Orang Melayu kurang sedar keperluan insurans

10447159_808458905841808_8514438678744036512_n

KUALA LUMPUR – Tahap kesedaran di kalangan orang melayu untuk perlindungan insurans perlu ditingkatkan lagi bagi meningkatkan kadar penembusan Takaful Ikhlas, demikian menurut dua penerima anugerah cemerlang syarikat berkenaan.

“Dilihat pada kadar penembusan 12 peratus untuk tahun 2012, kami melihat potensi yang cerah di pasaran yang belum ditembusi iaitu 88 peratus daripada pasaran sasaran Melayu Muslim di Malaysia,” kata Nik Faizal Nik Fauzi, 36, yang mana Al-Faisal Agencynya telah berjaya mengumpul premium RM1.5 juta untuk tempoh 2012/2013, kepada pemberita.

Nik Faizal dari Kelantan yang memegang ijazah senibina dari Universiti Malaya, ialah pemenang untuk anugerah agensi mega Takaful tahun ini.

Sementara itu, Zuraidah Hanim Ibrahim yang memenangi anugerah “Million Dollar Round Table” (MDRT) USA dalam kategori pencapaian peribadi pula menambah, “Orang Melayu merupakan 90 peratus daripada pelanggan saya, dan tahap kesedaran di kalangan orang Melayu terhadap keperluan melindungi diri sendiri dengan insurans masih rendah berbanding kaum lain.”

Diasaskan pada 1927, MDRT ialah Persatuan Profesional Kewangan terkemuka antarabangsa dengan hampir 38,000 profesional perkhidmatan insurans hayat dan kewangan dari lebih 450 syarikat di 79 negara.

Malam anugerah Takaful Ikhlas ialah pada 29 Jun. – Bernama

Artikel berita di atas menunjukkan bahawa bangsa bumiputera kurang kesedaran mengenai kepentingan insurans atau takaful. Bangsa bumiputera meletakkan insurans/takaful sebagai sesuatu yang tidak penting dan ada yang menganggap insurans dan takaful itu sesuatu yang merugikan. Kaum bukan bumiputera pula dikatakan mempunya kesedaran yang tinggi mengenai insurans dan takaful. Adakah kita sanggup menyusahkan sanak saudara kita apabila kita menghidap penyakit? Ramai yang mengatakan tidak ingin menyusahkan sanak saudara tetapi berapa ramai daripada kita yang mengambil langkah untuk mengurangkan beban kewangan kita ketika kita jatuh sakit. Saya yakin daripada 10 orang, tidak sampai separuh yang mengambil langkah untuk mengurangkan beban kewangan kita ketika kita sakit. Selain itu pernahkah kita terfikir yang duit simpanan kita mungkin terpaksa dikeluarkan apabila kita menghidap penyakit yang memerlukan pembedahan. Ya memang benar Hospital Kerajaan mengenakan caj yang minimum untuk merawat penyakit. Tetapi ini bermakna Hospital Kerajaan juga sangat sesak. Terdapat keadaan di mana pesakit-pesakit terpaksa menunggu untuk ditempatkan di wad kerana wad masih penuh. Ramai daripada kita ingin meninggalkan harta dan wang yang cukup untuk keluarga kita apabila kita meninggal dunia. Tetapi apakah usaha kita untuk memastikan matlamat kita itu berjaya? Dengan mengambil insurans atau takaful kita sekurang-kurangnya dapat memastikan bahawa waris atau keluarga kita mendapat wang pampasan dengan kadar yang cepat sementara menunggu urusan pengagihan harta mengikut undang-undang yang biasanya mengambil masa.

Sumber: Kewangan : Orang Melayu kurang sedar keperluan insurans | arieon.my

Lelaki kecewa layanan hospital pecah cermin kaunter

image

IPOH – Seorang bekas tentera dilaporkan mengamuk dengan memecah cermin kaunter pendaftaran Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini kerana tidak puas hati dengan layanan seorang petugas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Anuar Osman berkata, dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, lelaki berkenaan dikatakan marah apabila petugas kaunter itu enggan menerima wang pendahuluan RM150 bagi membiayai rawatan isterinya daripada jumlah keseluruhan RM800.

“Lelaki berkenaan membawa isterinya, seorang warga Indonesia, menjalani rawatan di hospital tersebut dan disebabkan terpaksa menerima rawatan lanjut, dia perlu membayar jumlah kesemuanya RM800”, katanya Anuar.

Polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada petugas hospital berkenaan dan siasatan sedang dijalankan, katanya.

Ketika kejadian petugas terbabit melarikan diri bimbang dicederakan. – Bernama

Elak potong kaki

WDD-infographic-warning-signs-EN

Ramai dalam kalangan kita lebih bimbang mengenai penyakit jantung dan barah yang menjadi dua penyebab utama kematian dan memberik hanya sedikit perhatian terhadap diabetes.

Sepatutnya tidak begitu kerana diabetes ialah penyakit membawa maut yang meningkat dengan cepat dan menambah risiko kepada penyakit pembunuh utama yang lain.

Kira-kira 360 juta orang kini menghidap diabetes di seluruh dunia, manakala Kajian Kesihatan dan Kemorbidan Kebangsaan (NHMS) Malaysia pada 2011 menunjukkan, berlaku peningkatan daripada 14.9 peratus pada 2006 kepada 20.8 peratus pada 2011. Ini bermaksud seorang dalam setiap lima rakyat Malaysia dewasa kini penghidap diabetes.

Peningkatan jumlah penghidap diabetes selari dengan pertambahan saiz badan mereka yang berkembang secara berterusan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Diabetes ialah penyakit yang tidak boleh dipulihkan tetapi dengan usaha mencukupi, kita boleh melambat atau menghentikan komplikasi yang dikaitkan dengan kemajuan penyakit itu. Mengawal tahap glukos darah sangat penting untuk meminimumkan komplikasi yang berkait dengan diabetes.

Kawalan gula dalam darah yang tidak baik untuk satu tempoh panjang akan membawa kepada beberapa komplikasi, termasuk penyakit jantung, penyakit buah pinggang, retinopati dan neuropati (kerosakan saraf).

Kerosakan saraf diabetes

Hilang deria rasa, rasa kebas, berdenyut-denyut, sakit, rasa terbakar, malah rasa seperti dicucuk-cucuk dengan jarum pada kaki, jari kaki, jari tangan, lengan dan tangan ialah gejala kerosakan saraf.

Kerosakan saraf juga boleh berlaku dengan senyap, maksudnya anda langsung tidak menunjukkan gejala. Keadaan ini sangat berbahaya, terutama bagi penghidap diabetes dan pradiabetes. Tahukah anda, sehingga 60 hingga 70 peratus penghidap diabetes juga mengalami beberapa jenis kerosakan saraf?

Jika tindakan segera tidak diambil, keadaan ini akan membawa kepada pemotongan anggota iatu satu daripada komplikasi neuropati yang paling berpotensi menjadi serius.

[wdsm_ad id=”2288″ class=” ” ]

Diabetes penyebab utama pemotongan anggota bawah di seluruh dunia

Doktor meramalkan hampir separuh daripada semua pemotongan anggota disebabkan oleh neuropati dan masalah peredaran yang boleh dielakkan.

Di Malaysia, sejumlah besar pesakit diabetes dimasukkan ke wad ortopedik di hospital kerajaan disebabkan komplikasi kaki diabetes. Majoriti daripada mereka perlu tinggal di hospital untuk tempoh lama dan perlu dimasukkan ke wad serta dibedah berulang kali.

Segelintir pula memerlukan pemotongan di sekeliling kaki atau buku lali, manakala segelintir lagi terpaksa menerima pemotongan di bawah atau atas lutut. Risiko mengalami pemotongan kaki ialah 27.7 kali lebih besar untuk seseorang yang menghidap diabetes.

Faktor yang membawa kepada pemotongan anggota

Beberapa faktor utama biasanya menyebabkan pengulseran dan seterusnya amputasi. Ini termasuk:

i) Neuropati periferal yang mengurangkan deria rasa-mungkin ada sebiji batu kecil di dalam kasut anda dan anda terus berjalan sepanjang hari tanpa menyedarinya.

ii) Penyakit vaskular-yang mengurangkan aliran darah ke kaki.

Kedua-dua keadaan ini menyebabkan pesakit mudah mendapat ulser dan lepuhan yang boleh membawa kepada jangkitan dan jika dibiarkan akan membawa kepada pemotongan.

Penghidap diabetes harus mendapat pendidikan asas mengenai penjagaan kaki dan memastikan mereka membuat pemeriksaan kaki secara tetap. Risiko mendapat pengulseran boleh dinilai melalui pemeriksaan klinikal asas terhadap kaki pesakit.

Selain mengamalkan penjagaan kaki dan kebersihan diri yang baik, penghidap diabetes hendaklah mengambil ubat merendahkan gula dalam darah pada setiap hari seperti dipreskripsikan oleh doktor mereka. Jangan sesekali tertinggal satu dos.

Satu makanan tambahan yang berguna untuk penghidap diabetes dikenali sebagai mecobalamin sebenarnya ditemui oleh sepasukan saintis Jepun. Bentuk aktif vitamin B12 ini membantu regenerasi saraf periferal yang rosak.

Mecobalamin-Vitamin B12 yang aktif

Mecobalamin ialah satu bentuk vitamin B12 yang aktif dari segi neurologi yang penting kepada sistem saraf pusat dan periferal iaitu untuk membantu melindungi daripada proses degenerasi sistem saraf dan menggalakkan saraf sihat.

Dengan mecobalamin, hati tidak perlu menukarkan bentuk B12 yang tidak aktif iaitu ‘cyanocobalamin’ kepada mecobalamin kerana ia menjadi aktif apabila diambil secara oral. Mengambil 500 mikroram (mcg) mecobalamin tiga kali sehari selama empat bulan berjaya menghasilkan penurunan kerosakan saraf periferal penghidap diabetes.

Penyelidikan juga membuktikan bentuk Vitamin B12 yang aktif ini, mecobalamin, lebih berkesan berbanding Vitamin B12 yang biasa (cyanocobalamin) untuk memulihkan semula saraf rosak dalam kalangan penghidap diabetes.

Panduan penjagaan kaki harian untuk penghidap diabetes

1. Periksa kaki dan jari anda setiap hari dan bersihkan dengan sabun lembut. Sabun yang kasar mungkin merosakkan kulit.

2. Rasa suhu air dengan jari tangan atau siku anda sebelum memasukkan kaki ke dalam air kerana penghidap diabetes tidak dapat membezakan sama ada air itu terlampau panas atau sejuk. Kelecuran mungkin boleh berlaku dengan mudah.

3. Perlahan-lahan lap dan keringkan kaki anda, terutama di celah jari kaki. Jangkitan boleh berlaku di tempat lembap.

4. Jika kaki anda terlalu kering, ia mungkin merekah dan menyebabkan jangkitan. Lembutkan kulit yang kering dengan menyapu losyen, jeli petroleum, lanolin atau minyak. Elak menyapu di celah jari kaki jika ada kudis atau jangkitan di situ.

5. Maklumkan doktor anda dengan segera jika wujud kudis, lecur, lebam, luka atau sebarang perubahan lain pada badan anda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:00 AM

– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7510#sthash.IGfngy4P.dpuf

Caj rawatan tinggi guna kad insurans ditangani

image (1)

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi menangani masalah caj perubatan yang tinggi bagi pesakit yang menggunakan kad insurans di pusat perubatan swasta, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata ia termasuk perbincangan dengan agensi insurans, hospital swasta, organisasi jagaan yang diuruskan dan Bank Negara.

Katanya caj berlebihan itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan telah menetapkan had maksimum untuk fi profesional meliputi perundingan dan prosedur bagi pengamal perubatan swasta.

“Kadar ini telah dimaklumkan dan dipersetujui oleh semua pihak iaitu hospital, pesakit dan syarikat insurans selaras dengan Jadual 13 Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 2006,” katanya ketika menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu).

Che Mohamad Zulkifly ingin tahu mengapa caj perubatan di klinik dan hospital swasta yang dikenakan kepada pesakit yang menggunakan kad insurans adalah lebih tinggi berbanding pembayaran secara tunai.

Subramaniam bagaimanapun menjelaskan rakyat harus peka bahawa lain-lain fi seperti penginapan, tatacara kejururawatan, peralatan, ujian makmal dan ubat-ubatan tidak dikawal selia oleh kementerian.

Tambahnya, kuasa pasaran akan menentukan kos sebenar yang dikenakan oleh pengamal perubatan kepada pesakit.

Justeru, beliau menasihatkan pesakit dan anggota keluarga agar membuat pertimbangan sewajarnya sebelum mendapatkan rawatan di hospital swasta.

“Rakyat perlu sedar tiada jaminan sesuatu kos itu terhad dalam satu lingkungan harga. Sebab itu, ada hospital kerajaan. Buatlah keputusan yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Subramaniam berharap kumpulan pengguna kesihatan yang aktif dapat ditubuhkan bagi memberi pandangan khusus serta menjadi pemangkin dalam pengawalanan caj berlebihan oleh pihak swasta. – Bernama

‘Reda jika ALLAH ambil nyawanya’

image

MARANG – “Saya reda jika ALLAH mengambil (nyawanya), tetapi (sebelum itu) saya akan berusaha mengubati penyakit (anak) sehingga sembuh,” kata Norasimah Ismail, 42, ibu kepada Amir Hanafi Zolawi, 15, yang menghidap kanser kelenjar tahap tiga.

Amir Hanafi disahkan menghidap kanser kelenjar atau juga dipanggil limforma lebih kurang seminggu lalu bermula dengan demam yang disangka sekadar alahan biasa bagi seorang remaja sepertinya yang dilahirkan mengidap ataxia atau penyakit saraf.

Anak sulung daripada empat beradik itu juga terpaksa bercuti panjang daripada menghadiri sesi latihannya di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bukit Payong di sini kerana kini perlu berehat serta berulang-alik mendapatkan rawatan di hospital selain di rumah.

“Apabila diberitahu doktor mengenai penyakit yang dihidapi anak, memang saya tergamam, namun dengan sokongan ahli keluarga dan semua yang ada di sekeliling ia menguatkan semangat saya untuk terus tabah,” katanya.

Sebelum itu, keluarga Norasimah yang menetap di Taman Safiah Murni, Bukit Payong di sini menerima kunjungan pihak pengurusan PDK Bukit Payong diketuai penyelianya, Zaini Sidek dan tiga pembantunya, tengah hari semalam.

Norasimah berkata, kini tugas menjaga Amir Hanafi dilakukan sepenuhnya olehnya kerana suami, Zolawi Salleh, 45, perlu menguruskan kehidupan mereka sekeluarga, selain menumpukan perhatian terhadap pekerjaannya di sebuah bank.

“Saya tidak bekerja, hanya suami seorang bekerja dan buat masa ini, segala perbelanjaan untuk mengurus Amir Hanafi kami usahakan sendiri. Setakat ini kami masih mampu dan tidak mengharapkan sumbangan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu, Penyelia PDK Bukit Payong, Zaini Sidek berkata, walaupun pihak keluarga Amir Hanafi enggan menerima sumbangan kerana mampu menanggung perbelanjaan anaknya, namun pihaknya tetap ingin membantu pelatih PDK terbabit.

“Kami juga mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada mana-mana pihak yang termasuk perubatan dan nasihat mengenai penyakit dihidapi. Sumbangan kewangan boleh disalurkan terus ke akaun milik Amir Hanafi,” katanya.

1 2 3 4