Ingat pesanan Allahyarham isteri

MELAKA – Suami kepada Allahyarham Mastura Abd Karim, 34, ejen insurans yang maut dalam kemalangan jalan raya pertengahan Disember lalu, akan menggunakan wang pampasan insurans isterinya itu untuk kegunaan anak-anak.

Moed Salleh, 54, berkata, semasa hayat isterinya itu pernah berpesan supaya sekiranya berlaku apa-apa terhadap dirinya, gunakanlah wang berkenaan untuk tiga anaknya berusia 15, 11 dan 5 tahun.

“Nasib baik arwah ada mencarum insurans sejak lima tahun lalu. Saya bersyukur, sekurang-kurangnya wang pampasan ini bolehlah digunakan untuk keperluan sekolah anak-anak,” katanya selepas menerima cek berjumlah RM124,553.44  daripada MCIS Insurans Berhad.

Pampasan tersebut disampaikan MCIS Fazil Agency di pejabat mereka di Jalan Munshi Abdullah di sini, semalam.

Pada 18 Disember lalu, Allahyarham Mastura meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kilometer 250 Lebuhraya Utara  – Selatan, arah utara berhampiran Senawang.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, kereta Perodua Alza dinaiki mangsa bersama seorang rakan sekerja berusia 25 tahun terbabit kemalangan dengan sebuah treler ketika mereka dalam perjalanan bertemu pelanggan di Bangi.

Sementara itu, turut menerima pampasan, Sajahan Mohamed, 58, bapa kepada seorang lagi ejen MCIS, Allahyarham Muhammad Idzwan Sajahan, 24, yang meninggal dunia pada 4 Januari lalu juga akibat kemalangan jalan raya.

Menurut ibu Allahyarham, Zalilah Zanal Abidin, 57, wang RM121,555.10 yang diterima akan dimanfaatkan sebaik mungkin termasuk untuk tujuan kebajikan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fazil Agency, Datuk Mohamad Fazil Shafie berharap dengan adanya pampasan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kedua-dua keluarga.

“Bagi saya, Arwah Mastura dan Muhammad Idzwan adalah seorang ejen insurans yang cemerlang. Mastura berkhidmat di agensi ini sudah lebih lima tahun dan merupakan seorang top agent. Manakala arwah Muhammad Idzwan pula sudah kira-kira tiga tahun berkhidmat.

Anak obes terlampau

obes01.transformed

Gandhinagar, India: Seorang bapa di sini, merancang untuk menjual buah pinggangnya sendiri bagi menampung kos perubatan tiga anaknya yang menghadapi masalah obesiti melampau. Rameshbhai Nandwana, 34, berkata, dia terdesak untuk mendapatkan wang kerana bimbang anaknya itu mungkin mati jika tidak mendapat rawatan sepatutnya. Nandwana mempunyai dua anak perempuan, Yogita yang berusia lima tahun dan Anisha, tiga tahun serta seorang anak lelaki Harsh berusia 18 bulan. Walaupun masih kanak-kanak, tetapi mereka memiliki berat badan luar biasa dengan Yogita seberat 34 kilogram (kg), Anisha seberat 48kg dan Harsh 15kg. “Sekiranya anak saya terus membesar seperti ini mereka mungkin menghadapi masalah kesihatan dan mungkin akan mati,” katanya. Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Lelaki kecewa layanan hospital pecah cermin kaunter

image

IPOH – Seorang bekas tentera dilaporkan mengamuk dengan memecah cermin kaunter pendaftaran Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini kerana tidak puas hati dengan layanan seorang petugas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Anuar Osman berkata, dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, lelaki berkenaan dikatakan marah apabila petugas kaunter itu enggan menerima wang pendahuluan RM150 bagi membiayai rawatan isterinya daripada jumlah keseluruhan RM800.

“Lelaki berkenaan membawa isterinya, seorang warga Indonesia, menjalani rawatan di hospital tersebut dan disebabkan terpaksa menerima rawatan lanjut, dia perlu membayar jumlah kesemuanya RM800”, katanya Anuar.

Polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada petugas hospital berkenaan dan siasatan sedang dijalankan, katanya.

Ketika kejadian petugas terbabit melarikan diri bimbang dicederakan. – Bernama