Bersesak dengan warga asing nak dapatkan rawatan

KLANG – Caj murah yang dikenakan hospital kerajaan menjadi antara faktor mendorong orang ramai serta warga asing mendapatkan rawatan.

Tinjauan di Rawatan Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, mendapati bahagian itu sesak dengan orang ramai termasuk warga asing yang sedang menunggu giliran.

Berdasarkan maklumat daripada kakitangan hospital yang hanya mahu dikenali sebagai Santiago, hampir 40 peratus warga asing mendapatkan rawatan di hospital itu.

“Caj untuk warga asing di hospital kerajaan murah berbanding hospital swasta. Untuk pendaftaran hanya bayar RM65, tak termasuk kos rawatan contohnya jika ada ujian darah, X-ray atau lain-lain.

“Pernah seorang warga asing bayar kos rawatan RM1,230 untuk sakit kencing manis sebab dia ditahan di wad.

“Nampak macam mahal, tapi kos itu jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kos rawatan di hospital swasta,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan itu kata Santiago, bilangan pesakit warga asing yang ditahan di wad juga agak tinggi.

“Kebanyakan mereka ditahan sebab cedera kemalangan jalan raya atau di tempat kerja. Selebihnya kerana sakit seperti kencing manis, darah tinggi. Ada juga sebab denggi. Agak tinggi juga jumlah yang kena denggi,” katanya.

HTAR sebelum ini mendapat rungutan kerana katil pesakit tidak mencukupi.

Menurut Santiago, kesesakan beransur pulih selepas pihak hospital membuat sistem pemilihan mengambil pesakit.

“Bermula Mac tahun ini, pesakit yang kritikal akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan selebihnya ke Hospital Selayang bagi mengurangkan kesesakan.

“Langkah itu dilakukan selepas HTAR menjadi tumpuan ramai bukan sahaja dari penduduk di Klang, tetapi dari Shah Alam, Kuala Selangor, Banting dan Sabak Bernam,” katanya.

Bagi pesakit luar, katanya, mereka boleh merujuk kes masing-masing di klinik kesihatan berdekatan kediaman mereka langkah mempercepatkan proses.

“Jika semua dirujuk di HTAR akan ambil masa yang lama dengan jumlah orang ramai yang tinggi setiap hari,” katanya.

Malaysia diancam denggi baharu

ne_01.1

PUTRAJAYA – Malaysia kini menghadapi ancaman wabak denggi jenis baharu yang lebih berbahaya apabila ia mampu merosakkan otak dan hati pesakit sekali gus mengakibatkan banyak kematian dalam masa singkat.

Virus denggi akibat gigitan nyamuk aedes mengakibatkan berlakunya bengkak pada otak atau tisu lapisan luar otak. Pesakit akan mengalami penat, koma, sakit kepala dan lumpuh.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, wabak itu kini ibarat pembunuh nombor satu negara memandangkan simptom serangan penyakit telah berubah berbanding sebelum ini. Simptom denggi sebelum ini hanya menunjukkan pendarahan dan bintik-bintik pada kulit pesakit.

Beliau berkata, sebanyak 54 kes kematian akibat denggi dilaporkan berlaku dalam tempoh 52 hari pertama pada tahun 2015 berbanding 25 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 116 peratus.

“Wabak demam denggi ketika ini lebih kuat dan berat. Ia kini ibarat pembunuh nombor satu dan disifatkan sebagai wabak yang paling bahaya pernah dihadapi Malaysia kerana ia mampu merosakkan otak dan hati,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3SqpAhkm4
Hakcipta terpelihara

Masalah hutang perubatan tinggi rakyat Malaysia

kad-perubatan-mahal

Baru-baru ini didedahkan bahawa terdapat 36 000 rakyat negara ini yang menanggung beban hutang yang tinggi sehingga terpaksa merujuk kepada Agensi Kaunselling dan Pengurusan Kredit(AKPK) akibat gagal melunaskan hutang rawatan perubatan.

Rata-rata mereka ini berumur di antara 20an dan 50an dan mengambil masa maksimum 10 tahun untuk melangsaikan hutang tersebut. Menurut AKPK, angka tersebut merupakan 26% daripada keseluruhan 140,462 pelanggannya yang buntu bagaimana hendak menyelesaikan masalah hutang. Jumlah itu pula dijangka terus meningkat kerana gaya hidup rakyat negara ini yang kurang bersenam, tekanan kerja dan gemar mengambil makanan segera.

Mengikut AKPK, trend berhutang untuk membayar kos rawatan perubatan semakin meningkat setiap tahun. Pada tahun 2007, sebanyak 18% sahaja yang dirujuk kepada AKPK dan kini meningkat kepada 26%. Dalam kebanyakan kes, pesakit menggunakan kad kredit untuk mendapatkan rawatan awal. Ini kerana hospital-hospital swasta enggan menerima pesakit yang tidak mempunyai deposit.

Oleh itu jalan mudah adalah bagi mereka menggunakan kad kredit. Akhirnya, bukan sekadar membayar deposit sahaja menggunakan kad kredit, keseluruhan kos rawatan juga dibayar menggunakan kad kredit. Timbul persoalan apakah yang menyebabkan kos rawatan tinggi di hospital swasta? Ini kerana doktor profesional tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan caj yang tinggi terhadap pesakit kerana mempunyai jadual dan peraturan yang telah ditetapkan.

Kadar bayaran doktor profesional adalah tertakluk di bawah Jadual ke 13 kepada Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006. Ini bermakna kadar caj doktor telah ditetapkan jumlahnya.

Oleh itu caj yang mahal bukan disebabkan oleh bayaran doktor atau kepakaran, tetapi bayaran lain seperti sewa peralatan dan bilik bedah, penyelenggaraan yang tinggi serta kemudahan bilik rawatan terkini bertaraf lima bintang. Terdapat juga caj bagi perkhidmatan jururawat, alat pakai buang, ubat yang lebih mahal serta bayaran perkhidmatan untuk buang sampah, yang juga dikenakan kepada pesakit. Ini yang menyebabkan bayaran hospital swasta kebanyakannya terlalu tinggi. Berbanding dengan hospital kerajaan di mana perkhidmatan dan ubat-ubatannya ditanggung oleh kerajaan dan pesakit hanya membayar alat ganti dalam pembedahan.

Seeloknya pesakit mendapatkan maklumat terperinci mengenai kos rawatan sebelum pergi mendapatkan rawatan di hospital swasta. Pesakit juga perlu bertanya tentang sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku, contohnya komplikasi semasa pembedahan yang akan mengakibatkan caj tambahan. Jika pesakit sudah dilindungi di bawah insurans, pastikan jika terdapat had kepada jumlah kos rawatan yang ditanggung pihak insurans agar tidak terpaksa membayar lebih dari jumlah yang ditetapkan. Bagi pihak hospital pula perlu lebih telus dalam memberitahu semua pesakit terlebih dahulu mengenai anggaran kos rawatan di hospital mereka, selain bayaran bagi doktor profesional.

Contoh caj adalah caj yang dinaikkan disebabkan oleh kos peralatan atau kelengkapan pakai buang, kos bagi inisiatif kualiti, kos kawalan jangkitan hospital dan sebagainya di mana kenaikan kos tersebut tidak dapat dielakkan. Pada masa yang sama, pihak hospital swasta perlu menyediakan bil terperinci kepada pesakit apabila diminta.

Pesakit yang merasakan bil hospitalnya terlalu tinggi atau melampau, boleh membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan. Semua aduan akan disemak dengan merujuk kepada Jadual Ketiga Belas, Peraturan-Peraturan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta (Hosptal Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006.

Sekiranya aduan tersebut berasas, kementerian akan memohon pihak hospital dan pengamal perubatan terlibat untuk mengemukakan penjelasan serta mengadakan rundingan dengan pengadu. Di antara sebab bil rawatan tinggi adalah kerana hospital swasta lebih mengutamakan keuntungan semata-mata berbanding soal kemanusiaan.

Oleh itu disarankan agar hospital swasta jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata dan mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain tetapi perlu juga bertimbang rasa dan berperikemanusiaan. Masyarakat kita juga harus mengubah sikap suka menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah kepada orang lain.

Jika memang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta, maka tidak payahlah ke situ. Seperti kata pepatah “ukur baju di badan sendiri”. Yang penting hidup mengikut kemampuan dan jangan fikirkan apa orang lain kata. Yang akan menanggung bil rawatan yang tinggi adalah diri sendiri, bukan orang lain. Bagi orang Islam, hendaklah berusaha menjelaskan hutang rawatan perubatan mereka.

Ini kerana orang yang tidak membayar hutang rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi sehingga dijelaskan hutang tersebut. Sudah tentu kita tidak mahu terdiri dari golongan yang dimaksudkan.

Budak perempuan 6 tahun hidap kanser payudara

image (1)

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dari Pantai Cahaya Bulan (PCB) dikesan mengidap kanser payudara.

Ketua Jabatan dan Perunding Pembedahan Payudara dan Endoktrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, penemuan tersebut dianggap bukan sahaja paling muda di negara ini, malahan berdasarkan kajian, termuda di dunia.

Katanya, setakat ini pesakit kanser payudara termuda adalah kanak-kanak berusia 10 tahun dari Amerika Syarikat.

“Pada Oktober tahun lalu, saya anggap ini adalah penemuan dalam sejarah perubatan apabila seorang kanak-kanak berusia enam tahun mengalami masalah payu daranya mempunyai biji sebesar dua sentimeter (cm).

“Setelah menjalankan pembedahan dan biji tersebut dihantar untuk kajian, hasilnya mengesahkan dia mengalami kanser payu dara dan sehingga kini masih menerima rawatan di hospital ini secara temu janji,” katanya semasa ditemui di HRPZ II, di sini, hari ini.

Dr Imi Sairi berkata, kanak-kanak tersebut kini berusia tujuh tahun dan kemungkinan kanser itu berlaku disebabkan faktor genetik, namun ibu bapa kanak-kanak tersebut tiada hubung kait mengenai penyakit berkenaan.

Bagaimanapun, kanser yang dialami kanak-kanak berkenaan berada pada peringkat awal mungkin tahap pertama atau kedua.

“Kanser payudara adalah pembunuh nombor satu bagi wanita di Malaysia, namun di Kelantan, berdasarkan jantina lelaki dan perempuan, kanser payudara menjadi penyebab kedua kematian selepas kanser usus.

“Masalah kanser payudara dikawal melalui saringan awal bagi wanita yang cukup usia 40 tahun untuk menjalankan mamogram,” katanya.

Kata beliau, berdasarkan rekod HRPZ II, terdapat 2,262 pesakit secara keseluruhan mengalami kanser dan paling ramai adalah payudara 593 pesakit, diikuti kanser usus 262 dan ovari 183 pesakit, termasuk kanser tiroid, serviks dan leukemia.

Beliau mengakui hampir 50 peratus pesakit kanser di negeri ini datang mendapatkan rawatan di hospital setelah penyakit tersebut kronik di peringkat tahap ketiga dan keempat.

Katanya, kanser payudara juga turut dihidapi pesakit lelaki, namun kaum tersebut lebih menderita akibat penyakit kanser usus dan prostat.

Untuk rekod, Hannah Powell-Auslam, 10, dari Southern California, Amerika Syarikat mengejutkan dunia apabila menjadi gadis paling muda di dunia yang diserang kanser payudara.

Keputusan doktor itu diterima April 2009 dan ia telah menjalani pembedahan kanser yang jarang berlaku yang disebut invasive secretory carcinoma. Menurut catatan perubatan kanser ini diketahui pertama kali menyerang kanak-kanak pada 1960, tetapi hingga sekarang tiada maklumat terperinci mengenai kes berkenaan.

Caj rawatan tinggi guna kad insurans ditangani

image (1)

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi menangani masalah caj perubatan yang tinggi bagi pesakit yang menggunakan kad insurans di pusat perubatan swasta, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata ia termasuk perbincangan dengan agensi insurans, hospital swasta, organisasi jagaan yang diuruskan dan Bank Negara.

Katanya caj berlebihan itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan telah menetapkan had maksimum untuk fi profesional meliputi perundingan dan prosedur bagi pengamal perubatan swasta.

“Kadar ini telah dimaklumkan dan dipersetujui oleh semua pihak iaitu hospital, pesakit dan syarikat insurans selaras dengan Jadual 13 Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 2006,” katanya ketika menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu).

Che Mohamad Zulkifly ingin tahu mengapa caj perubatan di klinik dan hospital swasta yang dikenakan kepada pesakit yang menggunakan kad insurans adalah lebih tinggi berbanding pembayaran secara tunai.

Subramaniam bagaimanapun menjelaskan rakyat harus peka bahawa lain-lain fi seperti penginapan, tatacara kejururawatan, peralatan, ujian makmal dan ubat-ubatan tidak dikawal selia oleh kementerian.

Tambahnya, kuasa pasaran akan menentukan kos sebenar yang dikenakan oleh pengamal perubatan kepada pesakit.

Justeru, beliau menasihatkan pesakit dan anggota keluarga agar membuat pertimbangan sewajarnya sebelum mendapatkan rawatan di hospital swasta.

“Rakyat perlu sedar tiada jaminan sesuatu kos itu terhad dalam satu lingkungan harga. Sebab itu, ada hospital kerajaan. Buatlah keputusan yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Subramaniam berharap kumpulan pengguna kesihatan yang aktif dapat ditubuhkan bagi memberi pandangan khusus serta menjadi pemangkin dalam pengawalanan caj berlebihan oleh pihak swasta. – Bernama

1 2