Ingat pesanan Allahyarham isteri

MELAKA – Suami kepada Allahyarham Mastura Abd Karim, 34, ejen insurans yang maut dalam kemalangan jalan raya pertengahan Disember lalu, akan menggunakan wang pampasan insurans isterinya itu untuk kegunaan anak-anak.

Moed Salleh, 54, berkata, semasa hayat isterinya itu pernah berpesan supaya sekiranya berlaku apa-apa terhadap dirinya, gunakanlah wang berkenaan untuk tiga anaknya berusia 15, 11 dan 5 tahun.

“Nasib baik arwah ada mencarum insurans sejak lima tahun lalu. Saya bersyukur, sekurang-kurangnya wang pampasan ini bolehlah digunakan untuk keperluan sekolah anak-anak,” katanya selepas menerima cek berjumlah RM124,553.44  daripada MCIS Insurans Berhad.

Pampasan tersebut disampaikan MCIS Fazil Agency di pejabat mereka di Jalan Munshi Abdullah di sini, semalam.

Pada 18 Disember lalu, Allahyarham Mastura meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kilometer 250 Lebuhraya Utara  – Selatan, arah utara berhampiran Senawang.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, kereta Perodua Alza dinaiki mangsa bersama seorang rakan sekerja berusia 25 tahun terbabit kemalangan dengan sebuah treler ketika mereka dalam perjalanan bertemu pelanggan di Bangi.

Sementara itu, turut menerima pampasan, Sajahan Mohamed, 58, bapa kepada seorang lagi ejen MCIS, Allahyarham Muhammad Idzwan Sajahan, 24, yang meninggal dunia pada 4 Januari lalu juga akibat kemalangan jalan raya.

Menurut ibu Allahyarham, Zalilah Zanal Abidin, 57, wang RM121,555.10 yang diterima akan dimanfaatkan sebaik mungkin termasuk untuk tujuan kebajikan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fazil Agency, Datuk Mohamad Fazil Shafie berharap dengan adanya pampasan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kedua-dua keluarga.

“Bagi saya, Arwah Mastura dan Muhammad Idzwan adalah seorang ejen insurans yang cemerlang. Mastura berkhidmat di agensi ini sudah lebih lima tahun dan merupakan seorang top agent. Manakala arwah Muhammad Idzwan pula sudah kira-kira tiga tahun berkhidmat.

MH370: RM16.8 juta insurans dibayar kepada waris

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM16.8 juta bagi tuntutan insurans hayat dibayar kepada waris penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370.
Dalam kenyataan hari ini, Life Insurance Association of Malaysia (LIAM) berkata 185 polisi telah dikeluarkan oleh 14 buah syarikat insurans hayat di Malaysia yang telah diselesaikan dari Mac 2014 sehingga kini.
“Syarikat insurans hayat menganggap kemalangan itu sebagai satu keadaan luar biasa dan telah mengenepikan semua bukti kematian seawal Mac 2014 untuk memproses pembayaran tuntutan.
“Bagi polisi hayat, jumlah yang dibayar adalah berdasarkan jumlah yang diinsuranskan,” katanya dengan menyatakan simpati kepada anggota keluarga dan waris mereka yang berada di dalam pesawat MH370.
“Kami memuji kerajaan atas usaha dan komitmen berterusan mereka dengan negara-negara luar iaitu China, Australia dan lain-lain dalam mencari, menyelamat dan menyiasat MH370 untuk mengakhiri tragedi malang ini,” katanya.
Syarikat insurans hayat yang terlibat ialah AIA Bhd, Allianz Life Insurance Malaysia Bhd, AmLife Insurance Bhd, AXA AFFIN Life Insurance Bhd, Etiqa Insurance Bhd, Gibraltar BSN Life Bhd, Great Eastern Life Assurance (M) Bhd, Hong Leong Assurance Bhd, Manulife Insurance Bhd, MCIS Insurance Bhd, Prudential Assurance Malaysia Bhd, Sun Life Malaysia Assurance Bhd, Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd dan Zurich Insurance Malaysia Bhd. – Bernama

Insurans Hayat Bebas GST, Kata LIAM

gst

KUALA LUMPUR: Insurans hayat diecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).

Dalam satu kenyataan di sini, Jumaat, persatuan berkata antara produk dikecualikan GST ialah polisi seumur hidup, endowmen, anak, pendidikan dan anuiti.

Bagaimanapun, premium bagi rider bukan hayat seperti penyakit kritikal, perubatan dan kesihatan serta kemalangan diri akan tertakluk kepada GST, katanya.

LIAM berkata, rider bukan hayat didefinisikan sebagai rider yang tidak meliputi kematian semula jadi.

Sekalipun premium bagi polisi berkaitan pelaburan tidak dikenakan GST, fi dan caj terhadap polisi-polisi ini seperti fi polisi akan tertakluk kepada GST, katanya.

“Bagi polisi yang dibayar menerusi fasiliti debit, syarikat insurans akan bekerja dengan bank untuk meningkatkan had yang dibenarkan untuk meliputi GST,” katanya.

LIAM mempunyai 16 anggota iaitu 14 syarikat insurans hayat dan dua syarikat insurans semula hayat.

Boleh dianggap pelaburan

Kuala Lumpur: Mengambil insurans atau takaful bagi perlindungan kediaman tidak boleh lagi dilihat sebagai sesuatu yang membebankan memandangkan risiko kerugian serius mungkin ditanggung sekiranya pemilik tidak mengambil polisi untuk kediaman mereka.

Perunding Kewangan Islam di Al-Falah Advisor Ahmad Humaizi Mat Noor berkata, masyarakat perlu mula menanam kepercayaan bahawa perlindungan insurans atau takaful adalah satu bentuk pelaburan dan bukan sekadar perlindungan semata-mata.

“Pemilik kediaman perlu memikirkan risiko kerugian serius yang bakal berlaku sekiranya tiada perlindungan dan bukannya mengalami kerugian terhadap sumbangan caruman yang dibayar setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, memandangkan kekerapan kejadian bencana alam di Malaysia sejak kebelakangan ini, syarikat insurans dan pengendali takaful perlu lebih agresif dalam memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan untuk mengambil perlindungan.

“Walaupun mereka perlu menanggung kos tambahan, namun ia tidak menjadi satu bebanan sekiranya pengguna mengetahui kepentingan menangani risiko bencana alam.

“Kawasan yang kerap mengalami bencana alam wajar dijadikan satu syarat untuk mempunyai perlindungan bencana alam, terutamanya kepada mereka yang membuat pembiayaan perumahan dengan institusi perbankan,” katanya.

Menurutnya, setiap polisi mempunyai kadar bayaran tahunan yang berbeza mengikut risiko yang ingin dilindungi bergantung kepada syarikat insurans atau pengendali takaful.

“Tidak ramai yang memiliki polisi melindungi bencana alam kerana ia tidak menjadi syarat untuk mengambil perlindungan berkenaan oleh institusi kewangan yang membiayai pinjaman perumahan.

“Masyarakat menganggap perlindungan bencana alam tidak perlu dan hanya memadai dengan insurans kebakaran asas yang disyaratkan bank,” katanya.

Ahmad Humaizi berkata, kebanyakan pemilik kediaman percaya bahawa sekiranya berlaku bencana alam, ia tidak akan merosakkan harta benda mereka.

“Kebiasaannya, apabila kita membuat keputusan sama ada untuk mengambil langkah perlindungan, kita cenderung untuk merujuk pengalaman masa lalu.

“Kita membuat keputusan berdasarkan kepercayaan yang bencana alam yang teruk tidak akan berlaku kepada hartanah kita, kerana ia tidak berlaku kepada kita baru-baru ini sedangkan sejarahnya pernah berlaku pada 40 atau 50 tahun yang lalu sebagaimana banjir besar di Kelantan pernah terjadi pada tahun 1967,” katanya.

– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21162#sthash.u0qqNwOn.dpuf

Konsep tabarru’ dalam Takaful

SESUNGGUHNYA Islam adalah agama yang sangat sempurna. Segala sistem dan peraturannya adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan hidup manusia. Peraturan-peraturan Islam selari dengan fitrah kejadian manusia.

Secara fitrahnya manusia sangat sukakan harta, maka Islam telah meletakkan panduan yang jelas kepada manusia dalam hal-hal berkaitan harta agar harta tersebut memberikan kebaikan kepadanya.

Dalam Islam, manusia tidak memiliki harta tersebut secara mutlak, bahkan harta tersebut adalah sebagai amanah Allah untuk diatur dan disalurkan dengan cara yang diredai-Nya.

Islam menyediakan kaedah penyelesaian yang bukan sahaja praktikal malah dapat memberikan kebaikan di dunia dan di akhirat. Sebagai agama yang praktikal, Islam menyediakan solusi kepada pelaksanaan sistem insurans yang selari dengan prinsip syariah Islam.

Kontrak tabarru’ (bersedekah) telah diperkenalkan sebagai asas kepada sistem takaful di mana kontrak berkenaan adalah lebih praktikal dan selamat dalam mengatur-urus sistem insurans yang pada tujuan asalnya adalah dianggap baik.

Perbahasan kali ini adalah berkaitan konsep tabarru’ dan mengapa ia dipilih sebagai kontrak yang selamat pada pandangan Islam dalam menjalankan aktiviti dan transaksi insurans.

Berkasih sayang

Tabarru’ bermaksud suatu bentuk derma ikhlas yang diberi oleh satu pihak dengan tidak meminta pertukaran atau balasan daripada pihak yang lain.

Ia dikategorikan sebagai kontrak satu pihak (unilateral) di mana cukup dengan hanya satu pihak sahaja yang melafazkan sesuatu pemberian tanpa ada sebarang pertukaran.

Tabarru’ adalah antara amalan soleh yang sangat digalakkan oleh Islam. Islam menggalakkan semangat tolong-menolong dan berkasih sayang antara satu sama lain. Justeru amalan bersedekah ini sangat tinggi nilainya di sisi Islam.

Ini kerana ia adalah asas kepada wujudnya masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Oleh kerana itulah banyak dalil yang menyokong perkara ini. Antaranya maksud firman Allah SWT yang maksud-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 254)

Rasulullah SAW juga menegaskan dalam banyak sabda Baginda akan galakan dan keperluan melakukan sedekah. Antaranya daripada Rasulullah SAW dengan sabdanya: Firman Allah: Belanjakanlah (hartamu) wahai anak Adam, nescaya kamu akan diinfaqkan (oleh Allah SWT) (Muttafaq ‘alaih)

Daripada Rasulullah SAW dengan sabdanya: Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah amalannya melainkan dengan tiga perkara: Sedekah yang berterusan, ataupun ilmu yang memberikan manfaat, ataupun anak yang soleh yang berdoa kepadanya. (riwayat Muslim)

Dalam takaful, setiap peserta yang menyertai mana-mana produknya akan memperuntukkan sebahagian atau keseluruhan daripada sumbangannya (premium) ke dalam satu tabung.

Tabung tersebut dinamakan Tabung Risiko. Ia menempatkan derma terkumpul para peserta. Fungsi dana ini adalah sebagai bantuan kepada peserta yang ditimpa musibah.

Sebagai contoh, setiap peserta berjanji melakukan derma secara bulanan (al Iltizam bi al Tabarru’) ke dalam Tabung Risiko.

Di bawah model ini, sumbangan peserta akan ditempatkan ke dalam satu akaun.

Pihak peserta yang telah berjanji melakukan derma tadi, membenarkan Pengendali Takaful mengambil sejumlah tertentu daripada jumlah yang diperlukan untuk membantu peserta-peserta yang ditimpa musibah pada bulan berkenaan untuk didermakan (drip) setiap bulan ke dalam Tabung Risiko.

Setiap peserta akan saling membantu di antara mereka apabila ada di kalangan mereka yang ditimpa musibah.

Aplikasi tabarru’ di dalam takaful telah menghapuskan unsur-unsur gharar (syubhat), riba dan maisir (judi) yang kerananya telah menyebabkan insurans konvensional difatwakan haram.

Ini kerana tabarru’ dikategori sebagai kontrak satu pihak yang tidak memerlukan sebarang pertukaran atau timbal balas sebagaimana kontrak pertukaran seperti kontrak jual beli yang menentukan adanya pertukaran di antara dua pihak yang berkontrak.

Seseorang yang menderma cukup dengan menyerahkan barangan yang didermakan kepada pihak-pihak yang berkenaan, maka kontraknya telah dikira selesai. Tetapi bagi kontrak pertukaran seperti jual beli, kontraknya dikira selesai apabila pembeli menyerahkan wang (harga barang) dan penjual menyerahkan barang yang dijual tersebut, jika tidak kontrak berkenaan dikira tidak sah.

Inilah yang berlaku di dalam transaksi insurans konvensional di mana walaupun pelanggan telah membayar premium (harga) pihak penanggung insurans tidak berupaya menyerahkan barang yang berupa perlindungan, pada kebiasaannya dalam bentuk wang.

Ini kerana perlindungan (wang) tersebut hanya boleh diserahkan jika pelanggan berkenaan mengalami jenis risiko yang dilindungi seperti sakit jantung, mati, kemalangan dan sebagainya.

Wang hangus

Semasa membeli insurans, pelanggan berkenaan belum lagi menghidap musibah-musibah berkenaan. Maka sudah pasti pelanggan berkenaan tidak akan mendapat barang yang dibelinya itu yang sepatutnya diserahkan kepadanya pada masa tersebut.

Lagipun, musibah seperti sakit jantung, mati , kemalangan dan sebagainya itu sifatnya tidak diketahui akan berlaku atau pun tidak. Maka pelanggan berkenaan tidak pasti sama ada akan dapat atau tidak.

Dalam konteks kontrak jual beli, tidak berupaya menyerahkan barang yang dijual semasa akad dimeterai ia dikira sebagai transaksi yang mengandungi elemen gharar yang ditegah oleh Rasulullah SAW. Inilah yang berlaku dalam transaksi insurans konvensional.

Menerusi pelaksanaan tabarru’ ini yang diikat dengan prinsip Takaful (saling membantu) mewujudkan suasana saling tolong-menolong di antara satu sama lain.

Sebagai analogi mudah, peserta A menderma untuk membantu peserta B, manakala peserta B menderma untuk membantu peserta A, suasana bantu membantu inilah yang dikatakan sebagai Takaful di mana peserta saling membantu sesama mereka.

Bukannya di antara peserta dengan pihak syarikat sebagaimana yang berlaku di dalam sistem insurans konvensional.

Berdasarkan prinsip-prinsip tabarru’ sumbangan derma itu tidak boleh ditarik balik oleh peserta. Jika peserta membatalkan penyertaan di dalam Takaful, bahagian yang telah dimasukkan ke dalam Tabung Risiko tidak akan dipulangkan. Bagaimanapun peserta berhak mendapat baki yang ada di dalam akaun.

Justeru, tiada istilah ‘wang hangus’ dalam keadaan ini sebagaimana yang cuba disalah tafsirkan kerana ia wang derma yang bakal diganjari pahala yang lumayan oleh Allah.

Demikian kerana dalam aplikasi takaful, jika sekiranya tidak berlaku tuntutan ke atas perkara yang dilindungi, sumbangan tabarru’ tersebut berperanan sebagai sumbangan amal jariah yang sangat-sangat istimewa dalam Islam.

Inilah di antara kelebihan dan keindahan sistem takaful yang tidak ada dalam sistem insurans konvensional. Menikmati habuan ukhrawi di samping habuan duniawi sekali gus.

Allah menjanjikan ganjaran yang lumayan bagi mereka yang bersedekah. Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261). Selain itu boleh juga merujuk ke ayat 274 surah al-Baqarah.

Bukan sahaja peserta yang dapat menikmati manfaat rabbani ini malah mereka yang bekerja di syarikat-syarikat takaful termasuklah para wakil atau ejen Takaful yang terus menerus mempromosikan konsep tabarru’ ini, juga bakal mendapat ganjaran ilahi.

Menerusi amalan tabarru’ ini kita boleh menikmati ganjaran yang istimewa daripada Allah. Amalan ini boleh dikerjakan dengan lebih sempurna, sistematik dan profesional menerusi sistem takaful.

Malah amalan menerusi sistem Takaful ini adalah tabarru’ kelas pertama di mana ia dilakukan dengan ikhlas, sehinggakan tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

1 2