Pelajar koma lebih sebulan perlu bantuan

GUA MUSANG – Keluarga seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 2 di sini yang koma lebih sebulan kerana kemalangan jalan raya, memerlukan bantuan untuk menampung keperluan pelajar itu.

Norfarahani Ismail, 17, yang terlantar di rumahnya di Kampung Batu Papan di sini selepas terbabit kemalangan pada 28 Feb lepas, memerlukan perbelanjaan hampir RM1,000 sebulan bagi membeli susu dan lampin pakai buang.

Pendapatan bapanya, Ismail Sulaiman, 46, yang bekerja sebagai buruh di kedai tayar di bandar ini sekitar RM1,000 sebulan tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan itu selain persekolahan tiga lagi anaknya.

Ketika ditemui pemberita di rumahnya, ibu pelajar terbabit, Suriati Mohamad, 43, berkata anak perempuannya itu yang dibawa pulang ke rumah dari Hospital Kuala Krai (HKK) seminggu lalu, memerlukan susu dan lampin pakai buang.

“Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih dalam proses permohonan,” katanya.

Suriati berkata mengikut doktor anak kedua daripada empat beradik itu dijangka pulih dalam masa beberapa bulan lagi tetapi buat sementara ini perlu diberi minum susu menerusi tiub yang ditebuk di perut.

“Saya merayu kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan menghubungi menerusi telefon bimbit 019-9201225,” katanya. – Bernama

Insurans Hayat Bebas GST, Kata LIAM

gst

KUALA LUMPUR: Insurans hayat diecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).

Dalam satu kenyataan di sini, Jumaat, persatuan berkata antara produk dikecualikan GST ialah polisi seumur hidup, endowmen, anak, pendidikan dan anuiti.

Bagaimanapun, premium bagi rider bukan hayat seperti penyakit kritikal, perubatan dan kesihatan serta kemalangan diri akan tertakluk kepada GST, katanya.

LIAM berkata, rider bukan hayat didefinisikan sebagai rider yang tidak meliputi kematian semula jadi.

Sekalipun premium bagi polisi berkaitan pelaburan tidak dikenakan GST, fi dan caj terhadap polisi-polisi ini seperti fi polisi akan tertakluk kepada GST, katanya.

“Bagi polisi yang dibayar menerusi fasiliti debit, syarikat insurans akan bekerja dengan bank untuk meningkatkan had yang dibenarkan untuk meliputi GST,” katanya.

LIAM mempunyai 16 anggota iaitu 14 syarikat insurans hayat dan dua syarikat insurans semula hayat.

Lumpuh gara-gara semut

image (2)

TANJUNG TOKONG – Berpunca digigit seekor semut, seorang lelaki berusia 43 tahun lumpuh. Abdul Wahab Mydin berkata, sekelip mata dia memegang status orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, pada tahun lalu, dia digigit semut yang lebih dikenali dengan nama semut selangor.

“Semut itu menggigit bahagian belakang betis, dan kebetulan pula saya mempunyai sakit kencing manis.

“Selepas digigit, saya letak salap, dan tidak sangka ia mendatangkan kesan lebih teruk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Isterinya, Rosliza Ramli, 42 berkata, bisa yang mungkin sekecil cucukan jarum akhirnya bertukar menjadi lebih buruk.

“Selepas beberapa hari, keadaan kulit suami saya bergelembung, seperti melepuh terkena minyak panas.

“Kemudian ia pecah dan setelah itu kulit tertanggal dan keluar warna putih dari kaki, rupanya bahagian isi dalam kaki sudah seperti dimakan, dan warna putih itu ialah isi kaki,” katanya.

Kemudiannya Abdul Wahab dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk dirawat.

Dalam tempoh setahun saja, dia dibedah enam kali untuk mengubati kecederaan yang datang secara tiba-tiba itu.

Dia tidak menafikan terpaksa menanggung sakit yang tidak dapat digambar dengan kata-kata sehingga tulang belakangnya menerima kesan.

“Disebabkan pembedahan yang berterusan, tulang belakang saya juga lemah, dan disebabkan itulah saya lumpuh.

“Kini saya tidak boleh duduk terlalu lama dan hanya terbaring sahaja,” katanya.

Bapa kepada 10 anak ini juga tidak lagi mampu bekerja sejak setahun yang lalu, sementara isterinya juga terpaksa menjaganya di rumah sahaja.

Rosliza berkata, mereka mempunyai enam anak yang masih belajar dan masing-masing perlu ditanggung yuran pengajian.

“Anak saya yang berada di kolej terpaksa berhenti belajar kerana kami tidak lagi membayar yurannya, kami sekeluarga hanya menerima bantuan dari Pusat Urus Zakat (PUZ),” katanya.

Bagi yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Rosliza atau Abdul Wahab menerusi talian 012-4845137 atau 014-2539914.

Malaysia diancam denggi baharu

ne_01.1

PUTRAJAYA – Malaysia kini menghadapi ancaman wabak denggi jenis baharu yang lebih berbahaya apabila ia mampu merosakkan otak dan hati pesakit sekali gus mengakibatkan banyak kematian dalam masa singkat.

Virus denggi akibat gigitan nyamuk aedes mengakibatkan berlakunya bengkak pada otak atau tisu lapisan luar otak. Pesakit akan mengalami penat, koma, sakit kepala dan lumpuh.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, wabak itu kini ibarat pembunuh nombor satu negara memandangkan simptom serangan penyakit telah berubah berbanding sebelum ini. Simptom denggi sebelum ini hanya menunjukkan pendarahan dan bintik-bintik pada kulit pesakit.

Beliau berkata, sebanyak 54 kes kematian akibat denggi dilaporkan berlaku dalam tempoh 52 hari pertama pada tahun 2015 berbanding 25 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 116 peratus.

“Wabak demam denggi ketika ini lebih kuat dan berat. Ia kini ibarat pembunuh nombor satu dan disifatkan sebagai wabak yang paling bahaya pernah dihadapi Malaysia kerana ia mampu merosakkan otak dan hati,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3SqpAhkm4
Hakcipta terpelihara

Tidak mampu bayar bil hospital

image (3)PASIR PUTEH – Seorang ibu tunggal lega apabila masalah untuk membayar kos rawatan anaknya yang sakit mendapat perhatian Pemuda Umno Pasir Puteh.

Siti Maisarah Umairah Abdul Rahim yang berusia setahun tujuh bulan menghidap masalah cairan dalam kepala.

Ibunya, Rozila Mohammad, 20, berkata, darah beku menyebabkan kepala anaknya membesar selepas dilahirkan.

Katanya, kesempitan hidup,  ditambah pula masalah penceraian sejak setahun lalu menyebabkan dia tidak mampu membayar bil hospital yang kini mencecah RM2,228.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Pemuda Umno yang cukup prihatin. Sumbangan ini meringankan bebanan yang saya hadapi ketika ini kerana Siti Maisarah perlu dirujuk ke Hospital Universiti  Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian semula pada 27 April nanti.

“Rawatan susulan perlu dibuat kerana anak saya kerap mengalami kekejangan,” katanya ketika menerima kunjungan Ketua Pemuda Umno, Mohamad Yusri Ismail bersama ahli jawatankuasanya dan pemimpin masyarakat setempat di sini, kelmarin.

Sementara itu, Mohamad Yusri berkata, pihaknya bersetuju menampung kos rawatan yang ditanggung Rozila.

Selain itu katanya, pihaknya sudah merujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya mempercepatkan permohonan bantuan keluarga terbabit.

“Kita amat bersimpati dengan nasib anak kecil yang menanggung derita ini dan kita berharap ada pihak lain tampil meringankan bebannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Yusri berkata, Pemuda Umno Pasir Puteh melaksanakan program turun padang bagi mengesan permasalahan penduduk dan berusaha membantu.

Menurutnya, bantuan yang dihulurkan tidak semestinya berbentuk wang tunai kerana ada sesetengah kes Pemuda Umno bertindak sebagai pemudah cara sehingga masalah yang dihadapi dapat diselesaikan.

Orang ramai yang berhasrat membantu Siti Maisarah Umairah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun ibunya melalui Bank Islam Malaysia Berhad (03-090-02-034424-5).

1 2