Pelajar koma lebih sebulan perlu bantuan

GUA MUSANG – Keluarga seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 2 di sini yang koma lebih sebulan kerana kemalangan jalan raya, memerlukan bantuan untuk menampung keperluan pelajar itu.

Norfarahani Ismail, 17, yang terlantar di rumahnya di Kampung Batu Papan di sini selepas terbabit kemalangan pada 28 Feb lepas, memerlukan perbelanjaan hampir RM1,000 sebulan bagi membeli susu dan lampin pakai buang.

Pendapatan bapanya, Ismail Sulaiman, 46, yang bekerja sebagai buruh di kedai tayar di bandar ini sekitar RM1,000 sebulan tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan itu selain persekolahan tiga lagi anaknya.

Ketika ditemui pemberita di rumahnya, ibu pelajar terbabit, Suriati Mohamad, 43, berkata anak perempuannya itu yang dibawa pulang ke rumah dari Hospital Kuala Krai (HKK) seminggu lalu, memerlukan susu dan lampin pakai buang.

“Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih dalam proses permohonan,” katanya.

Suriati berkata mengikut doktor anak kedua daripada empat beradik itu dijangka pulih dalam masa beberapa bulan lagi tetapi buat sementara ini perlu diberi minum susu menerusi tiub yang ditebuk di perut.

“Saya merayu kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan menghubungi menerusi telefon bimbit 019-9201225,” katanya. – Bernama

Ingat pesanan Allahyarham isteri

MELAKA – Suami kepada Allahyarham Mastura Abd Karim, 34, ejen insurans yang maut dalam kemalangan jalan raya pertengahan Disember lalu, akan menggunakan wang pampasan insurans isterinya itu untuk kegunaan anak-anak.

Moed Salleh, 54, berkata, semasa hayat isterinya itu pernah berpesan supaya sekiranya berlaku apa-apa terhadap dirinya, gunakanlah wang berkenaan untuk tiga anaknya berusia 15, 11 dan 5 tahun.

“Nasib baik arwah ada mencarum insurans sejak lima tahun lalu. Saya bersyukur, sekurang-kurangnya wang pampasan ini bolehlah digunakan untuk keperluan sekolah anak-anak,” katanya selepas menerima cek berjumlah RM124,553.44  daripada MCIS Insurans Berhad.

Pampasan tersebut disampaikan MCIS Fazil Agency di pejabat mereka di Jalan Munshi Abdullah di sini, semalam.

Pada 18 Disember lalu, Allahyarham Mastura meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kilometer 250 Lebuhraya Utara  – Selatan, arah utara berhampiran Senawang.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, kereta Perodua Alza dinaiki mangsa bersama seorang rakan sekerja berusia 25 tahun terbabit kemalangan dengan sebuah treler ketika mereka dalam perjalanan bertemu pelanggan di Bangi.

Sementara itu, turut menerima pampasan, Sajahan Mohamed, 58, bapa kepada seorang lagi ejen MCIS, Allahyarham Muhammad Idzwan Sajahan, 24, yang meninggal dunia pada 4 Januari lalu juga akibat kemalangan jalan raya.

Menurut ibu Allahyarham, Zalilah Zanal Abidin, 57, wang RM121,555.10 yang diterima akan dimanfaatkan sebaik mungkin termasuk untuk tujuan kebajikan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fazil Agency, Datuk Mohamad Fazil Shafie berharap dengan adanya pampasan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kedua-dua keluarga.

“Bagi saya, Arwah Mastura dan Muhammad Idzwan adalah seorang ejen insurans yang cemerlang. Mastura berkhidmat di agensi ini sudah lebih lima tahun dan merupakan seorang top agent. Manakala arwah Muhammad Idzwan pula sudah kira-kira tiga tahun berkhidmat.

‘Kami sudah habis wang’

Muhammad Nur Iman Mohd Razi

Jempol: Sepasang suami isteri mengharapkan bantuan orang ramai bagi menampung perbelanjaan rawatan anak sulung mereka yang menghidap ketumbuhan tahap empat dan koma sejak 9 Mac lalu.

Anak mereka, Muhammad Nur Iman Mohd Razi, 5, sudah dihantar menjalani rawatan susulan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) Rabu lalu selepas menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah selama 44 hari.

Bapanya, Mohd Razi Aris, 37, dari FELDA Pasoh 2 berkata, pembedahan membuang ketumbuhan di kepala anaknya itu dijalankan di HKL pada 18 Januari lalu dan berada di wad selama tiga minggu sebelum dibenarkan pulang selepas itu.

Katanya, pada awalnya penyakit anaknya itu dikesan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jempol selepas tidak boleh berjalan dengan sempurna dan selalu keletihan jika banyak melakukan pergerakan.

“Anak saya kemudian dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan pakar perubatan mengesahkan ada ketumbuhan pada bahagian kepalanya sebelum dirujuk ke HKL,” katanya dihubungi, di sini.

Katanya, doktor hanya membuang separuh ketumbuhan kerana dikhuatiri menimbulkan komplikasi lain terhadap kesihatan anaknya dan perlu menunggu ujian imbasan magnetik resonan (MRI) yang dibuat tiga minggu selepas pembedahan.

“Namun, kesihatannya terjejas selepas kami empat beranak terbabit kemalangan di Kuala Pilah sehingga anak terpaksa dimasukkan ke ICU HTAN pada 9 Mac lalu selepas tidak sedarkan diri,” katanya.

Mohd Razi berkata, dia dan isteri, Norhamima Abd Manap, 33, bersama-sama menjaga anak mereka sejak dimasukkan ke HKL menyebabkan mereka sudah kehabisan wang.

Katanya, sebelum ini dia turut berniaga kecil-kecilan, namun terhenti selepas kemalangan yang menyebabkan keretanya rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi.

Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd Razi di talian 013-6949482.

– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/46264#sthash.7IA12DSc.dpuf

Anak obes terlampau

obes01.transformed

Gandhinagar, India: Seorang bapa di sini, merancang untuk menjual buah pinggangnya sendiri bagi menampung kos perubatan tiga anaknya yang menghadapi masalah obesiti melampau. Rameshbhai Nandwana, 34, berkata, dia terdesak untuk mendapatkan wang kerana bimbang anaknya itu mungkin mati jika tidak mendapat rawatan sepatutnya. Nandwana mempunyai dua anak perempuan, Yogita yang berusia lima tahun dan Anisha, tiga tahun serta seorang anak lelaki Harsh berusia 18 bulan. Walaupun masih kanak-kanak, tetapi mereka memiliki berat badan luar biasa dengan Yogita seberat 34 kilogram (kg), Anisha seberat 48kg dan Harsh 15kg. “Sekiranya anak saya terus membesar seperti ini mereka mungkin menghadapi masalah kesihatan dan mungkin akan mati,” katanya. Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Perkembangan Bayi Dari Lahir Hingga Dua Tahun

Perkembangan Bayi Dari Lahir Hingga Dua Tahun

Sebagai ibu bapa, memang seronok melihat anak-anak membesar dengan sihat dan bijak. Daripada lahir sehingga umur mereka dua tahun, pelbagai keletah dan kerenah dapat diperhatikan. Sesetengahnya mencuit hati dan adakalanya membuatkan anda berasa bangga menjadi ibu bapa mereka. Sebolehnya, kita mahu berada di sisi ketika mereka melakukan sesuatu buat kali pertama seperti ketawa, berdiri sendiri, berjalan, mengucapkan perkataan, memanggil mama atau papa dan sebagainya.

Biasanya, perkembangan awal kanak-kanak diukur daripada pertumbuhan dan perkembangan fizikalnya.  Bayi baru lahir akan diukur berat dan tingginya untuk dicatatkan dalam carta supaya boleh dijadikan rujukan. Carta ini digunakan untuk mengetahui sama ada seseorang bayi itu membesar secara normal atau tidak.

Tahap-tahap Pertumbuhan Bayi Adalah Seperti Berikut:
0 hingga 3 bulan
• Berupaya bertindak balas jika anda menyentuhnya dengan lembut pada pipi atau bahagian sensitif lain seperti tapak tangan dan kaki.
• Dalam tempoh ini juga, kemahiran motor bayi mulai terbentuk dengan baik. Bayi boleh menoleh kepala ke kiri dan ke kanan dan meluruskan tangan serta kaki.
• Mata bayi sudah boleh melihat tetapi tidak fokus.
• Pada usia enam minggu, bayi boleh tersenyum.
• Pada usia lapan  minggu bayi akan mengeluarkan bunyi tetapi sukar difahami.
• Kepala bayi sudah boleh diangkat apabila dibaringkan secara meniarap.
• Pada usia tujuh hingga lapan minggu bayi sudah boleh memegang alat permainan lembut dalam tempoh sekejap.
• Pada usia sembilan minggu bayi sudah boleh melihat dari satu objek ke objek lain.
Tip: Beri bayi anda alat permainan yang mengeluarkan bunyi untuk merangsang kemahiran pendengarannya.

3 hingga 6 bulan
• Pada usia 14 minggu, bayi sudah boleh berguling dari perut ke belakang dan sebaliknya.
• Bayi juga boleh mencapai objek dan menggoncang permainan.
• Bayi sudah boleh memegang dua permainan sekali gus dan meletakkannya dalam mulut.
• Bayi sudah boleh mengangkat dadanya apabila dibaringkan secara meniarap.
• Pada usia 16 minggu bayi sudah mulai menendang-menendang kakinya.
• Genggaman tangan bayi mulai kejap dan kemahiran motornya kian mantap.
• Bayi boleh mengangkat kepalanya dalam masa yang agak lama dan memandang ke arah anda.
Tip: Menyanyi akan menceriakan bayi anda dan merangsang kemahiran lisannya. Jadi, ajaklah anak tepuk tangan dan gerakkan badannya mengikut rentak muzik.

6 hingga 9 bulan
• Bayi mulai menolak dirinya dengan menggunakan kedua-dua tangan, perut dan lutut.
• Mata bayi mulai fokus dan mengekori pergerakan anda di sekeliling rumah.
• Bayi juga mulai merangkak.
• Sudah boleh menggunakan genggaman hujung jari yang melibatkan jari telunjuk dan ibu jari untuk mengambil objek kecil.
• Mulai berdiri dengan sokongan pelbagai barang dalam rumah seperti kabinet, rak, meja dan sebagainya.
• Mulai berjalan dengan bantuan barang-barang sokongan seperti perabot.
• Bayi mengeluarkan pelbagai bunyi suku kata seperti ‘ba’ atau ‘da’ yang jelas tetapi tidak difahami.
Tip: Ajar anak menyebut perkataan yang mudah seperti mama dan papa untuk merangsang kemahirannya bercakap.

9 hingga 12 bulan
• Pada usia 40 minggu bayi mulai boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan perabot.
• Sesetengah bayi mulai memulakan langkah pertama pada usia 41 minggu.
• Bayi juga berminat menolak kereta sorong dan memegang objek yang lebih besar seperti bola.
• Bayi juga boleh memegang objek yang halus seperti pensel dengan cermat.
• Bayi boleh mengenali ahli keluarganya dengan jelas seperti ibu, bapa dan adik-beradik.
• Sudah memahami arahan mudah anda seperti ‘jangan’.
• Bayi gemar bermain ‘sorok barang’ dengan anda.
Tip: Mengajak anak bermain ‘sembunyi-sembunyi’ akan merangsangnya menjadi lebih fokus ketika melihat. 

12 hingga 24 bulan
• Pada peringkat ini kanak-kanak biasanya sudah pandai berkata-kata. Contohnya. “Mana mama?”
• Ketika bercakap, mereka akan fokus terhadap apa yang mereka cakapkan itu.
• Semasa membaca buku bersama, mereka akan turut menyebut nama objek-objek yang ada di dalamnya.
• Kanak-kanak dua tahun juga semakin pandai naik dan turun tangga.
• Boleh membuka zip yang bersaiz besar.
• Sudah pandai melukis.
• Semakin pandai memegang dan menggunakan sudu.
Tip: Beri anak anda sudu dan garpunya sendiri ketika makan untuk merangsang kemahirannya memegang sesuatu benda.

Manakala perkembangannya pula akan merangkumi 5 asas utama iaitu perkembangan fizikal, bahasa, kognitif, sosial emosi dan estetika serta daya kreatif.

1. Perkembangan Fizikal
Si manja mengalami perubahan dari segi bentuk dan saiz; kebolehan mengawal pergerakan motor kasar dan halus serta koordinasi anggota badan. Motor kasar berkaitan dengan otot-otot kasar seperti merangkak, memanjat, berjalan dan berlari. Manakala motor halus berkaitan dengan hal yang menggunakan saraf seperti melakar dan melukis.
Tip rangsangan: Berikan anak kertas dan pensel warna. Biarkan dia melukis apa sahaja yang diingini untuk memupuk kreativiti mereka.

2. Perkembangan Bahasa
Anak anda akan mengalami perubahan daripada tahap mengeluarkan bunyi-bunyian kepada penerimaan, kefahaman dan mengeluarkan kata-kata sebagai tindak balas kepada rangsangan. Dia akan belajar menyebut apa sahaja yang didengarkannya. Sama ada melalui percakapan ibu bapa, bahan bacaan yang dibaca kepadanya, menonton televisyen dan mendengar radio.
Tip rangsangan: Ajaklah anak menyanyi lagu dengan lirik ciptaan anda sendiri agar anak boleh belajar menyebut perkataan dengan betul. Misalnya,“Masa mandi, gosok gigi, gosok gigi, gosok gigi…baru bersih.”

3. Perkembangan Kognitif
Ini bermaksud keupayaan kanak-kanak mengumpul maklumat dan menyelesaikan masalah. Perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza mengikut tahap usia. Interaksi dan komunikasi orang dewasa dengan kanak-kanak adalah perlu. Kanak-kanak memahami dan akan belajar meniru sebutan berbahasa dengan betul setelah melakukan pengumpulan maklumat.
Tip rangsangan: Setiap kali melakukan sesuatu, beritahu anak apa yang anda sedang buat. Misalnya, “Mama nak buka lampu ni,” lalu tekan suis dan lampu akan menyala. Dengan cara ini anak anda akan memahami perbuatan tersebut.

4. Perkembangan Sosial Emosi
Kanak-kanak mula belajar bergaul, berinteraksi dan meluahkan perasaan. Mereka semakin membesar dan pastinya perkembangan emosinya berbeza seperti gembira dan marah. Asuh kanak-kanak dengan mendengar perasaan yang diluahkan dan bimbing mereka ke arah emosi yang positif. Jangan dibiarkan menangis berterusan tanpa mengambil berat emosinya. Tenangkan mereka supaya tidak menangis berpanjangan. Minta mereka memberitahu masalah dan berikan dorongan atau pujian sekiranya mereka boleh menguasai emosinya.
Tip rangsangan: Galakkan anak berkawan dengan rakan sebaya agar dia pandai berkomunikasi dan bertolak ansur.

5. Perkembangan Estetika dan Kreativiti
Lihat kemampuan si kecil mengembangkan daya kreativitinya. Kemahiran ini diperoleh menerusi aktiviti dan projek berkaitan seni visual yang mengutamakan proses, berbanding dengan hasilan akhir. Proses ini mengaktifkan pemikiran kritikal kanak-kanak dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Selain itu, aktiviti pendidikan seni visual menggalakkan kanak-kanak melakukan eksplorasi dan eksperimen dalam kehidupan seharian.
Tip rangsangan: Ajak anak bermain permainan gambar sama. Ambil beberapa keping gambar dan buatkan dua salinan. Campurkan kesemuanya dan biarkan anak asingkan gambar yang sama. Cara ini mengasah kemahiran anak menyelesaikan masalah.

Berikan Yang Terbaik Untuk Anak Anda

Tempoh dua tahun awal kanak-kanak sangat penting untuk menjamin perkembangan dan tumbesaran yang sihat. Oleh yang demikian, berilah mereka perlindungan yang sewajarnya.
PruBSN SmartLink melindungi anak anda seawal 20 minggu kehamilan hinggalah dia dilahirkan. Malah, bayi anda juga akan menerima manfaat-manfaat selepas lahir yang membantu dia membesar dengan sihat dan bijak. Jika anda hamil dan berusia di antara 19 hingga 45 tahun, anda boleh memiliki pelan bijak ini.

Anda juga boleh menikmati manfaat-manfaat kehamilan dan bayi yang serupa dengan memilih rider Baby Care yang disertakan bersama pelan PruBSN TakafulLink atau PruBSN FirstLink. Dengan rider ini, anda akan menikmati manfaat-manfaat yang sama untuk kelahiran-kelahiran  seterusnya serta Bonus Imunisasi sebanyak RM200.
Nantikan artikel seterusnya mengenai merancang pendidikan anak anda dan ketahui lebih lanjut bagaimana PruBSN SmartLink boleh membantu membina tabung pendidikan anak anda daripada awal lagi.

Maklumat lanjut mengenai pelan ini boleh didapati di sini. Anda juga boleh menghubungi 03 2053 7188 atau e-mel kepada customer@prubsn.com.my untuk sebarang pertanyaan. Sila nyatakan Pa&Ma dalam komunikasi anda kepada PruBSN.

Sumbangan artikel daripada

Prudential BSN Takaful Berhad merupakan Pengendali Takaful yang berdaftar di bawah Akta Takaful 1984 dan di kawalselia oleh Bank Negara Malaysia.

Nota:
Ini adalah panduan / tip yang bersifat umum dan mungkin tidak merangkumi situasi bagi sesetengah individu. Untuk keterangan lanjut, anda dinasihatkan merujuk kepada Pakar Pediatrik.

Sumber artikel:

  • Laman web Majalah Pa&Ma
  • Laman web Baby Center
  • Buku panduan lengkap: Penjagaan Ibu dan Anak  oleh Elizabeth Fenwick

 

1 2 3