MH370: RM16.8 juta insurans dibayar kepada waris

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM16.8 juta bagi tuntutan insurans hayat dibayar kepada waris penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370.
Dalam kenyataan hari ini, Life Insurance Association of Malaysia (LIAM) berkata 185 polisi telah dikeluarkan oleh 14 buah syarikat insurans hayat di Malaysia yang telah diselesaikan dari Mac 2014 sehingga kini.
“Syarikat insurans hayat menganggap kemalangan itu sebagai satu keadaan luar biasa dan telah mengenepikan semua bukti kematian seawal Mac 2014 untuk memproses pembayaran tuntutan.
“Bagi polisi hayat, jumlah yang dibayar adalah berdasarkan jumlah yang diinsuranskan,” katanya dengan menyatakan simpati kepada anggota keluarga dan waris mereka yang berada di dalam pesawat MH370.
“Kami memuji kerajaan atas usaha dan komitmen berterusan mereka dengan negara-negara luar iaitu China, Australia dan lain-lain dalam mencari, menyelamat dan menyiasat MH370 untuk mengakhiri tragedi malang ini,” katanya.
Syarikat insurans hayat yang terlibat ialah AIA Bhd, Allianz Life Insurance Malaysia Bhd, AmLife Insurance Bhd, AXA AFFIN Life Insurance Bhd, Etiqa Insurance Bhd, Gibraltar BSN Life Bhd, Great Eastern Life Assurance (M) Bhd, Hong Leong Assurance Bhd, Manulife Insurance Bhd, MCIS Insurance Bhd, Prudential Assurance Malaysia Bhd, Sun Life Malaysia Assurance Bhd, Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd dan Zurich Insurance Malaysia Bhd. – Bernama

Bersesak dengan warga asing nak dapatkan rawatan

KLANG – Caj murah yang dikenakan hospital kerajaan menjadi antara faktor mendorong orang ramai serta warga asing mendapatkan rawatan.

Tinjauan di Rawatan Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, mendapati bahagian itu sesak dengan orang ramai termasuk warga asing yang sedang menunggu giliran.

Berdasarkan maklumat daripada kakitangan hospital yang hanya mahu dikenali sebagai Santiago, hampir 40 peratus warga asing mendapatkan rawatan di hospital itu.

“Caj untuk warga asing di hospital kerajaan murah berbanding hospital swasta. Untuk pendaftaran hanya bayar RM65, tak termasuk kos rawatan contohnya jika ada ujian darah, X-ray atau lain-lain.

“Pernah seorang warga asing bayar kos rawatan RM1,230 untuk sakit kencing manis sebab dia ditahan di wad.

“Nampak macam mahal, tapi kos itu jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kos rawatan di hospital swasta,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan itu kata Santiago, bilangan pesakit warga asing yang ditahan di wad juga agak tinggi.

“Kebanyakan mereka ditahan sebab cedera kemalangan jalan raya atau di tempat kerja. Selebihnya kerana sakit seperti kencing manis, darah tinggi. Ada juga sebab denggi. Agak tinggi juga jumlah yang kena denggi,” katanya.

HTAR sebelum ini mendapat rungutan kerana katil pesakit tidak mencukupi.

Menurut Santiago, kesesakan beransur pulih selepas pihak hospital membuat sistem pemilihan mengambil pesakit.

“Bermula Mac tahun ini, pesakit yang kritikal akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan selebihnya ke Hospital Selayang bagi mengurangkan kesesakan.

“Langkah itu dilakukan selepas HTAR menjadi tumpuan ramai bukan sahaja dari penduduk di Klang, tetapi dari Shah Alam, Kuala Selangor, Banting dan Sabak Bernam,” katanya.

Bagi pesakit luar, katanya, mereka boleh merujuk kes masing-masing di klinik kesihatan berdekatan kediaman mereka langkah mempercepatkan proses.

“Jika semua dirujuk di HTAR akan ambil masa yang lama dengan jumlah orang ramai yang tinggi setiap hari,” katanya.

‘Kami sudah habis wang’

Muhammad Nur Iman Mohd Razi

Jempol: Sepasang suami isteri mengharapkan bantuan orang ramai bagi menampung perbelanjaan rawatan anak sulung mereka yang menghidap ketumbuhan tahap empat dan koma sejak 9 Mac lalu.

Anak mereka, Muhammad Nur Iman Mohd Razi, 5, sudah dihantar menjalani rawatan susulan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) Rabu lalu selepas menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah selama 44 hari.

Bapanya, Mohd Razi Aris, 37, dari FELDA Pasoh 2 berkata, pembedahan membuang ketumbuhan di kepala anaknya itu dijalankan di HKL pada 18 Januari lalu dan berada di wad selama tiga minggu sebelum dibenarkan pulang selepas itu.

Katanya, pada awalnya penyakit anaknya itu dikesan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jempol selepas tidak boleh berjalan dengan sempurna dan selalu keletihan jika banyak melakukan pergerakan.

“Anak saya kemudian dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan pakar perubatan mengesahkan ada ketumbuhan pada bahagian kepalanya sebelum dirujuk ke HKL,” katanya dihubungi, di sini.

Katanya, doktor hanya membuang separuh ketumbuhan kerana dikhuatiri menimbulkan komplikasi lain terhadap kesihatan anaknya dan perlu menunggu ujian imbasan magnetik resonan (MRI) yang dibuat tiga minggu selepas pembedahan.

“Namun, kesihatannya terjejas selepas kami empat beranak terbabit kemalangan di Kuala Pilah sehingga anak terpaksa dimasukkan ke ICU HTAN pada 9 Mac lalu selepas tidak sedarkan diri,” katanya.

Mohd Razi berkata, dia dan isteri, Norhamima Abd Manap, 33, bersama-sama menjaga anak mereka sejak dimasukkan ke HKL menyebabkan mereka sudah kehabisan wang.

Katanya, sebelum ini dia turut berniaga kecil-kecilan, namun terhenti selepas kemalangan yang menyebabkan keretanya rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi.

Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd Razi di talian 013-6949482.

– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/46264#sthash.7IA12DSc.dpuf

Pesakit kanser tulang rayu bantuan

image

BATU PAHAT – Seorang bapa tunggal di sini, merayu bantuan untuk merawat penyakit kanser tulang dihadapinya.

Adnan Ahmad berkata, dia memerlukan RM1,600 bagi menjalani rawatan hemodialisis bagi mencuci darah yang dikatakan menjadi punca penyakitnya.

Menurutnya, selagi tidak menjalani rawatan itu, penyakit kanser tulang atau ‘gout tulang’ itu makin teruk dan boleh mengancam nyawa.

Tambahnya lagi, sejak sakit, dia terpaksa berhenti kerja pada 2007 dan hingga kini tiada pendapatan tetap.

“Saya terpaksa berhenti kerja, jadi kami sekeluarga tiada pendapatan tetap. Hanya bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (Maij).

“Walaupun bantuan itu RM500 sebulan, tak cukup sebab saya kena bayar sewa rumah, sara dua anak, beli barang dapur dan bil elektrik dan air.

“Saya juga perlu beli ubat untuk penyakit saya ini, sekitar RM300 sebulan,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Senggarang.

Tambahnya, anak sulungnya, Mohd Riduan, 14, juga terpaksa bekerja untuk menambah pendapatan keluarga.

“Ada kala saya kasihan kepada kedua-dua anak saya, mereka terpaksa bersusah sebab saya, sejak ketiadaan isteri tujuh tahun lalu, mereka yang jaga saya, ada masa jiran datang bantu,” katanya.

Dia berharap ada pihak sudi meringankan beban mereka tiga beranak dengan membantunya menjalani rawatan.

“Saya memang perlukan RM1,600 itu untuk rawat sakit saya ini.

“Rawatan itu agak mahal sebab perlu dibuat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, peralatan itu tiada di hospital di daerah ini,” katanya.

Sumbangan kepada Adnan boleh disalurkan melalui No Akaun Bank Simpanan Nasional; 0100441000013114.

Insurans Hayat Bebas GST, Kata LIAM

gst

KUALA LUMPUR: Insurans hayat diecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).

Dalam satu kenyataan di sini, Jumaat, persatuan berkata antara produk dikecualikan GST ialah polisi seumur hidup, endowmen, anak, pendidikan dan anuiti.

Bagaimanapun, premium bagi rider bukan hayat seperti penyakit kritikal, perubatan dan kesihatan serta kemalangan diri akan tertakluk kepada GST, katanya.

LIAM berkata, rider bukan hayat didefinisikan sebagai rider yang tidak meliputi kematian semula jadi.

Sekalipun premium bagi polisi berkaitan pelaburan tidak dikenakan GST, fi dan caj terhadap polisi-polisi ini seperti fi polisi akan tertakluk kepada GST, katanya.

“Bagi polisi yang dibayar menerusi fasiliti debit, syarikat insurans akan bekerja dengan bank untuk meningkatkan had yang dibenarkan untuk meliputi GST,” katanya.

LIAM mempunyai 16 anggota iaitu 14 syarikat insurans hayat dan dua syarikat insurans semula hayat.

1 2 3 4