Perlu RM60,000 segera

image (1)

ALOR SETAR – Seorang bayi mengidap penyakit jantung berlubang berusia dua bulan memerlukan dana kewangan RM60,000 dalam tempoh tiga minggu.

Ibunya, Shaliza Shaari, 39, berkata, dia dimaklumkan doktor pada 25 Februari lalu bahawa anak perempuannya, Nurul Farhana, boleh menjalani pembedahan di Hospital Gleneagles, Pulau Pinang.

“Doktor berpesan bahawa mereka sudah boleh melakukan pembedahan untuk anak ketiga saya dalam tempoh tiga minggu dari tarikh temu janji, jikalau wang mencukupi.

“Namun, saya buntu memikirkan kaedah mengumpulkan sejumlah wang diperlukan kerana hanya bekerja sebagai pembantu stesen minyak berdekatan rumah sahaja,” katanya.

Melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Alor Mengkudu, Sinar Harian sempat menyelami penderitaan Nurul Farhana akibat masalah jantung berlubang itu.

Katanya, suaminya, Mohd Ispari Abdul Hamid, 39, yang bekerja sebagai tukang kebun sebuah sekolah tidak mampu membiayai kos pembedahan kerana memiliki tanggungan lain.

Shaliza berkata, mereka sekeluarga difahamkan ada dua lubang pada jantung anaknya, selain saluran ke jantung Farhana didakwa sempit.

“Hati seolah-olah dirobek ketika menerima perkhabaran jantung anak bermasalah.

“Saya tidak rela meninggalkan dia selama lapan jam setiap hari, namun terpaksa jua demi komitmen lain,” katanya.

Katanya, mereka tidak mampu mengumpulkan kos pembedahan anaknya segera, sekali gus mengharapkan orang ramai membantu meringankan kesulitan itu.

Bayi perlu dana lebih RM150,000

image

SUNGAI PETANI – Hati ibu mana tidak tersentuh melihatkan bayi berusia 13 bulan terpaksa bertarung nyawa berhadapan komplikasi serius sejak lahir selain menempuh pelbagai jenis pembedahan.

Norhidayati Md Noor, 32, berkata, anak bongsu dari enam beradik, Nuralia Adriana Mohd Tarmizi terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan sepanjang masa akibat masalah paru-paru dan jantung.

Namun, si kecil yang sentiasa aktif itu kini memerlukan penjagaan rapi selain  perlukan sokongan semua pihak melengkapkan tiga lagi pembedahan di bahagian usus, hernia dan jantung yang dijangka memerlukan dana melebihi RM150,000.

“Sejak berusia dua hari, Nuralia yang lahir secara pramatang menjalani pembedahandi paru-paru. Selepas tempoh lima bulan, pembedahan buah pinggang pula dilakukan.

“Bulan November dan Disember lalu, dua lagi pembedahan dilakukan melibatkan masalah saluran tersumbat menyebabkan makanan tak dapat dihadam,” katanya.

Disebabkan beberapa masalah kesihatan yang dihadapi Nuralia, bayi tersebut mudah diserang selsema dan demam.

“Kami difahamkan tiga lagi pembedahan perlu dibuat termasuk usus yang perlu ditebuk, pembedahan hernia dan hayat jantung tetapi bergantung tahap kesihatan Nuralia.

“Setakat ini, dia perlu bergantung kepada bantuan alat pernafasan sepanjang masa dan boleh bertahan kurang dari tiga jam sekiranya tidak dibantu alat,” katanya.

Menurutnya, suaminya yang bertugas sebagai askar wataniah membolehkan Nuralia menerima bantuan dari Angkatan Tentera berupa tangki oksigen bagi bantuan alat pernafasan.

Dia turut bersyukur apabila mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan manakala kini sedang memohon bantuan Baitulmal bagi menampung kos pembedahan.

Mengimbau punca kejadian yang berlaku tahun lalu, katanya, ketika sedang menikmati makan tengah hari di rumah keluarga di Pengkalan Lebai Man di sini, berlaku kebakaran kecil menyebabkan dia tergesa-gesa meninggalkan rumah.

Akibat tindakan itu, dia terpijak serpihan kaca lalu terjatuh menyebabkan bayi yang sedang dalam kandungan ketika itu berusia enam bulan perlu dilahirkan segera.

Walaupun terpaksa berhadapan pelbagai masalah kesihatan, dia reda namun tetap berusaha bagi mengubati anaknya.

Pelajar perlu RM11,000 kos bedah

image

KUALA PILAH – Bapa kepada seorang pelajar yang mengalami kecederaan serius di bahagian tulang belakang terharu apabila menerima sumbangan sebanyak RM1,000 oleh Kelab Lion Kuala Pilah bagi meringankan penderitaan anaknya itu.

Muhammad Zikri Zakaria, 15, yang cedera selepas terjatuh di sebuah sekolah berasrama di Rembau perlu menjalani pembedahan segera bernilai RM11,000.

Kecederaan pada saraf tunjang itu menyebabkan Muhammad Zikri kehilangan keupayaan untuk berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Malah, dia kini hanya mampu terbaring di atas katil.

Bapanya, Zakaria Mohd Jan, 64, berkata, kos rawatan anaknya terlalu tinggi memandangkan mereka bukan dari keluarga yang berada dan hanya tinggal di Rumah Rakyat Dangi.

“Doktor ada beritahu kos pembedahan tinggi kerana perlu menampung 10 biji skru bernilai RM8,500. Itu belum termasuk peralatan lain yang digunakan bagi merawat Zikri.

“Saya buntu memikirkan soal kos pembedahan kerana saya hanya seorang pesara tentera.

“Saya dan ahli keluarga telah berusaha membuat permohonan berbentuk wang ihsan kepada pihak berkaitan namun masih belum ada jawapan lagi,” katanya menzahirkan ribuan terima kasih kepada Kelab Lion kerana sudi menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Lion Kuala Pilah, Chin Sin Yin, 26, berkata, bantuan itu diharap dapat mengurangkan beban keluarga berkenaan.

“Kita mengetahui kepayahan keluarga ini menerusi kakak mangsa. Kita tidak mengira agama atau bangsa, sekiranya mereka susah, kita akan bantu dan ini selari dengan semangat 1Malaysia.

“Kami berusaha menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka. Walaupun tidak dapat menampung ke semua kos rawatan, setidaknya wang itu dapat menambah jumlah tabung untuk adik Zikri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merayu kepada orang ramai menghulurkan bantuan kepada Muhammad Zikri demi masa hadapannya.

Budak perempuan 6 tahun hidap kanser payudara

image (1)

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dari Pantai Cahaya Bulan (PCB) dikesan mengidap kanser payudara.

Ketua Jabatan dan Perunding Pembedahan Payudara dan Endoktrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, penemuan tersebut dianggap bukan sahaja paling muda di negara ini, malahan berdasarkan kajian, termuda di dunia.

Katanya, setakat ini pesakit kanser payudara termuda adalah kanak-kanak berusia 10 tahun dari Amerika Syarikat.

“Pada Oktober tahun lalu, saya anggap ini adalah penemuan dalam sejarah perubatan apabila seorang kanak-kanak berusia enam tahun mengalami masalah payu daranya mempunyai biji sebesar dua sentimeter (cm).

“Setelah menjalankan pembedahan dan biji tersebut dihantar untuk kajian, hasilnya mengesahkan dia mengalami kanser payu dara dan sehingga kini masih menerima rawatan di hospital ini secara temu janji,” katanya semasa ditemui di HRPZ II, di sini, hari ini.

Dr Imi Sairi berkata, kanak-kanak tersebut kini berusia tujuh tahun dan kemungkinan kanser itu berlaku disebabkan faktor genetik, namun ibu bapa kanak-kanak tersebut tiada hubung kait mengenai penyakit berkenaan.

Bagaimanapun, kanser yang dialami kanak-kanak berkenaan berada pada peringkat awal mungkin tahap pertama atau kedua.

“Kanser payudara adalah pembunuh nombor satu bagi wanita di Malaysia, namun di Kelantan, berdasarkan jantina lelaki dan perempuan, kanser payudara menjadi penyebab kedua kematian selepas kanser usus.

“Masalah kanser payudara dikawal melalui saringan awal bagi wanita yang cukup usia 40 tahun untuk menjalankan mamogram,” katanya.

Kata beliau, berdasarkan rekod HRPZ II, terdapat 2,262 pesakit secara keseluruhan mengalami kanser dan paling ramai adalah payudara 593 pesakit, diikuti kanser usus 262 dan ovari 183 pesakit, termasuk kanser tiroid, serviks dan leukemia.

Beliau mengakui hampir 50 peratus pesakit kanser di negeri ini datang mendapatkan rawatan di hospital setelah penyakit tersebut kronik di peringkat tahap ketiga dan keempat.

Katanya, kanser payudara juga turut dihidapi pesakit lelaki, namun kaum tersebut lebih menderita akibat penyakit kanser usus dan prostat.

Untuk rekod, Hannah Powell-Auslam, 10, dari Southern California, Amerika Syarikat mengejutkan dunia apabila menjadi gadis paling muda di dunia yang diserang kanser payudara.

Keputusan doktor itu diterima April 2009 dan ia telah menjalani pembedahan kanser yang jarang berlaku yang disebut invasive secretory carcinoma. Menurut catatan perubatan kanser ini diketahui pertama kali menyerang kanak-kanak pada 1960, tetapi hingga sekarang tiada maklumat terperinci mengenai kes berkenaan.

Nia menderita jantung semakin membesar

image (2)

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung berlubang mengharapkan simpati orang ramai untuk mendapatkan dana sejumlah RM45,000 bagi tujuan pembedahan.

Ibunya, Nor Azirah Mohd Nasir Kok, 28, berkata, anak tunggalnya, Nia Ryana Zul Azri yang berusia dua tahun tujuh bulan dikesan menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan.

Menurutnya, penderitaan anaknya yang mesra dipanggil Nia semakin serius sejak berumur dua tahun kerana keadaan jantung yang semakin membesar.

“Mengalir air mata saya setiap kali Nia mengadu dadanya sakit selepas terlalu aktif bermain, tapi apa boleh saya buat hanya mampu berdoa dan mengharap ada insan yang simpati membiayai dana pembedahan anak saya.

“Pihak hospital anggarkan kos RM40,000 hingga RM45,000 perlu disediakan untuk pembedahan segera memandangkan keadaan jantung Nia semakin hari semakin membesar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Nor Azirah berkata, keadaan tumbesaran anaknya terbantut sejak dari kecil sehingga beratnya di bawah 10 kilogram meskipun sudah berusia lebih dua tahun kesan daripada penyakit jantung berlubang yang dihidapinya.

Katanya, pendapatan suami sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Pasir Gudang sekadar cukup makan mereka tiga beranak dan jauh sekali dapat menampung dana pembedahan anaknya.

“Saya sudah melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan dana pembiayaan bagi melakukan pembedahan Nia termasuk ke jabatan bertanggungjawab, namun sehingga kini belum membuahkan hasil.

“Saya rayu simpati orang ramai agar dapat menghulurkan sumbangan supaya Nia dapat menjalani pembedahan secepat mungkin.

“Orang ramai yang sudi membantu boleh hubungi saya di talian 012-7153296” katanya.

1 2