Pelajar koma lebih sebulan perlu bantuan

GUA MUSANG – Keluarga seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 2 di sini yang koma lebih sebulan kerana kemalangan jalan raya, memerlukan bantuan untuk menampung keperluan pelajar itu.

Norfarahani Ismail, 17, yang terlantar di rumahnya di Kampung Batu Papan di sini selepas terbabit kemalangan pada 28 Feb lepas, memerlukan perbelanjaan hampir RM1,000 sebulan bagi membeli susu dan lampin pakai buang.

Pendapatan bapanya, Ismail Sulaiman, 46, yang bekerja sebagai buruh di kedai tayar di bandar ini sekitar RM1,000 sebulan tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan itu selain persekolahan tiga lagi anaknya.

Ketika ditemui pemberita di rumahnya, ibu pelajar terbabit, Suriati Mohamad, 43, berkata anak perempuannya itu yang dibawa pulang ke rumah dari Hospital Kuala Krai (HKK) seminggu lalu, memerlukan susu dan lampin pakai buang.

“Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih dalam proses permohonan,” katanya.

Suriati berkata mengikut doktor anak kedua daripada empat beradik itu dijangka pulih dalam masa beberapa bulan lagi tetapi buat sementara ini perlu diberi minum susu menerusi tiub yang ditebuk di perut.

“Saya merayu kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan menghubungi menerusi telefon bimbit 019-9201225,” katanya. – Bernama

Pesakit kanser tulang rayu bantuan

image

BATU PAHAT – Seorang bapa tunggal di sini, merayu bantuan untuk merawat penyakit kanser tulang dihadapinya.

Adnan Ahmad berkata, dia memerlukan RM1,600 bagi menjalani rawatan hemodialisis bagi mencuci darah yang dikatakan menjadi punca penyakitnya.

Menurutnya, selagi tidak menjalani rawatan itu, penyakit kanser tulang atau ‘gout tulang’ itu makin teruk dan boleh mengancam nyawa.

Tambahnya lagi, sejak sakit, dia terpaksa berhenti kerja pada 2007 dan hingga kini tiada pendapatan tetap.

“Saya terpaksa berhenti kerja, jadi kami sekeluarga tiada pendapatan tetap. Hanya bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (Maij).

“Walaupun bantuan itu RM500 sebulan, tak cukup sebab saya kena bayar sewa rumah, sara dua anak, beli barang dapur dan bil elektrik dan air.

“Saya juga perlu beli ubat untuk penyakit saya ini, sekitar RM300 sebulan,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Senggarang.

Tambahnya, anak sulungnya, Mohd Riduan, 14, juga terpaksa bekerja untuk menambah pendapatan keluarga.

“Ada kala saya kasihan kepada kedua-dua anak saya, mereka terpaksa bersusah sebab saya, sejak ketiadaan isteri tujuh tahun lalu, mereka yang jaga saya, ada masa jiran datang bantu,” katanya.

Dia berharap ada pihak sudi meringankan beban mereka tiga beranak dengan membantunya menjalani rawatan.

“Saya memang perlukan RM1,600 itu untuk rawat sakit saya ini.

“Rawatan itu agak mahal sebab perlu dibuat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, peralatan itu tiada di hospital di daerah ini,” katanya.

Sumbangan kepada Adnan boleh disalurkan melalui No Akaun Bank Simpanan Nasional; 0100441000013114.

Bayi perlu dana lebih RM150,000

image

SUNGAI PETANI – Hati ibu mana tidak tersentuh melihatkan bayi berusia 13 bulan terpaksa bertarung nyawa berhadapan komplikasi serius sejak lahir selain menempuh pelbagai jenis pembedahan.

Norhidayati Md Noor, 32, berkata, anak bongsu dari enam beradik, Nuralia Adriana Mohd Tarmizi terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan sepanjang masa akibat masalah paru-paru dan jantung.

Namun, si kecil yang sentiasa aktif itu kini memerlukan penjagaan rapi selain  perlukan sokongan semua pihak melengkapkan tiga lagi pembedahan di bahagian usus, hernia dan jantung yang dijangka memerlukan dana melebihi RM150,000.

“Sejak berusia dua hari, Nuralia yang lahir secara pramatang menjalani pembedahandi paru-paru. Selepas tempoh lima bulan, pembedahan buah pinggang pula dilakukan.

“Bulan November dan Disember lalu, dua lagi pembedahan dilakukan melibatkan masalah saluran tersumbat menyebabkan makanan tak dapat dihadam,” katanya.

Disebabkan beberapa masalah kesihatan yang dihadapi Nuralia, bayi tersebut mudah diserang selsema dan demam.

“Kami difahamkan tiga lagi pembedahan perlu dibuat termasuk usus yang perlu ditebuk, pembedahan hernia dan hayat jantung tetapi bergantung tahap kesihatan Nuralia.

“Setakat ini, dia perlu bergantung kepada bantuan alat pernafasan sepanjang masa dan boleh bertahan kurang dari tiga jam sekiranya tidak dibantu alat,” katanya.

Menurutnya, suaminya yang bertugas sebagai askar wataniah membolehkan Nuralia menerima bantuan dari Angkatan Tentera berupa tangki oksigen bagi bantuan alat pernafasan.

Dia turut bersyukur apabila mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan manakala kini sedang memohon bantuan Baitulmal bagi menampung kos pembedahan.

Mengimbau punca kejadian yang berlaku tahun lalu, katanya, ketika sedang menikmati makan tengah hari di rumah keluarga di Pengkalan Lebai Man di sini, berlaku kebakaran kecil menyebabkan dia tergesa-gesa meninggalkan rumah.

Akibat tindakan itu, dia terpijak serpihan kaca lalu terjatuh menyebabkan bayi yang sedang dalam kandungan ketika itu berusia enam bulan perlu dilahirkan segera.

Walaupun terpaksa berhadapan pelbagai masalah kesihatan, dia reda namun tetap berusaha bagi mengubati anaknya.

Pelajar perlu RM11,000 kos bedah

image

KUALA PILAH – Bapa kepada seorang pelajar yang mengalami kecederaan serius di bahagian tulang belakang terharu apabila menerima sumbangan sebanyak RM1,000 oleh Kelab Lion Kuala Pilah bagi meringankan penderitaan anaknya itu.

Muhammad Zikri Zakaria, 15, yang cedera selepas terjatuh di sebuah sekolah berasrama di Rembau perlu menjalani pembedahan segera bernilai RM11,000.

Kecederaan pada saraf tunjang itu menyebabkan Muhammad Zikri kehilangan keupayaan untuk berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Malah, dia kini hanya mampu terbaring di atas katil.

Bapanya, Zakaria Mohd Jan, 64, berkata, kos rawatan anaknya terlalu tinggi memandangkan mereka bukan dari keluarga yang berada dan hanya tinggal di Rumah Rakyat Dangi.

“Doktor ada beritahu kos pembedahan tinggi kerana perlu menampung 10 biji skru bernilai RM8,500. Itu belum termasuk peralatan lain yang digunakan bagi merawat Zikri.

“Saya buntu memikirkan soal kos pembedahan kerana saya hanya seorang pesara tentera.

“Saya dan ahli keluarga telah berusaha membuat permohonan berbentuk wang ihsan kepada pihak berkaitan namun masih belum ada jawapan lagi,” katanya menzahirkan ribuan terima kasih kepada Kelab Lion kerana sudi menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Lion Kuala Pilah, Chin Sin Yin, 26, berkata, bantuan itu diharap dapat mengurangkan beban keluarga berkenaan.

“Kita mengetahui kepayahan keluarga ini menerusi kakak mangsa. Kita tidak mengira agama atau bangsa, sekiranya mereka susah, kita akan bantu dan ini selari dengan semangat 1Malaysia.

“Kami berusaha menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka. Walaupun tidak dapat menampung ke semua kos rawatan, setidaknya wang itu dapat menambah jumlah tabung untuk adik Zikri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merayu kepada orang ramai menghulurkan bantuan kepada Muhammad Zikri demi masa hadapannya.