Alternatif lutut sendi besi

Assalamualaikum Prof Nizar,

Saya sering mengikuti artikel Prof dalam akhbar Sinar Harian. Saya amat tertarik dengan pelbagai rawatan sakit kronik terkini yang mampu mengembalikan kehidupan kepada pesakit. Bagi saya ini satu rahmat besar kepada semua pesakit kronik yang lama menderita kerana kebanyakan rawatan moden dan alternatif sebelum ini kurang menyerlah keberkesanannya.

foto-6Begini, bapa saya seorang pesara tentera berumur 75 tahun. Beliau mengidap sakit lutut dan tidak mampu berjalan jauh kerana menanggung kesakitan.

Dalam rumah beliau boleh berjalan hanya dengan menggunakan tongkat. Bila bangun pagi beliau tidak boleh berdiri dan berjalan sendiri kerana lutut menjadi kaku dan sakit. Malah beliau perlu dipapah untuk ke bilik air. Beliau sudah lama bersolat sambil duduk di kerusi.

Beliau tidak boleh bertinggung untuk buang air besar kerana pasti mengalami kesukaran berdiri semula.

Selain itu lututnya sentiasa berbunyi ‘klik’ apabila cuba digerakkan.

Ubat tahan sakit seperti ponstan dan celebrex sudah macam tidak berkesan lagi.

Saya merujuk bapa saya kepada seorang doktor pakar ortopedik, beliau kata bapa saya mengidap penyakit osteoarthritis (OA).

Doktor mencadangkan rawatan pembedahan menggantikan kedua-dua sendi lutut dengan sendi besi (total knee replacement) tapi bapa saya menolak.

Saya tertarik dengan rawatan suntikan radiofrequency yang mampu menyelesaikan hampir kesemua jenis kesakitan kronik.

Soalan saya, bolehkah kaedah suntikan ini membantu sakit lutut yang berpunca daripada OA?

Johari Muhammad, Shah Alam, Selangor.

Jawapan Prof Nizar:

Sakit lutut dalam kalangan orang berusia dinamakan osteoarthritis iaitu sejenis sakit sendi yang disebabkan oleh proses penuaan yang berlaku dalam sendi. Apa yang berlaku ialah permukaan rawan sendi menipis dan cecair sinovial (pelincir) dalam sendi juga berkurangan.Ruang sendi secara tidak langsung menjadi kecil di samping terdapat tulang baru yang tumbuh di kelilingnya.

Akibat semua perubahan ini pergerakan pada sendi akan menyebabkan geseran kasar dan menyakitkan.

Pada peringkat awal proses ini akan menimbulkan tindak balas inflamasi / keradangan, itu menjawab kenapa pada peringkat awal ubat than sakit seperti ponstan dan celebrex dapat melegakan sakit.

Tapi lama kelamaan proses artritis ini akan bertukar kepada proses degenerative iaitu satu bentuk proses penuaan. Maka tidak hairanlah ubat tahan sakit tidak lagi berkesan. Ubat yang sesuai pada peringkat ini ialah ubat yang bertindak terus pada pusat sensori saraf pusat (otak) seperti paracetamol, tramadol, ultracet dan oxycontin.

Semua sakit artritis cenderung untuk berbunyi ‘klik’ kerana geseran kasar sendi tadi dan juga daripada ligamen dan tendon otot yang mengalami beberapa perubahan degenerative pada masa sama.

Semua sakit sendi akan memberi gejala kaku / ketat sendi bila lama berehat seperti baru bangun tidur atau lama menonton TV. Jadi pantang larang untuk orang sakit sendi ialah jangan berehat lama.

Sendi perlu terus digerakkan. Rawatan radiofrequency (RF) untuk sakit lutut OA baru saja diperkenalkan setahun lalu. Penemuan besar ini telah memberi rahmat kepada pengidap sakit lutut seperti bapa anda.

Fokus utama rawatan RF ini ialah mengurangkan rasa sakit dalam lutut dengan ‘melemahkan’ saraf kecil yang mensarafi permukaan lutut.

Apa yang menariknya ialah, suntikan dilakukan di luar lutut bukan dalam lutut. Rawatan ini akan lebih berkesan jika suntikan cecair pelincir lutut (monovisc) turut dilakukan.

Jadi matlamat rawatan yang sempurna ialah dua dalam satu; mengurangkan sakit sendi lutut dan melincinkan pergerakan sendi lutut.

Kejayaannya boleh mencapai 80 peratus terutama bagi pesakit yang tidak mempunyai masalah lebihan berat badan.

Jelas sekali dengan kepakaran baru ini pembedahan sendi lutut boleh dielakkan. Pembedahan bukannya jalan terakhir untuk pesakit OA lutut yang kronik.

Walau bagaimanapun kaedah RF ini hanya sesuai untuk sakit lutut yang belum lagi timbul kecacatan (deformity) seperti lutut yang sudah bengkok.

Di Malaysia pakar sakit kronik (pain specialist) yang dapat melakukan suntikan RF ini amat terhad bilangannya.

Orang Melayu kurang sedar keperluan insurans

10447159_808458905841808_8514438678744036512_n

KUALA LUMPUR – Tahap kesedaran di kalangan orang melayu untuk perlindungan insurans perlu ditingkatkan lagi bagi meningkatkan kadar penembusan Takaful Ikhlas, demikian menurut dua penerima anugerah cemerlang syarikat berkenaan.

“Dilihat pada kadar penembusan 12 peratus untuk tahun 2012, kami melihat potensi yang cerah di pasaran yang belum ditembusi iaitu 88 peratus daripada pasaran sasaran Melayu Muslim di Malaysia,” kata Nik Faizal Nik Fauzi, 36, yang mana Al-Faisal Agencynya telah berjaya mengumpul premium RM1.5 juta untuk tempoh 2012/2013, kepada pemberita.

Nik Faizal dari Kelantan yang memegang ijazah senibina dari Universiti Malaya, ialah pemenang untuk anugerah agensi mega Takaful tahun ini.

Sementara itu, Zuraidah Hanim Ibrahim yang memenangi anugerah “Million Dollar Round Table” (MDRT) USA dalam kategori pencapaian peribadi pula menambah, “Orang Melayu merupakan 90 peratus daripada pelanggan saya, dan tahap kesedaran di kalangan orang Melayu terhadap keperluan melindungi diri sendiri dengan insurans masih rendah berbanding kaum lain.”

Diasaskan pada 1927, MDRT ialah Persatuan Profesional Kewangan terkemuka antarabangsa dengan hampir 38,000 profesional perkhidmatan insurans hayat dan kewangan dari lebih 450 syarikat di 79 negara.

Malam anugerah Takaful Ikhlas ialah pada 29 Jun. – Bernama

Artikel berita di atas menunjukkan bahawa bangsa bumiputera kurang kesedaran mengenai kepentingan insurans atau takaful. Bangsa bumiputera meletakkan insurans/takaful sebagai sesuatu yang tidak penting dan ada yang menganggap insurans dan takaful itu sesuatu yang merugikan. Kaum bukan bumiputera pula dikatakan mempunya kesedaran yang tinggi mengenai insurans dan takaful. Adakah kita sanggup menyusahkan sanak saudara kita apabila kita menghidap penyakit? Ramai yang mengatakan tidak ingin menyusahkan sanak saudara tetapi berapa ramai daripada kita yang mengambil langkah untuk mengurangkan beban kewangan kita ketika kita jatuh sakit. Saya yakin daripada 10 orang, tidak sampai separuh yang mengambil langkah untuk mengurangkan beban kewangan kita ketika kita sakit. Selain itu pernahkah kita terfikir yang duit simpanan kita mungkin terpaksa dikeluarkan apabila kita menghidap penyakit yang memerlukan pembedahan. Ya memang benar Hospital Kerajaan mengenakan caj yang minimum untuk merawat penyakit. Tetapi ini bermakna Hospital Kerajaan juga sangat sesak. Terdapat keadaan di mana pesakit-pesakit terpaksa menunggu untuk ditempatkan di wad kerana wad masih penuh. Ramai daripada kita ingin meninggalkan harta dan wang yang cukup untuk keluarga kita apabila kita meninggal dunia. Tetapi apakah usaha kita untuk memastikan matlamat kita itu berjaya? Dengan mengambil insurans atau takaful kita sekurang-kurangnya dapat memastikan bahawa waris atau keluarga kita mendapat wang pampasan dengan kadar yang cepat sementara menunggu urusan pengagihan harta mengikut undang-undang yang biasanya mengambil masa.

Sumber: Kewangan : Orang Melayu kurang sedar keperluan insurans | arieon.my