kami terima daripada pakar bedah saraf di negara ini dan Amerika Syarikat tentang sakit yang dideritai Adam.

Jantung saya bagai disentap.

YA TUHAN beginikan noktah perjalanan anak kami? Ah! Itu hanya maklumat pakar. Bukan janji TUHAN!

Tidak mungkin ALLAH tidak sediakan jalan di hadapan. Tidak mungkin ALLAH tutup semua lorong ikhtiar bagi penyembuhan Adam.

Setiap kali Adam menangis, tulang kami turut terasa sakit. Pedih, perih dan derita Adam, sengsara kami jua. Tumor di saraf tunjang Adam kini di tahap kedua.

Adam menjalani pembedahan pertama radiosurgeri, chemoteraphy di Hospital Queen Elizabeth, Singapura, Julai 2010 dan pembedahan kedua di Hospital Kuala Lumpur. Namun, pembedahan itu hanya beri penyelesaian sementara dengan mengurangkan risiko dan kesakitan dialaminya.

Kos pembedahan di Singapura menelan belanja RM240,000. Pada waktu itu, saya hanya memikirkan nyawa anak perlu diselamatkan. Saya gunakan semua kad kredit dan buat pinjaman peribadi bagi biaya kos pembedahan itu. Malangnya, ia masih belum mencukupi.

Alhamdulillah, adik-beradik, teman-teman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan orang awam menghulurkan bantuan kepada kami. Ia membolehkan Adam menjalani pembedahan di Singapura.

Saya terpaksa menanggung hutang yang tinggi dan untuk melunaskannya saya ambil keputusan jual rumah kami.

Saya juga berhenti kerja daripada menjadi pensyarah di UiTM supaya perhatian sepenuhnya dapat saya beri kepada Adam.

Saya pernah mohon bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor tetapi ditolak. Alasannya kerana saya tidak lagi mempunyai hutang dan bantuan zakat hanya diberikan untuk rawatan dalam negara sahaja.

Bagaimanapun, ia dipertimbangkan sekiranya rawatan diterima Adam dibuktikan tidak ada di sini.

Kami sudah berjumpa dengan pelbagai doktor neurologi dan onkologi di Malaysia dan Singapura (kerajaan dan swasta). Mereka enggan membedahnya kerana risiko lumpuh tinggi. Kata mereka, jika dibedah sekalipun, hasilnya tidak memuaskan. Saya juga difahamkan di Malaysia tiada kepakaran untuk merawat penyakit Adam. Saya berharap, kerajaan akan ambil perhatian terhadap kes ini untuk membantu anak saya.

Kini kesihatan Adam makin membimbangkan. Tumor itu mengganggu saraf-saraf kaki, tangan dan pernafasan Adam. Jika tumor itu tidak dikeluarkan melalui pembedahan, ia akan memudaratkan.

Semakin hari berat badan Adam semakin merosot. Semakin hari otot-otot di tubuh Adam semakin mengecut. Postur tubuh Adam jadi semakin tidak sempurna.

Jika penyakit Adam terus dibiarkan, risiko anak kami untuk lumpuh semakin menghampir. YA ALLAH hindarkan kami dari berita buruk itu!

Saya tidak jemu mencari maklumat. Dan terkini melalui pencarian di Internet saya mendapat maklumat berharga.

Seorang pakar neurologi, Dr George Jallo di Hospital John Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat melakukan pembedahan dengan jayanya terhadap pesakit yang menga­lami masalah sama seperti Adam!

Benarlah…. ini jalan yang dibuka ALLAH untuk kami mengubati Adam!

Namun, RM300,000 bagi membiayai kos pembedahan itu di luar kemampuan kami.

Bantuan dan simpati orang ramai amat kami harapkan…

Setakat tengah hari semalam, RM28,100 sudah terkumpul. Terima kasih kepada yang membantu. Hanya ALLAH dapat membalas. Kami juga mengharapkan doa orang ramai semoga Adam terus dilindungi-NYA.

Khidmat insurans meningkat

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Permintaan terhadap produk dan perkhidmatan insurans di Asia Timur dijangka lebih tinggi daripada apa yang pernah dicatatkan selama ini didorong oleh perluasan perdagangan, liberalisasi serta integrasi ekonomi dan kewangan di rantau Asia.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (gambar) berkata, fenomena itu memberi peluang yang sangat besar kepada syarikat-syarikat insurans di rantau Asia Timur untuk menyokong pertumbuhan aktiviti perdagangan.

Tambahan pula, rantau Asia kini mula berkembang sebagai kawasan yang mempunyai penduduk berpendapatan sederhana yang semakin tinggi iaitu sebanyak 500 juta orang dan dijangka meningkat kepada tiga bilion orang menjelang 2030.

“Dengan trend sedemikian, ia mencipta peluang kepada industri insurans namun mereka juga perlu berdepan dengan cabaran-cabaran seperti risiko yang lebih besar dan kompleks.

“Pengurusan risiko, pembangunan produk dan keupayaan taja jamin menjadi perkara yang sangat penting di peringkat institusi manakala di peringkat sistem yang lebih luas, perhatian khusus perlu diberikan kepada jaringan keselamatan untuk melindungi pemegang polisi, sekali gus mengelakkan kegagalan di dalam industri insurans,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama Kongres Insurans Asia Timur ke-26 di sini hari ini.

Menurut Zeti, industri insurans Asia mempunyai masa yang lebih pendek untuk mencapai setaraf dengan negara-negara maju yang mana telah mula membangunkan industri tersebut sejak empat abad yang lalu.

Dengan itu, menurut beliau, inovasi diperlukan untuk mengangkat industri tersebut ke tempat yang lebih tinggi terutama dalam ketelusan badan kawal selia, penampan kewangan yang lebih kukuh bagi menghadapi kerugian tidak dijangka, selain menawarkan produk yang bersesuai dengan segmen pengguna yang berbeza.

Malah perubahan iklim dan bencana alam yang sering berlaku ketika ini turut memberi impak yang besar kepada industri insurans, sekali gus memberi amaran kepada pemain industri untuk menguruskan perkara tersebut dengan lebih baik.

“Trend yang membentuk landskap sosio ekonomi di Asia Timur dijangka memberi prospek pertumbuhan positif kepada industri insurans di mana peranan yang lebih besar diberikan kepadanya dalam menguatkan aktiviti ekonomi di sebalik risiko yang dihadapi oleh individu dan perniagaan,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121031/ek_01/Khidmat-insurans-meningkat#ixzz2AsoXGbOM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Persediaan kewangan hadapi sakit kritikal

STATISTIK Kementerian Kesihatan menunjukkan penyakit jantung adalah penyebab kematian nombor satu di Malaysia yang merangkumi 16.5 peratus kematian di hospital pada 2008. Malah, anggaran penyakit jantung koronari di negara ini adalah 40,000 kes baru setiap tahun bagi sejumlah 28 juta penduduk atau ringkasnya – 4.52 kes baru setiap jam!

Bagi penyakit barah pula, maklumat Kanser Malaysia 2006 yang dikumpul kementerian pula menunjukkan seorang bagi setiap tujuh rakyat Malaysia berisiko menghidap penyakit itu.

Meskipun statistik agak mengerikan, kadar pemulihan menggalakkan jika diagnosis dan rawatan diberikan pada peringkat awal penyakit kritikal. Malah, berbekalkan kemajuan perubatan, kadar pemulihan hari ini lebih baik berbanding dulu. Dalam kebanyakan kes, pesakit yang pulih boleh meneruskan kehidupan yang produktif. Akan tetapi, pesakit perlu membuat peruntukan untuk kos pemulihan, rawatan khas dan perubahan diet dan ini memerlukan sokongan kewangan yang kukuh. Ramai pesakit biasanya tidak mempunyai perlindungan kewangan yang mencukupi.

Apakah dana kita mencukupi untuk mendapatkan rawatan? Menurut kajian Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (EPF) pada 2008, ahli berusia 54 tahun memiliki purata simpanan sebanyak RM132,539 saja. Tinjauan sebuah bank pula melaporkan rakyat Malaysia hanya memiliki simpanan yang boleh bertahan 11 minggu. Sekiranya mereka kehilangan mata pencarian, satu bagi setiap lima orang menyatakan simpanan mereka boleh menanggung perbelanjaan biasa selama 4 minggu saja. Simpanan ini hanya meliputi perbelanjaan harian dan tidak termasuk perbelanjaan perubatan untuk sesuatu penyakit kritikal.

Kos perubatan rawatan kanser boleh menokok sehingga RM300,000 sementara rawatan buah pinggang memerlukan RM150,000 ke atas. Pemindahan organ utama pula memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000.

Kalau dulu penyakit kritikal dianggap tiada harapan untuk pulih, kini dengan kemajuan perubatan, penyakit kritikal boleh dirawat. Persoalannya sekarang, adakah kita mempunyai dana yang mencukupi untuk rawatan ini?

“Rawatan penyakit kritikal sering memakan tempoh yang lama dan membabitkan kos pemulihan yang tinggi selain kemungkinan kehilangan mata pencarian. Ini amat membebankan kewangan pesakit dan mereka yang tersayang. Atas alasan itulah persediaan kewangan amat penting.
“Matlamat utama AssureCare adalah untuk mengurangkan kesan dan beban kewangan yang timbul daripada penyakit kritikal,” kata Ketua Pegawai Pemasaran AXA AFFIN Life Insurance Berhad, Nicholas Kua Choo Ming.

Menurutnya, AssureCare menyediakan pilihan kewangan yang menyeluruh untuk memberi pelanggan harapan menangani penyakit kritikal. Sebagai permulaan, pelanggan akan menerima faedah sekali gus jika didiagnos dengan salah satu daripada 36 penyakit kritikal, memberikan akses kepada rawatan diperlukan bagi membantu pemulihan.

“Memandangkan penyakit kritikal memerlukan proses pemulihan yang lama, kami juga memperuntukkan dana tambahan tahunan untuk sepanjang tempoh lima tahun bagi membantu proses pemulihan anda. Sekiranya anda pulih sepenuhnya sebelum tahun kelima, dana tambahan itu tetap tersedia untuk anda bagi semua tempoh lima tahun kerana kami percaya penyakit yang mungkin mengubah cara kehidupan anda patut diberi segala sokongan kewangan yang diperlukan,” katanya.

Kua berkata, sokongan kewangan yang diberikan yang diberi bukan setakat ini saja. Pelanggan juga berpeluang menerima dividen tunai tahunan yang boleh dikumpulkan dalam dana tambahan bagi meningkatkan dana pemulihan anda.

“Persediaan kewangan untuk penyakit kritikal adalah penting dalam perancangan kewangan, tetapi ada kalanya perkara di luar jangkaan mungkin akan melanda kita. Bagi perlindungan menyeluruh, kami sudah menyediakan perlindungan penyakit kritikal percuma untuk tiga anak pertama pelanggan sehingga umur ke-17 tahun mereka. Perlindungan yang melingkungi anak-anak kesayangan pelanggan kami adalah berasaskan inspirasi kami untuk menerajui perlindungan yang komprehensif,” kata Kua.

Sumber- BHarian online

Perbezaan utama antara takaful dengan insurans

Perbezaan utama antara takaful dengan insurans adalah pada kontraknya.
Kontrak insurans adalah berteraskan jual-beli, manakala kontrak takaful pula adalah berteraskan kontrak derma.
Daripada kontrak jual-beli insurans inilah yang melahirkan unsur ketidaktentuan, judi dan riba, yang membawa kepada fatwa haram.
Alternatif kepada insurans adalah takaful, yang menggunakan kontrak derma untuk mengelakkan unsur ketidaktentuan, judi dan riba tadi.
Tulisan ini bukanlah untuk menghuraikan secara ilmiah dan akademik berkenaan hukum hakam insurans dan takaful, kerana saya bukanlah pakarnya.
Untuk mendapatkan maklumat secara ilmiah tentang perkara ini, boleh rujuk perkara ini di blog Ustaz Zaharuddin: http://www.zaharuddin.net/
Takaful dan insurans sama?
Takaful hanya tukar nama sahaja, yang lain-lain semua sama sahaja dengan insurans konvensional”, kata seorang ejen “takaful” konvensional.
Sistem Takaful bukan menjawab persoalan pengharaman insurans. Sistem takaful hanya meniru struktur dan format insurans konvensional from A to Z dan ubah istilah bahasa Arab & guna aqad derma. Itu saja.”, dipetik daripada sebuah laman forum kewangan.
“Bagi orang Melayu pada masa itu, insurans merupakan satu ‘benda baru’ untuk mereka dan mungkin kerana penguasaan bahasa Inggeris yang lemah, ini telah membuatkan merekamembuat pelbagai tanggapan salah mengenai Life Insurans dengan mengaitkan Life Insurans sebagai satu jual-beli nyawa atau jual-beli pampasan”, tulis seorang perunding kewangan di dalam artikelnya.
Jadi di manakah sebenarnya perbezaan insurans dan takaful?
Adakah benar bahawasanya insurans dan takaful sebenarnya menggunakan sistem yang sama?
Betul, insurans yang ada hari ini berasal daripada Barat. Insurans yang pertama dipercayai wujud adalah insurans perkapalan. Ia berasal daripada Eropah pada zaman pedagang-pedagang Inggeris belayar menggunakan kapal. Kapal-kapal ini terdedah kepada pelbagai musibah seperti lanun, karam, ribut, tsunami dan lain-lain. Maka daripada situ, mereka berpakat dan timbullah istilah insurans dan dimodenkan sebagaimana yang kita lihat hari ini.
Sistem takaful yang ada sekarang mengguna sistem pengiraan yang sama dengan apa yang ada di dalam insurans yang telah dimodenkan tersebut.
“Jadi, betullah takaful ini berasal daripada insurans?”, ada pula yang berkata begitu.
Oh, tidak semestinya begitu kesimpulannya. Dari segi sejarah Islam juga, sistem yang sama telah diguna pakai pada zaman dahulu oleh pedagang-pedagang Arab. Jika di Eropah, para pedagang menggunakan kapal, pedagang Arab turut menggunakan kapal. Bukan kapal laut, tetapi kapal padang pasir; unta!
Mereka juga terdedah kepada pelbagai musibah seperti perompak, ribut padang ipasir, dan sebagainya. Maka daripada situ, mereka berpakat untuk berkongsi risiko, dan timbullah istilah “takaful”. Cuma takaful yang diamalkan oleh mereka tidak melalui proses pemodenan sebagaimana proses pemodenan insurans tadi.
Justeru, apabila takaful yang ada hari ini diwujudkan, ia menggunakan sistem yang telah lama wujud di dalam sistem insurans. Sistem takaful akan menilai dan hanya menerima perkara-perkara yang dibenarkan syarak sahaja. Sebagai contoh sistem pengiraan premium dan sistem ejensi.
Sebarang unsur yang tidak menepati kehendak syarak, akan dicari alternatif atau dibuang.
“Jadi, ini menunjukkan takaful menggunakan sistem yang sama! Maka tiada bezanya kita menggunakan insurans atau menggunakan takaful”, nampaknya masih tidak puas hati.
Yong-tau-fu: halal atau haram?
Mungkin penerangan sebelum ini masih ilmiah. Jika begitu, saya mengambil analogi yong-tau-fu.
Ya, yong-tau-fu.
Yong-tau-fu adalah makanan masyarakat Cina. Menu asal Yong-tau-fu adalah tauhu yang dicampurkan dengan kuah pati ikan atau khinzir. Rujuk:http://en.wikipedia.org/wiki/Yong_tau_foo
(nota: saya tidak pasti terjemahan untuk “meat paste of fish and pork” yang terdapat di dalam wikipedia, yang saya terjemahkan sebagai kuah pati ikan atau khinzir)
Hari ini menu ini sudah berubah dengan pelbagai bahan-bahan lain, seperti telur, sayur, sosej, dan sebagainya.
Sekiranya yong-tau-fu asal haram dimakan oleh orang Islam, kerana kandungan menunya adalah kuah pati khinzir, adakah ia masih haram sekiranya tiada lagi unsur tersebut?
Yong-tau-fu tidak boleh dimakan bukan kerana namanya yong-tau-fu. Sekiranya ia ditukar nama kepada “yong-tau-fu Halal”, atau “yong-tau-fu Islam”, atau “yong-tau-fu Ahmad”, ia masih lagi belum cukup syarat halal sekiranya ia masih menggunakan kuah pati khinzir!
Begitulah juga halnya dengan takaful dan insurans.
Fungsi insurans dan takaful adalah sama, iaitu untuk memberi perlindungan. Yang membezakan bukanlah premiumnya, bukanlah proses underwritingnya, atau juga bukanlah berapakah jumlah pampasannya. Atau juga bukanlah komisennya.
Ada beberapa perkara yang sama, dan ada beberapa perkara yang tidak sama. Asasnya ia dibezakan dengan kontrak yang mewujudkan takaful ataupun insurans.
Yang ada unsur haram itu; riba, judi dan ketidaktentuan.
Takaful halal bukan kerana namanya takaful, dan insurans adalah haram bukan kerana namanya insurans.
1 39 40 41