Ingat pesanan Allahyarham isteri

MELAKA – Suami kepada Allahyarham Mastura Abd Karim, 34, ejen insurans yang maut dalam kemalangan jalan raya pertengahan Disember lalu, akan menggunakan wang pampasan insurans isterinya itu untuk kegunaan anak-anak.

Moed Salleh, 54, berkata, semasa hayat isterinya itu pernah berpesan supaya sekiranya berlaku apa-apa terhadap dirinya, gunakanlah wang berkenaan untuk tiga anaknya berusia 15, 11 dan 5 tahun.

“Nasib baik arwah ada mencarum insurans sejak lima tahun lalu. Saya bersyukur, sekurang-kurangnya wang pampasan ini bolehlah digunakan untuk keperluan sekolah anak-anak,” katanya selepas menerima cek berjumlah RM124,553.44  daripada MCIS Insurans Berhad.

Pampasan tersebut disampaikan MCIS Fazil Agency di pejabat mereka di Jalan Munshi Abdullah di sini, semalam.

Pada 18 Disember lalu, Allahyarham Mastura meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kilometer 250 Lebuhraya Utara  – Selatan, arah utara berhampiran Senawang.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, kereta Perodua Alza dinaiki mangsa bersama seorang rakan sekerja berusia 25 tahun terbabit kemalangan dengan sebuah treler ketika mereka dalam perjalanan bertemu pelanggan di Bangi.

Sementara itu, turut menerima pampasan, Sajahan Mohamed, 58, bapa kepada seorang lagi ejen MCIS, Allahyarham Muhammad Idzwan Sajahan, 24, yang meninggal dunia pada 4 Januari lalu juga akibat kemalangan jalan raya.

Menurut ibu Allahyarham, Zalilah Zanal Abidin, 57, wang RM121,555.10 yang diterima akan dimanfaatkan sebaik mungkin termasuk untuk tujuan kebajikan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fazil Agency, Datuk Mohamad Fazil Shafie berharap dengan adanya pampasan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kedua-dua keluarga.

“Bagi saya, Arwah Mastura dan Muhammad Idzwan adalah seorang ejen insurans yang cemerlang. Mastura berkhidmat di agensi ini sudah lebih lima tahun dan merupakan seorang top agent. Manakala arwah Muhammad Idzwan pula sudah kira-kira tiga tahun berkhidmat.

Perlu RM60,000 segera

image (1)

ALOR SETAR – Seorang bayi mengidap penyakit jantung berlubang berusia dua bulan memerlukan dana kewangan RM60,000 dalam tempoh tiga minggu.

Ibunya, Shaliza Shaari, 39, berkata, dia dimaklumkan doktor pada 25 Februari lalu bahawa anak perempuannya, Nurul Farhana, boleh menjalani pembedahan di Hospital Gleneagles, Pulau Pinang.

“Doktor berpesan bahawa mereka sudah boleh melakukan pembedahan untuk anak ketiga saya dalam tempoh tiga minggu dari tarikh temu janji, jikalau wang mencukupi.

“Namun, saya buntu memikirkan kaedah mengumpulkan sejumlah wang diperlukan kerana hanya bekerja sebagai pembantu stesen minyak berdekatan rumah sahaja,” katanya.

Melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Alor Mengkudu, Sinar Harian sempat menyelami penderitaan Nurul Farhana akibat masalah jantung berlubang itu.

Katanya, suaminya, Mohd Ispari Abdul Hamid, 39, yang bekerja sebagai tukang kebun sebuah sekolah tidak mampu membiayai kos pembedahan kerana memiliki tanggungan lain.

Shaliza berkata, mereka sekeluarga difahamkan ada dua lubang pada jantung anaknya, selain saluran ke jantung Farhana didakwa sempit.

“Hati seolah-olah dirobek ketika menerima perkhabaran jantung anak bermasalah.

“Saya tidak rela meninggalkan dia selama lapan jam setiap hari, namun terpaksa jua demi komitmen lain,” katanya.

Katanya, mereka tidak mampu mengumpulkan kos pembedahan anaknya segera, sekali gus mengharapkan orang ramai membantu meringankan kesulitan itu.

Anak terpaksa pinjam ah long

image (2)

JITRA – Biarpun menyedari risiko bakal dihadapi, seorang lelaki terpaksa meminjam wang daripada ah long untuk membiayai kos peruba-tan bapanya yang kini sedang kritikal di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Logasilan Permal, 28, berkata, dia terpaksa membuat pinjaman tersebut bagi membolehkannya melangsaikan perbelanjaan kos rawatan bapanya, Permal Sengalrayan, 61, yang terlantar di hospital sejak tiga minggu lalu.

Menurutnya, kira-kira jam 12 tengah hari pada hari kejadian, bapanya yang menaiki motosikal jenis Honda C60 terlanggar lintangan dawai di bawah khemah berhadapan sebuah pasar raya sehingga menyebabkan berlaku kereta-kan tulang belakang.

“Walaupun pinjaman tersebut dibuat, ia masih tidak dapat menampung perbelanjaan rawatan bapa di hospital.

“Saya buat pinjaman ah long RM4,000 dan selebihnya daripada rakan-rakan yang faham keadaan sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pinjaman tersebut sekadar menjelaskan pembiayaan pertama di hospital, tetapi masih ada rawatan susulan menelan kos perbelanjaan hampir RM30,000.

Logasilan berkata, ia disebabkan tulang belakang mengawal saraf tunjang bapanya tidak berfungsi menyebabkan pembedahan susulan perlu dijalankan.

“Memandangkan saya tidak bekerja, perkara ini menyukarkan saya untuk menjelaskan bil hospital yang agak mahal itu,” katanya.

Logasilan berkata, selain itu dia terpaksa berhenti kerja daripada sebuah syarikat komputer kerana anaknya sering demam dan terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Saya buntu memikirkan cara untuk memohon bantuan dan mulai malu kerana kerap meminjam wang daripada rakan-rakan,” katanya.

Menurutnya, dia turut menjual peralatan komputernya untuk mendapatkan wang membiayai kos rawa-tan tersebut.