Budak perempuan 6 tahun hidap kanser payudara

image (1)

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dari Pantai Cahaya Bulan (PCB) dikesan mengidap kanser payudara.

Ketua Jabatan dan Perunding Pembedahan Payudara dan Endoktrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, penemuan tersebut dianggap bukan sahaja paling muda di negara ini, malahan berdasarkan kajian, termuda di dunia.

Katanya, setakat ini pesakit kanser payudara termuda adalah kanak-kanak berusia 10 tahun dari Amerika Syarikat.

“Pada Oktober tahun lalu, saya anggap ini adalah penemuan dalam sejarah perubatan apabila seorang kanak-kanak berusia enam tahun mengalami masalah payu daranya mempunyai biji sebesar dua sentimeter (cm).

“Setelah menjalankan pembedahan dan biji tersebut dihantar untuk kajian, hasilnya mengesahkan dia mengalami kanser payu dara dan sehingga kini masih menerima rawatan di hospital ini secara temu janji,” katanya semasa ditemui di HRPZ II, di sini, hari ini.

Dr Imi Sairi berkata, kanak-kanak tersebut kini berusia tujuh tahun dan kemungkinan kanser itu berlaku disebabkan faktor genetik, namun ibu bapa kanak-kanak tersebut tiada hubung kait mengenai penyakit berkenaan.

Bagaimanapun, kanser yang dialami kanak-kanak berkenaan berada pada peringkat awal mungkin tahap pertama atau kedua.

“Kanser payudara adalah pembunuh nombor satu bagi wanita di Malaysia, namun di Kelantan, berdasarkan jantina lelaki dan perempuan, kanser payudara menjadi penyebab kedua kematian selepas kanser usus.

“Masalah kanser payudara dikawal melalui saringan awal bagi wanita yang cukup usia 40 tahun untuk menjalankan mamogram,” katanya.

Kata beliau, berdasarkan rekod HRPZ II, terdapat 2,262 pesakit secara keseluruhan mengalami kanser dan paling ramai adalah payudara 593 pesakit, diikuti kanser usus 262 dan ovari 183 pesakit, termasuk kanser tiroid, serviks dan leukemia.

Beliau mengakui hampir 50 peratus pesakit kanser di negeri ini datang mendapatkan rawatan di hospital setelah penyakit tersebut kronik di peringkat tahap ketiga dan keempat.

Katanya, kanser payudara juga turut dihidapi pesakit lelaki, namun kaum tersebut lebih menderita akibat penyakit kanser usus dan prostat.

Untuk rekod, Hannah Powell-Auslam, 10, dari Southern California, Amerika Syarikat mengejutkan dunia apabila menjadi gadis paling muda di dunia yang diserang kanser payudara.

Keputusan doktor itu diterima April 2009 dan ia telah menjalani pembedahan kanser yang jarang berlaku yang disebut invasive secretory carcinoma. Menurut catatan perubatan kanser ini diketahui pertama kali menyerang kanak-kanak pada 1960, tetapi hingga sekarang tiada maklumat terperinci mengenai kes berkenaan.

Konsep tabarru’ dalam Takaful

SESUNGGUHNYA Islam adalah agama yang sangat sempurna. Segala sistem dan peraturannya adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan hidup manusia. Peraturan-peraturan Islam selari dengan fitrah kejadian manusia.

Secara fitrahnya manusia sangat sukakan harta, maka Islam telah meletakkan panduan yang jelas kepada manusia dalam hal-hal berkaitan harta agar harta tersebut memberikan kebaikan kepadanya.

Dalam Islam, manusia tidak memiliki harta tersebut secara mutlak, bahkan harta tersebut adalah sebagai amanah Allah untuk diatur dan disalurkan dengan cara yang diredai-Nya.

Islam menyediakan kaedah penyelesaian yang bukan sahaja praktikal malah dapat memberikan kebaikan di dunia dan di akhirat. Sebagai agama yang praktikal, Islam menyediakan solusi kepada pelaksanaan sistem insurans yang selari dengan prinsip syariah Islam.

Kontrak tabarru’ (bersedekah) telah diperkenalkan sebagai asas kepada sistem takaful di mana kontrak berkenaan adalah lebih praktikal dan selamat dalam mengatur-urus sistem insurans yang pada tujuan asalnya adalah dianggap baik.

Perbahasan kali ini adalah berkaitan konsep tabarru’ dan mengapa ia dipilih sebagai kontrak yang selamat pada pandangan Islam dalam menjalankan aktiviti dan transaksi insurans.

Berkasih sayang

Tabarru’ bermaksud suatu bentuk derma ikhlas yang diberi oleh satu pihak dengan tidak meminta pertukaran atau balasan daripada pihak yang lain.

Ia dikategorikan sebagai kontrak satu pihak (unilateral) di mana cukup dengan hanya satu pihak sahaja yang melafazkan sesuatu pemberian tanpa ada sebarang pertukaran.

Tabarru’ adalah antara amalan soleh yang sangat digalakkan oleh Islam. Islam menggalakkan semangat tolong-menolong dan berkasih sayang antara satu sama lain. Justeru amalan bersedekah ini sangat tinggi nilainya di sisi Islam.

Ini kerana ia adalah asas kepada wujudnya masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Oleh kerana itulah banyak dalil yang menyokong perkara ini. Antaranya maksud firman Allah SWT yang maksud-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 254)

Rasulullah SAW juga menegaskan dalam banyak sabda Baginda akan galakan dan keperluan melakukan sedekah. Antaranya daripada Rasulullah SAW dengan sabdanya: Firman Allah: Belanjakanlah (hartamu) wahai anak Adam, nescaya kamu akan diinfaqkan (oleh Allah SWT) (Muttafaq ‘alaih)

Daripada Rasulullah SAW dengan sabdanya: Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah amalannya melainkan dengan tiga perkara: Sedekah yang berterusan, ataupun ilmu yang memberikan manfaat, ataupun anak yang soleh yang berdoa kepadanya. (riwayat Muslim)

Dalam takaful, setiap peserta yang menyertai mana-mana produknya akan memperuntukkan sebahagian atau keseluruhan daripada sumbangannya (premium) ke dalam satu tabung.

Tabung tersebut dinamakan Tabung Risiko. Ia menempatkan derma terkumpul para peserta. Fungsi dana ini adalah sebagai bantuan kepada peserta yang ditimpa musibah.

Sebagai contoh, setiap peserta berjanji melakukan derma secara bulanan (al Iltizam bi al Tabarru’) ke dalam Tabung Risiko.

Di bawah model ini, sumbangan peserta akan ditempatkan ke dalam satu akaun.

Pihak peserta yang telah berjanji melakukan derma tadi, membenarkan Pengendali Takaful mengambil sejumlah tertentu daripada jumlah yang diperlukan untuk membantu peserta-peserta yang ditimpa musibah pada bulan berkenaan untuk didermakan (drip) setiap bulan ke dalam Tabung Risiko.

Setiap peserta akan saling membantu di antara mereka apabila ada di kalangan mereka yang ditimpa musibah.

Aplikasi tabarru’ di dalam takaful telah menghapuskan unsur-unsur gharar (syubhat), riba dan maisir (judi) yang kerananya telah menyebabkan insurans konvensional difatwakan haram.

Ini kerana tabarru’ dikategori sebagai kontrak satu pihak yang tidak memerlukan sebarang pertukaran atau timbal balas sebagaimana kontrak pertukaran seperti kontrak jual beli yang menentukan adanya pertukaran di antara dua pihak yang berkontrak.

Seseorang yang menderma cukup dengan menyerahkan barangan yang didermakan kepada pihak-pihak yang berkenaan, maka kontraknya telah dikira selesai. Tetapi bagi kontrak pertukaran seperti jual beli, kontraknya dikira selesai apabila pembeli menyerahkan wang (harga barang) dan penjual menyerahkan barang yang dijual tersebut, jika tidak kontrak berkenaan dikira tidak sah.

Inilah yang berlaku di dalam transaksi insurans konvensional di mana walaupun pelanggan telah membayar premium (harga) pihak penanggung insurans tidak berupaya menyerahkan barang yang berupa perlindungan, pada kebiasaannya dalam bentuk wang.

Ini kerana perlindungan (wang) tersebut hanya boleh diserahkan jika pelanggan berkenaan mengalami jenis risiko yang dilindungi seperti sakit jantung, mati, kemalangan dan sebagainya.

Wang hangus

Semasa membeli insurans, pelanggan berkenaan belum lagi menghidap musibah-musibah berkenaan. Maka sudah pasti pelanggan berkenaan tidak akan mendapat barang yang dibelinya itu yang sepatutnya diserahkan kepadanya pada masa tersebut.

Lagipun, musibah seperti sakit jantung, mati , kemalangan dan sebagainya itu sifatnya tidak diketahui akan berlaku atau pun tidak. Maka pelanggan berkenaan tidak pasti sama ada akan dapat atau tidak.

Dalam konteks kontrak jual beli, tidak berupaya menyerahkan barang yang dijual semasa akad dimeterai ia dikira sebagai transaksi yang mengandungi elemen gharar yang ditegah oleh Rasulullah SAW. Inilah yang berlaku dalam transaksi insurans konvensional.

Menerusi pelaksanaan tabarru’ ini yang diikat dengan prinsip Takaful (saling membantu) mewujudkan suasana saling tolong-menolong di antara satu sama lain.

Sebagai analogi mudah, peserta A menderma untuk membantu peserta B, manakala peserta B menderma untuk membantu peserta A, suasana bantu membantu inilah yang dikatakan sebagai Takaful di mana peserta saling membantu sesama mereka.

Bukannya di antara peserta dengan pihak syarikat sebagaimana yang berlaku di dalam sistem insurans konvensional.

Berdasarkan prinsip-prinsip tabarru’ sumbangan derma itu tidak boleh ditarik balik oleh peserta. Jika peserta membatalkan penyertaan di dalam Takaful, bahagian yang telah dimasukkan ke dalam Tabung Risiko tidak akan dipulangkan. Bagaimanapun peserta berhak mendapat baki yang ada di dalam akaun.

Justeru, tiada istilah ‘wang hangus’ dalam keadaan ini sebagaimana yang cuba disalah tafsirkan kerana ia wang derma yang bakal diganjari pahala yang lumayan oleh Allah.

Demikian kerana dalam aplikasi takaful, jika sekiranya tidak berlaku tuntutan ke atas perkara yang dilindungi, sumbangan tabarru’ tersebut berperanan sebagai sumbangan amal jariah yang sangat-sangat istimewa dalam Islam.

Inilah di antara kelebihan dan keindahan sistem takaful yang tidak ada dalam sistem insurans konvensional. Menikmati habuan ukhrawi di samping habuan duniawi sekali gus.

Allah menjanjikan ganjaran yang lumayan bagi mereka yang bersedekah. Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261). Selain itu boleh juga merujuk ke ayat 274 surah al-Baqarah.

Bukan sahaja peserta yang dapat menikmati manfaat rabbani ini malah mereka yang bekerja di syarikat-syarikat takaful termasuklah para wakil atau ejen Takaful yang terus menerus mempromosikan konsep tabarru’ ini, juga bakal mendapat ganjaran ilahi.

Menerusi amalan tabarru’ ini kita boleh menikmati ganjaran yang istimewa daripada Allah. Amalan ini boleh dikerjakan dengan lebih sempurna, sistematik dan profesional menerusi sistem takaful.

Malah amalan menerusi sistem Takaful ini adalah tabarru’ kelas pertama di mana ia dilakukan dengan ikhlas, sehinggakan tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Takaful beri perlindungan, pelaburan Islamik

Tujuan asas takaful adalah untuk memberi perlindungan kepada pemilik sijilnya sekiranya berlaku musibah seperti kematian dan hilang upaya.

Ramai di antara kita tidak mempersiapkan diri untuk menghadapi musibah dan tidak menganggap perlindungan takaful sebagai satu bentuk simpanan, sebaliknya menganggap caruman takaful adalah perbelanjaan yang tidak perlu.

Perlindungan Takaful sentiasa dianggap tidak perlu di dalam perancangan kewangan individu kerana ramai di antara kita mempunyai mentaliti bahawa ahli keluarga akan membantu sekiranya kita ditimpa kesusahan, terutamanya kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.

Namun, tahukah kita bahawa perlindungan takaful adalah lebih diperlukan lagi sekiranya kita berada di dalam sebuah keluarga besar kerana wujudnya elemen pergantungan kewangan? Bayangkan jika pencari nafkah tunggal meninggal dunia, meninggalkan anak-anak yang masih lagi bergantung harap kepadanya. Kehilangan pencari nafkah tunggal bukan sahaja amat menyedihkan malah turut akan membebankan keluarga tersebut untuk mencari sumber pencarian lain sebagai pengganti.

Tanpa perlindungan takaful, keluarga yang ditinggalkan akan berhadapan dengan kesukaran untuk menyelesaikan hutang dan bagi meneruskan kehidupan. Perlindungan takaful sedikit sebanyak boleh membantu menyelesaikan hutang dan kemudiannya memberikan sedikit pendapatan sebelum beroleh sumber pendapatan yang baharu.

Ini amatlah digalakkan di dalam Islam demi menjaga integriti keluarga, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas ” …adalah lebih baik kamu meninggalkan zuriatmu dalam keadaan kaya (cukup) berbanding kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin (tidak cukup) meminta-minta pertolongan manusia lain” (Hadis Riwayat Bukhari). Jelaslah kepada kita bahawa Islam itu amat menggalakkan seorang muslim untuk menyediakan ‘payung sebelum hujan.’

Selain dari penyediaan perlindungan, takaful merupakan satu cara untuk meningkatkan pelaburan secara Islam. Caruman yang disumbangkan oleh pemilik sijil akan diuruskan oleh pengendali takaful dengan melabur di dalam dana pelbagai jenis instrumen kewangan seperti Sukuk. Dengan cara ini, pemilik sijil dengan sendirinya terlibat dalam aktiviti-aktiviti pelaburan secara tidak langsung hanya dengan mengambil bahagian dalam Takaful. Hasil dari penyertaan di dalam pelaburan ini membolehkan peserta berupaya untuk menyumbang dalam peningkatan jumlah pelaburan secara Islamik secara khusus dan seterusnya memartabatkan industri halal secara umumnya.

Dengan penyertaan kita di dalam takaful, kita bukan sahaja berlaku adil kepada ahli keluarga dengan menyediakan apa yang dituntut dan digalakkan ke atas seorang muslim, tetapi juga berpeluang untuk meningkatkan ekonomi dan memperkukuhkan kewangan Islam secara keseluruhannya.

 

Antara 4 kategori tersebut, kita di dalam kategori yang mana?

4-kategoriAntara 1,2,3 dan 4 kita di dalam kategori yang mana?

Panggilan dari golongan ini memang biasa diterima oleh perunding takaful apabila pemanggil diuji dengan penyakit, cuma golongan pertama sahaja yang dapat kami bantu. Ini adalah kerana mereka sentiasa memastikan sijil aktif dan kami bersedia menghulurkan perkhidmatan kami sebagai perunding takaful.

Seringkali kita diingatkan permohonan pelan takaful adalah mudah untuk yang sihat, dan agak sukar sekiranya sudah ada penyakit. Kami hanya menghantar permohonan anda, pihak syarikat yang akan menilai semula samaada permohon layak atau tidak untuk diberi perlindungan takaful.

Adalah luar biasa orang yang sihat tiba2 call perunding takaful untuk memohon pelan takaful. Mungkin seorang dalam 1000.

Agak-agak berapa ramai yang luar biasa?

“Beringat sebelum kena, bukan sudah kena baru teringat-ingat”

*credit to Takaful Awareness Through Cartoon FB

Kanser payudara: Lelaki juga berpotensi

LELAKI kena kanser payudara? Soalan seperti ini tidak mustahil akan terpacul kala dikaitkan dengan kalangan lelaki, lantaran ia sangat jarang didengari berbanding lazimnya berlaku di kalangan wanita. Ini mungkin disebabkan perbezaan fizikal di antara golongan Adam dan Hawa ini sangat ketara terutama pada saiz payudara. Pun begitu, jangan pandang remeh kerana walaupun nisbah peratusannya agak kecil iaitu kira-kira 1:100, namun tidak mustahil boleh menyerang golongan lelaki. Malah, peratusan ini kini semakin meningkat di Amerika Syarikat.

Menurut Pakar Bedah Gastroentestinal & Laparoskopi Hospital Pakar DEMC Shah Alam, Dr. Lukman Mohd Rashid, kebanyakan kes kanser payudara lelaki menyerang pesakit sekitar usia lebih lanjut sekitar 50-60 tahun.

cdr723771-750“Dari segi perbezaan, sebenarnya tidak banyak perbezaan ketara kerana dari segi simptomnya adalah sama. Berdasarkan kes yang ditemui, peratusannya juga sangat kecil iaitu kira-kira 1:100. Ini kerana lelaki mempunyai hormon testeron berbanding estrogen pada wanita. Walau bagaimanapun, ia tidak mustahil untuk lelaki juga berisiko terutama apabila terdapat simptom berkaitan kanser payudara ini.

“Berbanding wanita juga, lelaki lebih mudah rasa simptom yang terdapat pada badan mereka kerana perbezaan saiz payudara. Jika ada di antara ahli keluarga yang pernah menghidapi kanser, risikonya adalah lebih besar untuk lelaki mendapat penyakit ini. Kebanyakan lelaki pada masa kini yang membuat suntikan hormon juga berpotensi untuk terkena kanser payu dara,” jelasnya.

Faktor-faktor risiko

Antara faktor-faktor yang meningkatkan faktor kanser payudara lelaki termasuk:

· Umur lanjut iaitu lelaki dalam lingkunan umur 60-70 tahun.

· Terkena sinaran radiasi. Jika anda telah menerima rawatan radiasi terutama pada bahagian dada seperti yang digunakan untuk merawat kanser di bahagian dadah, anda lebih cenderung untuk menghidap kanser payudara di kemudian hari.

· Pendedahan kepada estrogen misalnya menerusi pengambilan ubat-ubatan yang berkaitan dengan estrogen seperti yang digunakan sebagai sebahagian daripada prosedur seks perubatan. (Dadah estrogen juga boleh digunakan dalam terapi hormon untuk kanser prostat).

· Sejarah dalam keluarga di mana mungkin salah seorang ahli keluarga pernah menghidap kanser.

· Sindrom genetik atau juga dikenali Kline felter yang berlaku apabila lelaki dilahirkan dengan lebih daripada satu salinan kromosom X. Sindrom ini menyebabkan perkembangan tidak normal buah zakar. Hasilnya, lelaki dengan sindrom ini menghasilkan tahap hormon lelaki (androgen).

· Jika anda mempunyai penyakit hati seperti sirosis hati, hormon lelaki anda boleh dikurangkan sementara hormon wanita pula akan menjadi lebih.

· Obes mungkin menjadi salah satu faktor risiko di kalangan lelaki kerana ia meningkat bilangan sel-sel lemak dalam badan. Sel-sel lemak akan menukarkan androgen kepada estrogen yang boleh menyebabkan peningkatan jumlah estrogen dalam badan.

Apakah simptomnya?

Memandangkan ia penyakit yang bukan lazim di kalangan lelaki, adalah dinasihatkan kepada mereka yang mempunyai simptom-simptom berikut segera berjumpa pakar untuk mengetahui lebih lanjut lagi berkaitan.

“Memandangkan lelaki mempunyai buah dada yang lebih kecil daripada wanita, oleh itu ia lebih mudah untuk membuat pemeriksaan sendiri di rumah. Sekiranya terdapat simptom-simptom seperti ketulan di bawah puting atau kelenjar (benjolan di bawah ketiak), lekuk-lekuk pada bahagian payudara, puting berdarah, segeralah berjumpa dengan pakar,” ujarnya lagi

Berikut adalah ciri-ciri kanser yang boleh anda kesan sendiri atau telitikan:-

Payudara

Payudara anda akan mengalami perubahan saiz dan rupa. Sekiranya anda dapat melihat seperti lekuk pada bahagian payudara selain mungkin melibatkan penemuan ketulan atau berlakunya penebalan kulit payudara.

Puting berdarah

Puting berdarah. Walaupun ada kalanya terdapat cecair keluar dari puting, ia adalah perkara biasa. Namun, keadaan ini boleh jadi membimbangkan sekiranya puting berdarah.

Puting tertarik ke dalam

Ia mungkin satu keadaan normal dan semula jadi pada sesetengah wanita. Walau bagaimanapun sekiranya keadaan ini baru berlaku dan terjadi tanpa sebab, anda harus berjumpa dengan doktor. Ketulan atau penebalan kulit dan diikuti dengan kehadiran cecair keluar daripada puting juga harus dipandang serius. Segeralah berjumpa doktor.

Ruam

Ruam di bahagian puting dan persekitaran kulitnya juga boleh menjadi simptom serangan kanser payudara. Penyakit Paget ada kaitan dengan serangan kanser payudara. Ruam di puting atau kawasan persekitaran puting boleh terjadi akibat daripada ekzema.

Lengan

Terdapat ketulan atau bengkak pada sekitar ketiak.

Rawatan

Sekiranya anda telah disahkan menghidap kanser payudara, segeralah menjalani rawatan kerana harapan masih ada untuk anda menyelamatkan nyawa. Antaranya adalah melalui pembedahan dan seterusnya rawatan lanjut seperti kimoterapi dan radioterapi.

“Walau bagaimanapun, apa yang penting adalah menjalani gaya hidup sihat. Jangan mengambil estrogen, minum arak, merokok dan sebagainya yang berbahaya kepada kesihatan kerana ia mungkin salah satu penyumbang untuk anda berisiko menghidap kanser payudara,” nasihat Dr. Luqman.

* Dipetik dari majalah Seri Dewi & Keluarga

[wdsm_ad id=”2298″ class=” ” ]

1 2