Rancang sekarang elak kekecewaan di masa depan

18hmhijra2_1476915121Kuala Lumpur: Pengurusan kewangan yang betul adalah kunci utama dalam menentukan kelangsungan hidup dengan lebih teratur namun berapa ramai mempunyai matlamat hidup yang jelas dan merancang kewangan mereka sebaik mungkin untuk menghadapi hari tua.

Perunding Kewangan dan Pengasas HIJRAH Wealth Management Sdn Bhd, Rohani Datuk Mohd Shahir berkata, pemeliharaan hak masyarakat bermula dengan keupayaan menjana pendapatan peribadi masing-masing. Katanya, wang perlu mengalir untuk kesejahteraan masyarakat dan pengaliran wang berlaku dalam lima bentuk utama iaitu upah hasil pekerjaan, jual beli, pelaburan, cukai, zakat serta sedekah.

“Daripada pemantauan kami, kebanyakan rakyat Malaysia tidak memberi fokus kepada persaraan mereka, apatah lagi bila kita berbicara mengenai rancangan persaraan bagi masyarakat di luar bandar, rata-rata meletakkan harapan untuk anak yang akan menjaga mereka pada waktu tua nanti.

“Sebenarnya, sangat penting untuk kita mempelbagaikan simpanan dan menguruskan kewangan daripada peringkat muda lagi. Hakikatnya, rakyat Malaysia masih belum mempunyai kesedaran tinggi untuk menampung kehidupan mereka selepas bersara,” katanya.

Rohani berkata, bagi mereka yang bekerja dalam sektor swasta pula, selalu beranggapan mempunyai simpanan yang mencukupi terutama mereka yang sudah menjadi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Menurut KWSP, daripada enam juta pencarum KWSP yang aktif, sebanyak 80 hingga 90 peratus mempunyai simpanan asas bawah dari RM100,000 dan majoritinya ada simpanan antara RM10,000 ke RM20,000 saja.

Selain itu, sebanyak 38 peratus (2.8 juta pencarum) mempunyai simpanan asas RM196,800, manakala 65 peratus mereka yang berumur 54 tahun hanya mempunyai lebih kurang RM50,000.

Rohani berkata, sekurang-kurangnya simpanan asas perlu ada bagi mereka yang mencapai usia persaraan (55 tahun) adalah RM196,800 yang mana dianggarkan hanya RM820 setiap bulan boleh dibelanjakan sehingga tempoh 20 tahun iaitu sampai usia 75 tahun.

Beliau berkata, sangat penting untuk mencapai matlamat kewangan daripada mula bekerja hingga bersara dan jika boleh 15 peratus daripada gaji yang diperoleh perlu diasingkan yang mana 10 peratus untuk perlindungan takaful, manakala lima peratus rancang untuk simpanan persaraan sendiri.

“Di Malaysia, kita beruntung kerana wujudnya KWSP yang membantu sebagai perancang persaraan dan bayangkan jika KWSP tidak wujud, sudah pasti ia sukar untuk dilaksanakan.

“Persediaan awal perlu dibuat agar kita tidak perlu bekerja selepas bersara dan tahap kesihatan harus dititikberatkan.

Kebanyakan pencarum mengeluarkan caruman untuk kesihatan dan kalau boleh wang itu jangan dikeluarkan sebab tujuan utamanya untuk selepas bersara,”katanya.

Banyak alternatif lain boleh diguna pakai, antaranya mengambil kad perubatan atau perlindungan takaful kerana kos sara hidup dan perubatan semakin meningkat.

“Musibah boleh berlaku tanpa disangka maka pendapatan masa depan kita perlu dilindungi. Kita perlu jaminan keselamatan daripada tuntutan kewangan yang besar iaitu dengan mengambil insurans untuk menampung musibah yang tidak boleh ditanggung keluarga ataupun diri kita dengan kewangan peribadi yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 6:12 AM

Kenyataan akhbar KPK 20 Oktober 2016- Perkhidmatan pesakit bayar penuh

imagePerkhidmatan FPP adalah singkatan bagi perkhidmatan Full Paying Patient (FPP) atau Pesakit Bayar Penuh yang telah dimulakan pada tahun 2007. Objektif utama perkhidmatan ini adalah sebagai pakej retensi bagi Pegawai Perubatan Pakar KKM dan untuk mengurangkan penghijrahan mereka ke hospital swasta, di mana kekurangan Pegawai Perubatan Pakar di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sering menjejaskan pemberian perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran di hospital KKM.

Adalah dimaklumkan bahawa perkhidmatan FPP ini bukanlah bermaksud penswastaan perkhidmatan penjagaan kesihatan di hospital-hospital kerajaan. Perkhidmatan penjagaan kesihatan sedia ada yang disubsidi kerajaan akan tetap diteruskan malah akan dimantapkan lagi melalui pelbagai teras transformasi sistem kesihatan oleh KKM. Bagi perkhidmatan perubatan bersubsidi tinggi ini, pesakit sememangnya dikenakan sedikit bayaran bersubsidi bergantung kepada kelas rawatan dan kemudahan yang disediakan kepada pesakit di mana caj ini adalah sangat rendah dan berpatutan kerana ianya masih terus disubsidi kerajaan.

Fokus perkhidmatan FPP ini adalah kepada rakyat yang berkemampuan untuk membayar kos penuh perubatan di mana mereka mempunyai pilihan untuk mendapatkan penjagaan rawatan kepakaran yang tinggi di hospital KKM yang terpilih. Ada juga pesakit yang di rujuk daripada hospital swasta ke hospital kerajaan kerana kelebihan kepakaran tertentu di hospital kerajaan, sedia untuk memilih skim FPP tanpa subsidi kerajaan. Antara kelebihan-kelebihan tertentu di bawah skim ini adalah seperti berikut:

Pesakit boleh memilih Pegawai Perubatan Pakar untuk merawatnya;

Pesakit mendapat kemudahan giliran untuk mendapat rawatan daripada Pegawai Perubatan Pakar; dan

Pesakit dalam boleh menikmati beberapa kemudahan di wad eksekutif, kelas satu atau yang setaraf.

Semua kemudahan yang akan diberi adalah bergantung kepada sumber, bidang kepakaran dan fasiliti sedia ada. Pesakit yang telah mendaftar sebagai pesakit FPP akan dikenakan bayaran penuh tanpa subsidi kerajaan bagi mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan Pegawai Perubatan Pakar yang dilantik untuk menjalankan perkhidmatan FPP di hospital-hospital kerajaan yang terpilih. Sebahagian hasil daripada pendapatan yang diperolehi oleh kerajaan melalui FPP akan diberikan kepada Pegawai Perubatan Pakar yang berdaftar di bawah perkhidmatan ini. Kadar caj bagi perkhidmatan perubatan untuk pesakit FPP adalah tertakluk kepada Akta Fi Pesakit Bayar Penuh (2007).

Kaedah pembayaran bil FPP boleh dibuat secara: tunai, kad kredit, kad debit atau draf bank. Surat jaminan (guarantee letter atau GL) syarikat swasta dan insuran perubatan yang mempunyai perjanjian persefahaman bersama Bahagian Kewangan KKM bagi perkhidmatan FPP juga boleh digunapakai untuk pembiayaan kos rawatan.

KKM sentiasa komited untuk terus menyediakan dan memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat dan yakin bahawa Pegawai Perubatan Pakar di KKM akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat serta memastikan perkhidmatan FPP ini tidak menjejaskan pemberian perkhidmatan kepada pesakit awam yang lain. Adalah diharapkan inisiatif ini dapat meningkatkan motivasi dan minat Pegawai Perubatan Pakar di KKM untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang mereka di fasiliti kesihatan KKM.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

Beza wasiat, hibah

imageSaya telah berkecimpung dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara syariah selama 11 tahun. Sepanjang tempoh ini, saya telah menyampaikan beratus ceramah dan bertemu dengan beribu orang Islam di seluruh Malaysia. Tetapi apabila saya bertanya kepada mereka apa yang mereka faham mengenai dokumen yang mesti dibuat berkaitan harta pusaka?

Satu perkataan selalu keluar dari mulut mereka iaitu wasiat. Saya rasa kita terlalu banyak menonton filem Tiga Abdul yang seingat saya telah diulang tayang entah berapa ribu kali agaknya semenjak saya kanak-kanak sehinggalah sekarang. Dalam filem itu, wasiat digunakan sebagai dokumen untuk membahagikan harta pusaka dan sebab itulah apabila disebut harta pusaka orang akan kaitkan dengan wasiat.

Sekiranya anda juga mempunyai fikiran sebegitu, saya hendak memaklumkan anda dengan satu fakta yang mungkin memeranjatkan. Anda silap! Bagi orang Islam, wasiat bukanlah dokumen yang paling berkesan untuk membahagikan harta. Jika anda menyediakan wasiat dan di dalamnya anda nyatakan mengenai hasrat anda untuk membahagikan harta mengikut formula tertentu, pembahagian itu tidak berkuatkuasa secara automatik kerana ia memerlukan persetujuan semua waris untuk dilaksanakan.

Masyarakat selalu bertanya kepada saya, kalau wasiat untuk pembahagian harta tidak boleh dikuatkuasakan, kenapa pula mereka nak menyediakan wasiat? Jawapan saya biasanya mudah sahaja, “Kenapa pula nak buat wasiat?” Saya selalu nasihatkan rakan usahawan saya, kalau mereka ingin membahagikan harta mereka mengikut formula tertentu kepada orang yang mereka kehendaki baik waris mahupun bukan waris, dokumen yang paling berkesan sebenarnya ialah HIBAH.

Apa itu hibah?

Dari segi bahasanya, hibah bermaksud hadiah. Selagi anda masih hidup dan bernafas, anda bebas untuk memberikan hibah kepada sesiapa pun mengikut formula yang anda kehendaki. Sekiranya anda berhasrat untuk membahagikan harta, anda patut mempertimbangkan untuk menyediakan hibah kerana ia mempunyai beberapa kelebihan seperti:

l

Formula pembahagian yang berkuatkuasa.

Berbeza dengan wasiat yang formula pembahagiannya mesti dipersetujui oleh waris sebelum boleh dilaksanakan, formula pembahagian hibah berkuatkuasa sepenuhnya mengikut hasrat pemberi hibah di dalam dokumen hibah tersebut. Sebaik sahaja Mahkamah Syariah memutuskan bahawa hibah itu sah mengikut hukum syarak, ia tidak boleh dituntut oleh waris yang lain. Jadi kalau anda serius untuk memastikan hasrat ini tercapai, buatlah dokumen hibah dan bukannya wasiat.

l

Hibah kepada anak dan cucu boleh ditarik balik.

Ada juga orang yang bercakap dengan saya, tak payah bersusah-payah untuk buat hibah. Pindah milik sahaja hartanah yang dikehendaki kepada anak-anak yang mereka ingini. Jawapan saya, “Tentu sahaja boleh pindah milik tetapi jangan menyesal kalau anak-anak kita jual hartanah ini dalam keadaan kita masih bernyawa kerana ia telah pun menjadi milik sah mereka.”

Bukan sedikit kes yang saya temui di mana ibu bapa yang telah memindahmilik rumah mereka kepada anak-anak, dihalau dari rumah selepas itu. Sadis bukan? Tapi itulah hakikat kehidupan.

Di sinilah hibah mempunyai keistimewaan ketara. Dengan menyediakan hibah, kita telah menetapkan siapakah yang akan menerima harta ini mengikut formula yang kita mahu tetapi sekiranya pemberian ini dibuat kepada anak dan cucu, kita boleh menarik balik atau mengubah formula pemberian ini pada bila-bila masa yang kita kehendaki.

Perlaksanaan selepas kematian pemberi hibah.

Walaupun dokumen hibah disediakan hari ini, namun pindah milik di dalam geran hanya akan dibuat selepas kematian pemberi hibah. Perlaksanaan menggunakan modul seperti ini menjamin bahawa pemberi hibah masih mempunyai kuasa ke atas hartanah yang dihibah selagi dia masih hidup. Wasiyyah Shoppe telah melaksanakan modul perkhidmatan ini dengan jayanya dan sehingga 31 Disember 2007, telah berjaya mendapatkan lebih daripada 27 perintah penghakiman daripada Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia.

l

Kos penyediaan hibah yang lebih murah daripada pindah milik.

Sekiranya pindah milik dibuat daripada nama pemberi hibah kepada penerima hibah, duti setem perlu dibayar. Secara umumnya, duti setem ini ialah 1.0 peratus untuk nilai hartanah RM100,000 yang pertama, 2.0 peratus untuk nilai hartanah RM400,000 yang kedua dan 3.0 peratus untuk nilai hartanah yang seterusnya.

Seorang ayah atau ibu boleh memilih untuk memindah milik hartanah mereka kepada anak-anak hari ini tetapi mereka perlulah membayar kos ini. Oleh kerana hibah tidak memerlukan pindah milik berlaku, duti setem tidak perlu dibayar dan ini menyebabkan prosedur menyediakan hibah jauh lebih efektif dari segi kos.

Dengan penerangan ringkas ini, saya harap umat Islam di Malaysia akan memahami dengan jelas fungsi dan keberkesanan hibah. Kalau anda berhasrat agar harta pusaka anda dibahagikan mengikut formula yang anda kehendaki, buatlah hibah dan bukannya wasiat. Jadi sudahkah anda menyediakan dokumen hibah anda hari ini?

‘Saya Tak Peduli, Masukkan Isteri Saya Ke Wad 1 Atau Saya Akan Telefon Pengarah Kamu!’

2

“Isteri tuan perlu dimasukkan ke wad kerana jangkitan paru-paru,” jelas doktor.

“Saya mahukan wad kelas 1. Saya penjawat awam gred **. Tolong jangan masukkan ke wad biasa,” kata suami pesakit.

“Tetapi tuan, keadaan isteri tuan masih belum stabil untuk dirawat di wad kelas 1. Dia memerlukan pemantauan rapi pada ketika ini sedangkan wad kelas 1 hanya kami tempatkan pesakit stabil. Masuklah dahulu ke wad biasa dan kami akan aturkan untuk masuk ke wad kelas 1 apabila keadaan isteri tuan semakin stabil,” besar harapan waris mendengar nasihatnya kali ini.

“Saya tak peduli. Kelayakan saya adalah wad kelas 1. Tak apa, saya akan telefon Pengarah kamu,” ugut si waris.

Senario di atas amat biasa berlaku di Jabatan Kecemasan hospital kerajaan. Apabila tidak dapat apa yang diminta, mereka menyangka kakitangan Jabatan Kecemasan sengaja menafikan hak mereka dan mula marah-marah.

Sebenarnya di hospital kerajaan,  tidak perlu kisah sangat tentang wad kelas mana. Rawatan untuk wad kelas 1, 2 atau 3 adalah SAMA. Perlu diingatkan bahawa wad kelas 1 memang tidak banyak biliknya di mana-mana hospital kerajaan. Dan kelayakan bagi wad kelas 1A (1 katil sebilik) ditetapkan oleh kerajaan untuk gred 45 dan ke atas. Bagi bilik kelas 1C (2 katil sebilik) pun kelayakannya adalah untuk gred 31 hingga 44. Jadi begitu ramai yang layak untuk dapat wad-wad kelas 1 ini sedangkan jumlah biliknya adalah terhad.

Juga, kes-kes yang dibenarkan masuk ke wad kelas 1 adalah kes-kes stabil yang tidak memerlukan pemantauan kerap. Kebanyakan doktor oncall dan kakitangan-kakitangan bertugas akan ditempatkan di wad biasa yang menerima kes-kes fresh yang tidak stabil. Oleh itu, pemantauan adalah lebih rapi di wad biasa sebenarnya. Hanya apabila pesakit-pesakit telah distabilkan pada hari ke 2 atau 3, mereka akan di pindahkan ke wad kelas 1 (jika layak) setelah mendapat keizinan pakar yang merawat.

Jadi apabila anda minta kelas 1 dan dimaklumkan tiada kekosongan, terimalah dengan hati yang terbuka. Masuk dulu wad dan kemudian akan diusahakan katil yang bersesuaian dengan kelayakan anda.

Anda perlu ingat bahawa masih ada orang lain yang lebih tinggi kelayakannya dari anda. Saya adalah seorang doktor pakar dan sudah semestinya kelayakan saya adalah bagi wad kelas 1A. Namun apabila isteri saya hendak bersalin, tidak ada kekosongan wad kelas 1A. Relax saja kami terima wad biasa. Isteri saya lagi seronok duduk di sana kerana dia dapat berbual dan berkawan dengan pesakit-pesakit lain.

Kami tak desak supaya diadakan juga wad kelas 1 seperti yang kami layak sebab memahami kesesakan hospital. Rawatan dan makanannya pun tidak ada bezanya. Sedangkan yang mengisi wad 1A itu pada ketika itu adalah orang yang gred gajinya lebih rendah dari saya. Kakitangan awam berjawatan tinggi perlu bersikap marhaen. Birokrasi melampau sesetengah kakitangan awam yang membuatkan rakyat meluat. – Doktor Abdul Rahman

Tidak sangka anak ambil insurans

screen-shot-2016-10-18-at-5-59-19-pm

MELAKA – Ibu kepada pemuda yang meninggal dunia selepas mendaki Gunung Datuk di Rembau, Negeri Sembilan, Mac lalu, Fauziah Omar, 52, menerima cek pampasan daripada syarikat Prudential BSN Takaful Berhad berjumlah RM43,000.

Menurut Fauziah yang merupakan seorang guru, dia pada awalnya langsung tidak mengetahui tentang anaknya, Allahyarham Muhammad Hannan Kamarzaman, 26, ada mengambil perlindungan takaful disebabkan arwah baharu sahaja mula bekerja.

“Selang beberapa bulan baharulah arwah memberitahu dia mengambil perlindungan takaful itu sebenarnya dengan niat mahu menolong kawannya yang baru sahaja berkecimpung sebagai ejen di syarikat berkenaan.

“Bagaimanapun cek pampasan ini akan saya manfaatkan untuk melakukan infak termasuk membantu ahli keluarga yang susah, semoga ia memberikan kebaikan untuk arwah,” katanya selepas menerima cek pampasan kematian daripada wakil Prudential BSN Takaful Berhad, Abdul Rahman Idrus di rumahnya, di Kampung Baru, Bukit Sedanan, Jasin di sini, hari ini.

Sinar Harian bertarikh, 20 Mac lalu melaporkan, Muhammad Hannan meninggal dunia selepas menamatkan pendakiannya setinggi 885 meter bersama 30 rakan yang lain pada 19 Mac lalu.

Allahyarham yang bekerja sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat swasta dikatakan, tidak sedarkan diri setelah tertidur selama kira-kira 30 minit selepas keletihan melakukan aktiviti pendakian tersebut.

Ibunya berkata, anaknya Muhammad Hannan adalah anak sulung dari lima beradik merupakan seorang yang aktif bersukan serta meminati sukan lasak sejak dari sekolah lagi sehinggalah di universiti dan alam pekerjaan.

“Mak cik tidak sangka dia pergi dulu, sebab dia seorang yang aktif bersukan misal bermain futsal, ragbi, hoki dan aktiviti lasak seperti mendaki gunung.

“Dialah anak harapan keluarga malah arwah seorang yang pandai mengaji al-Quran serta selalu menjadi imam di kalangan keluarga,” katanya.

Sementara itu, wakil syarikat takaful berkenaan, Abdul Rahman berkata, arwah mula mendaftar untuk mengambil pelan perlindungan takaful tersebut pada Februari 2014 lalu.

Turut sama pada majlis penyerahan cek berkenaan, Unit Manager dari agensi Alisra’ Associates Sdn Bhd Ashabulyamin Ayoub.

1 2 3