FARIS SELEPAS KIMOTERAPI KE 4 (BIL HOSPITAL HAMPIR MENCECAH RM100,000)

Selasa, Februari 21, 2012

Petang tadi saya menghubungi ayah Faris Nur Daniel, 6 tahun, Shamrulismawi Ismail melalui panggilan telefon bimbit.
Berikut gambar pertama dihantar kepada saya.
“Ini gambar dirakamkan petang semalam. Masa saya bercakap dengan dia, Faris mampu membuka mata dan menganggukkan kepala,” ujar Sham.
Di bawah, direkodkan komunikasi di antara Faris dan Sham semalam.

‘Walaupun doktor kata keadaan Faris masih tak byk berubah & paru2 nya masih lagi kritikal namun saya bersyukur kepada Allah kerana masih boleh berinteraksi bersama anak saya Faris….Selepas saya bancuh susunya & beri pada nurse utk dimasukkan kedalam tiub utk faris, dia membukakan matanya… Kemudian saya pun cuba berinteraksi ngannya

Ayah : Farisss, faris nampak ayah tak?
Faris : *angguk (walaupun terlalu lemah anggukkan dia)
Ayah : Faris rindu ayah dgn ibu?…
Faris : *angguk
Ayah : Faris sakit tak?
Faris : *diam
Ayah : nanti nurse bagi susu supaya faris kuat & sihat ok?
Faris : *angguk
Ayah : ayah tunggu kat luar dulu ye? Nanti nurse bg susu, lap badan & tukar pampers tau.. ayah datang balik nanti. Kejab je ok?
Faris : *diam

Alhamdulillah, faris tunjuk reaksi positif walaupun doktor kata keadaan dia masih membimbangkan…. Bersyukur sgt2 kepada Allah bila dpt berkomunikasi dgn Faris…..

Mohon rakan2 semoga terus menerus mendoakan semoga Faris cepat sembuh’

“Gambar kedua, saya rekodkan selepas Faris menjalani rawatan kimoterapi di antara jam 12 tengahari dan 2 petang tadi. Dia diberikan ubat tidur untuk berehat,” tambah ayah pesakit.
Untuk rekod, itu rawatan kimoterapi ke 4 dilalui oleh Faris.
Sewaktu mula mengetahui kisah derita ditempuh oleh anak kecil itu, bil hospital terpaksa dijelaskan oleh Sham dan isteri, RM75,000.
Setelah 21 hari dimasukkan ke Sime Darby Medical Center, keluarga terbabit kini menanggung bil berjumlah RM96, 957.68.
Berikut salinan bil dikeluarkan oleh pusat perubatan terbabit.
Untuk makluman, Faris kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen untuk bernafas dan keadaannya masih diklasifikasikan sebagai ‘kritikal’.
Justeru, usaha untuk memindahkan Faris ke hospital kerajaan bertujuan mengurangkan kos rawatan tidak dapat dilaksanakan.

Kombinasi insuran Sham dan isteri, Zuraine Mohamad, dilaporkan RM40,000 sahaja sedangkan bil terkini hampir mencecah RM100,000.Sham dan Zuraine, kakitangan Standard Chatered dan Celcom.

Jika ingin menyumbang untuk meringankan tanggunggan ibu dan ayah Faris, salurkan ke Maybank1140-1115-2218 atau 1628-5200-2738.

Mewakili  keluarga Faris, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua bermurah hati menyumbang. Semoga Allah membalas jasa kalian semua.

TERUS HEBAHKAN BERITA INI.
Kredit to MazidulAkmal.com

Lumpuh gara-gara semut

image (2)

TANJUNG TOKONG – Berpunca digigit seekor semut, seorang lelaki berusia 43 tahun lumpuh. Abdul Wahab Mydin berkata, sekelip mata dia memegang status orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, pada tahun lalu, dia digigit semut yang lebih dikenali dengan nama semut selangor.

“Semut itu menggigit bahagian belakang betis, dan kebetulan pula saya mempunyai sakit kencing manis.

“Selepas digigit, saya letak salap, dan tidak sangka ia mendatangkan kesan lebih teruk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Isterinya, Rosliza Ramli, 42 berkata, bisa yang mungkin sekecil cucukan jarum akhirnya bertukar menjadi lebih buruk.

“Selepas beberapa hari, keadaan kulit suami saya bergelembung, seperti melepuh terkena minyak panas.

“Kemudian ia pecah dan setelah itu kulit tertanggal dan keluar warna putih dari kaki, rupanya bahagian isi dalam kaki sudah seperti dimakan, dan warna putih itu ialah isi kaki,” katanya.

Kemudiannya Abdul Wahab dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk dirawat.

Dalam tempoh setahun saja, dia dibedah enam kali untuk mengubati kecederaan yang datang secara tiba-tiba itu.

Dia tidak menafikan terpaksa menanggung sakit yang tidak dapat digambar dengan kata-kata sehingga tulang belakangnya menerima kesan.

“Disebabkan pembedahan yang berterusan, tulang belakang saya juga lemah, dan disebabkan itulah saya lumpuh.

“Kini saya tidak boleh duduk terlalu lama dan hanya terbaring sahaja,” katanya.

Bapa kepada 10 anak ini juga tidak lagi mampu bekerja sejak setahun yang lalu, sementara isterinya juga terpaksa menjaganya di rumah sahaja.

Rosliza berkata, mereka mempunyai enam anak yang masih belajar dan masing-masing perlu ditanggung yuran pengajian.

“Anak saya yang berada di kolej terpaksa berhenti belajar kerana kami tidak lagi membayar yurannya, kami sekeluarga hanya menerima bantuan dari Pusat Urus Zakat (PUZ),” katanya.

Bagi yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Rosliza atau Abdul Wahab menerusi talian 012-4845137 atau 014-2539914.

Bayi perlu dana lebih RM150,000

image

SUNGAI PETANI – Hati ibu mana tidak tersentuh melihatkan bayi berusia 13 bulan terpaksa bertarung nyawa berhadapan komplikasi serius sejak lahir selain menempuh pelbagai jenis pembedahan.

Norhidayati Md Noor, 32, berkata, anak bongsu dari enam beradik, Nuralia Adriana Mohd Tarmizi terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan sepanjang masa akibat masalah paru-paru dan jantung.

Namun, si kecil yang sentiasa aktif itu kini memerlukan penjagaan rapi selain  perlukan sokongan semua pihak melengkapkan tiga lagi pembedahan di bahagian usus, hernia dan jantung yang dijangka memerlukan dana melebihi RM150,000.

“Sejak berusia dua hari, Nuralia yang lahir secara pramatang menjalani pembedahandi paru-paru. Selepas tempoh lima bulan, pembedahan buah pinggang pula dilakukan.

“Bulan November dan Disember lalu, dua lagi pembedahan dilakukan melibatkan masalah saluran tersumbat menyebabkan makanan tak dapat dihadam,” katanya.

Disebabkan beberapa masalah kesihatan yang dihadapi Nuralia, bayi tersebut mudah diserang selsema dan demam.

“Kami difahamkan tiga lagi pembedahan perlu dibuat termasuk usus yang perlu ditebuk, pembedahan hernia dan hayat jantung tetapi bergantung tahap kesihatan Nuralia.

“Setakat ini, dia perlu bergantung kepada bantuan alat pernafasan sepanjang masa dan boleh bertahan kurang dari tiga jam sekiranya tidak dibantu alat,” katanya.

Menurutnya, suaminya yang bertugas sebagai askar wataniah membolehkan Nuralia menerima bantuan dari Angkatan Tentera berupa tangki oksigen bagi bantuan alat pernafasan.

Dia turut bersyukur apabila mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan manakala kini sedang memohon bantuan Baitulmal bagi menampung kos pembedahan.

Mengimbau punca kejadian yang berlaku tahun lalu, katanya, ketika sedang menikmati makan tengah hari di rumah keluarga di Pengkalan Lebai Man di sini, berlaku kebakaran kecil menyebabkan dia tergesa-gesa meninggalkan rumah.

Akibat tindakan itu, dia terpijak serpihan kaca lalu terjatuh menyebabkan bayi yang sedang dalam kandungan ketika itu berusia enam bulan perlu dilahirkan segera.

Walaupun terpaksa berhadapan pelbagai masalah kesihatan, dia reda namun tetap berusaha bagi mengubati anaknya.

Balu terima bayaran insurans RM102,500

petir (1)

MERLIMAU –  Balu kepada seorang nelayan di sini yang meninggal dunia 30 Oktober lalu, menerima bayaran insurans sebanyak RM102,500.

Nuli Sawi, 48, berkata, sejak ketiadaan suaminya, dia bukan sahaja hilang tempat bergantung malah sedih memikirkan nasib anak-anak.

Menurutnya, dia tidak bekerja dan perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah.

“Bantuan ini bertepatan dengan keperluan dan membolehkan saya membeli keperluan sekolah anak-anak.

“Kemungkinan wang ini juga boleh digunakan untuk berniaga secara kecil-kecilan selain mahu membuat badal haji untuk arwah suami,” katanya.

Pada kejadian kira-kira jam 8 malam 30 Oktober lalu, mangsa yang juga ahli Persatuan Nelayan Kecil Merlimau dipercayai ke laut untuk menarik jaring sejauh enam kilometer dari Jati Kuala Merlimau, Jasin sebelum dipanah petir.

Anak terpaksa pinjam ah long

image (2)

JITRA – Biarpun menyedari risiko bakal dihadapi, seorang lelaki terpaksa meminjam wang daripada ah long untuk membiayai kos peruba-tan bapanya yang kini sedang kritikal di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Logasilan Permal, 28, berkata, dia terpaksa membuat pinjaman tersebut bagi membolehkannya melangsaikan perbelanjaan kos rawatan bapanya, Permal Sengalrayan, 61, yang terlantar di hospital sejak tiga minggu lalu.

Menurutnya, kira-kira jam 12 tengah hari pada hari kejadian, bapanya yang menaiki motosikal jenis Honda C60 terlanggar lintangan dawai di bawah khemah berhadapan sebuah pasar raya sehingga menyebabkan berlaku kereta-kan tulang belakang.

“Walaupun pinjaman tersebut dibuat, ia masih tidak dapat menampung perbelanjaan rawatan bapa di hospital.

“Saya buat pinjaman ah long RM4,000 dan selebihnya daripada rakan-rakan yang faham keadaan sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pinjaman tersebut sekadar menjelaskan pembiayaan pertama di hospital, tetapi masih ada rawatan susulan menelan kos perbelanjaan hampir RM30,000.

Logasilan berkata, ia disebabkan tulang belakang mengawal saraf tunjang bapanya tidak berfungsi menyebabkan pembedahan susulan perlu dijalankan.

“Memandangkan saya tidak bekerja, perkara ini menyukarkan saya untuk menjelaskan bil hospital yang agak mahal itu,” katanya.

Logasilan berkata, selain itu dia terpaksa berhenti kerja daripada sebuah syarikat komputer kerana anaknya sering demam dan terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Saya buntu memikirkan cara untuk memohon bantuan dan mulai malu kerana kerap meminjam wang daripada rakan-rakan,” katanya.

Menurutnya, dia turut menjual peralatan komputernya untuk mendapatkan wang membiayai kos rawa-tan tersebut.