Kanser prostat usah ambil mudah

Rodly Fadlymetahad@hmetro.com.my


Hasil kajian di Amerika Syarikat, kanser prostat menduduki nombor dua dalam carta punca kematian lelaki negara itu akibat kanser di mana kanser hati adalah penyebab utama.

Malah sepanjang 2016, The American Cancer Society menganggarkan sebanyak 180,890 kes terbaharu kanser prostat dengan 26,120 daripadanya mengalami kematian.

Di Malaysia, tiada kajian spesifik dilakukan berhubung gejala penyakit ini, namun berdasarkan statistik pada 2012, dianggarkan lebih 1.1 juta lelaki negara ini menghidap kanser prostat. Ia diletakkan sebagai pembunuh lelaki nombor empat selepas serangan jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Berdasarkan fakta di atas, kanser prostat boleh dianggap sebagai satu ancaman besar kepada lelaki dan perlu diberi perhatian serius.

Menurut pakar Perunding Bedah Urologi, Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, Dr Abdul Rashid Abdul Subahan, tumpuan yang diberikan kepada penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi menyebabkan orang ramai seakan-akan lupa kepada risiko penyakit kanser prostat.

“Memang diakui, dibandingkan dengan penyakit ‘tiga serangkai’ itu serta kanser lain seperti kanser payudara, usus dan hati, risiko kematian akibat kanser prostat adalah rendah. Malah, ada yang menganggap kanser ini bukan penghujung jalan kepada kehidupan.

“Tapi ingat, apa penyakit sekali pun jika tidak dirawat awal, ia juga boleh membawa kepada kematian. Sama juga dengan kanser prostat, jika tidak dikesan dan dirawat lebih awal, bila ia merebak ke bahagian lain seperti tulang dan paru-paru, maka risikonya lebih tinggi,” ujarnya.

Prostat dan fungsinya

Dr Rashid berkata untuk memahami kanser prostat, setiap lelaki perlu terlebih dahulu mengenali prostat dan fungsinya. Oleh itu sikap mengambil tahu mengenai organ ini adalah penting.

“Boleh dikatakan kebanyakan lelaki hanya tahu menggunakan tapi tidak pernah mengambil kisah tentang organ kelelakian mereka termasuk prostat. Malah, mereka tidak tahu pun di mana letaknya prostat.

“Prostat adalah kelenjar terletak di antara pangkal zakar dan pundi kencing serta saluran tiub (uretra) yang menyalurkan air kencing dan air mani melalui zakar.

“Saiznya mengikut umur seseorang, semakin meningkat umur ia semakin membesar. Proses pembesaran ini dipanggil Benign Prostate Hyperplasia (BPH). Bagi remaja berusia 20-an, saiznya mungkin sebesar guli kecil tapi bagi yang berusia lebih 40 tahun, ia bersaiz guli besar atau paling tidak sebesar kacang ‘walnut’.

“Fungsi utama prostat ialah menghasilkan cecair yang berfungsi melindungi, menyokong serta melancarkan pergerakan air mani. Hampir 75 peratus cecair ini dibekalkan dalam pundi air mani, 20 peratus kekal di dalam prostat, empat peratus dalam buah zakar dan satu peratus untuk air mazi.

“Cecair yang dihasilkan oleh prostat ini turut membantu sperma berenang lebih laju untuk menuju ke sasarannya,” kata Dr Rashid.

 Apakah kanser prostat?

Dr Rashid menjelaskan kanser prostat ialah ketumbuhan yang bermula dalam kelenjar prostat. Dalam beberapa kes, kanser ini membiak dengan perlahan sehingga penghidap tidak mengalami sebarang simptom atau menyedari kewujudannya.

Lama-kelamaan ia akan membesar serta mengelilingi prostat. Jika tidak ‘dibunuh’ dengan segera, ia boleh merebak ke tulang belakang yang mengundang risiko lebih besar.

“Peringkat satu dan dua hanya membabitkan 5 peratus kanser di sekitar kelenjar. Peringkat tiga pula ia mula merebak ke sarung kelenjar prostat atau vesikal seminal. Dan tahap empat yang dikategorikan serius ialah kanser mula merebak ke pundi kencing, dubur, paru-paru dan tulang.

“Serangan ke atas tulang belakang boleh menyebabkan seseorang mengalami sakit belakang malah boleh mengakibatkan lumpuh,” katanya.

Punca

Menurut Dr Rashid, beberapa faktor menjadi penyebab kepada kanser prostat, antaranya ialah usia, sejarah keluarga, pemakanan dan hormon.

“Kanser prostat lazimnya menyerang lelaki yang berusia lebih 50 tahun malah semakin tua usia anda, semakin mudah diserang kanser ini. Lebih 80 peratus kanser prostat didiagnosis pada lelaki yang berumur 65 tahun ke atas.

“Ia juga adalah penyakit keturunan di mana mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser berkenaan lebih terdedah kepada risiko diserang.

“Paras testosteron (hormon seks lelaki) yang tinggi juga dikaitkan dengan pembentukan kanser. Selain itu, faktor pemakanan turut memainkan peranan seperti pengambilan makanan berlemak yang berlebihan serta merokok,” ujarnya.

Simptom

Antara simptom yang boleh dijadikan indikasi seseorang mungkin menghidap kanser adalah berlaku beberapa keadaan berkaitan kencing seperti terlalu kerap, tidak puas, tidak lancar, sakit atau pedih, berdarah, kerap kencing malam, terkencing dan terasa sakit ketika berlaku ejakulasi semasa bersetubuh.

“Kanser yang berlaku pada prostat menghenyak pundi kencing menyebabkan pesakit berasa kerap mahu membuang air kecil atau tidak dapat menahan kencing.

“Pada masa sama prostat yang membesar kerana kanser turut menghimpit salur kencing menyebabkan aliran air kencing tersekat dan susah mengalir keluar. Itulah punca kencing tidak puas atau sakit ketika membuang air kecil,” terang Dr Rashid.

Cara kesan kanser

Namun, menurut Dr Rashid ada juga pesakit yang tidak mengalami sebarang simptom menyebabkan mereka sukar mengesan kanser pada peringkat awal. Sebaliknya mereka hanya menyedari bila sudah ke tahap serius.

Oleh itu beliau menyarankan agar lelaki terutama yang melebihi usia 50 tahun supaya menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

“Ujian melalui kaedah Prostate-Specific Antigen (PSA) boleh mengenal pasti sama ada protein yang dihasilkan oleh tisu prostat normal atau tinggi. Bagi lelaki bawah 40 tahun, bacaan normal ialah pada paras 2.5 sementara bagi yang berumur lebih 50 tahun ialah 4.

“Jika bacaannya lebih daripada paras itu, anda perlu membuat pemeriksaan lanjut melalui beberapa kaedah bagi memastikan sama ada anda dihidapi kanser atau tidak.

“Antara kaedah digunakan untuk pemeriksaan awal ialah DRE (Digital Rectal Examination) di mana doktor memasukkan jari melalui saluran dubur dan merasa buah kelenjar. Jika ia lembut, itu menandakan kelenjar prostat anda normal tapi jika keras, maka itu antara tanda-tanda kanser.

“Begitu pun bagi memastikan lagi, anda perlu membuat pemeriksaan lanjut melalui beberapa kaedah seperti ultrasound, CT Scan (Computed Tomography Scan) atau MRI (Magnectic Resonance Imaging).

“Namun, kaedah paling tepat ialah biopsy di mana doktor mengambil sedikit tisu di bahagian prostat dan dibuat ujian makmal ke atasnya.

Rawatan

“Apabila disahkan menghidap kanser prostat, ada beberapa cara rawatan yang boleh dijalankan bergantung pada tahap kanser.

“Antara kaedah rawatan yang berkesan ialah dengan melakukan pembedahan membuang prostat. Atau pesakit juga boleh menggunakan kaedah radioterapi untuk membunuh sel kanser.

“Di samping, bagi mengawal atau mematikan sel kanser, pesakit juga boleh menyekat bantuan ‘makanan’ kepada kanser ini iaitu hormon testosteron. Ini kerana sel kanser cepat merebak jika seseorang pesakit mempunyai tahap testosteron yang tinggi.

“Oleh itu langkah paling bijak mengawal penghasilan testosteron ialah dengan penggunaan ubat atau menutup terus kilang yang menghasilkannya iaitu dengan membuang buah zakar.

“Sebagai ganti, pesakit boleh mendapatkan hormon itu melalui suntikan kerana testosteron memang diperlukan oleh semua anggota badan kita,” terang Dr Rashid.

Dr Rashid menegaskan, walaupun kanser prostat boleh dirawat dan disembuhkan, namun sikap mengambil mudah terhadap ancaman penyakit ini boleh mengundang padah seperti menyebabkan saluran kencing tersumbat yang membawa pula kepada penyakit batu karang, patah tulang dan lumpuh.

Sedikit babit lelaki bawah 50 tahun

Kanser prostat menyumbang 5.7 peratus kes, kanser keenam paling kerap dialami dalam kalangan lelaki di Malaysia. Kanser ini menjejaskan kelenjar prostat yang bersaiz normal adalah sebesar kacang walnut.

Dalam kalangan pesakit kanser prostat di negara ini, kaum Cina merekodkan bilangan insiden tertinggi dibandingkan Melayu dan India. Kadar kes meningkat selaras dengan pertambahan usia dan pesakit tertinggi adalah kumpulan warga emas.

Pakar Urologi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Datesh Daneshwar berkata, hanya sedikit bilangan kes membabitkan pesakit lelaki di bawah usia 50 tahun, manakala prostat lelaki lebih muda lebih terdedah kepada jangkitan dipanggil prostatitis yang juga menjadi punca kepada kesakitan pelvik yang kronik.

“Kesakitan pada bahagian pelvik ini boleh menyumbang kepada masalah seperti kegagalan ereksi dan ejakulasi tidak matang seterusnya menjejaskan kehidupan sosial dan trauma kepada emosi.

“Kelenjar prostat akan membesar seiring dengan pertambahan usia, tetapi ini adalah semula jadi dan tidak semestinya adalah penyakit. Ia seumpama rambut kita bertukar menjadi uban. Bagaimanapun, pembesaran kelenjar sehingga menekan saluran air kencing akan menyebabkan seseorang mengalami masalah dengan aliran air kencingnya.

“Oleh itu, dinasihatkan lelaki berusia lebih 50 tahun menemui pakar urologi untuk diagnosis, rundingan dan perancangan menjaga prostat supaya kekal sihat,” katanya.

Dr Datesh berkata, kanser prostat adalah penyakit yang lambat berkembang sehingga kebanyakan pesakit meninggal dunia tanpa mengetahui bahawa mereka menderita penyakit terbabit. Biasanya, di awal tahap kanser itu tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Gejala saluran kencing bawah menunjukkan rasa tidak selesa ketika membuang air kecil kepada kerap kencing, sakit ketika membuang air kecil sehingga tidak boleh membuang air kecil dan terpaksa memakai kateter untuk mengeluarkan air kencing.

“Bagaimanapun, terdapat senaman, ubatan mahupun pembedahan yang membolehkan pesakit membuang air kecil dan menjalani rutin kehidupan lebih baik.

“Mereka yang mengalami gejala berkenaan lebih baik mendapatkan bantuan profesional dan panduan kerana jika penyakit lewat dikesan dan tidak diuruskan lebih awal akan membawa masalah serius apabila mendatangkan kesan buruk jangka panjang kepada pundi kencing, buah pinggang dan fungsi seksual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:05 AM

Banyak kes akibat pilihan sendiri

Golongan muda yang tidak mengambil berat penjagaan kesihatan badan berisiko tinggi menghidap penyakit berbahaya seperti jantung koronari, iaitu antara penyakit pembunuh utama di seluruh dunia.

Di Malaysia, penyakit berkaitan peredaran darah seperti serangan jantung adalah antara punca utama kematian di hospital kerajaan dan swasta ini sejak puluhan tahun lalu.

Berdasarkan statistik di laman web rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, penyakit berkaitan peredaran darah merekodkan 24.71 peratus kematian di hospital kerajaan dan swasta di negara ini diikuti penyakit berkaitan sistem pernafasan, 21.70 peratus.

Penyakit berkaitan jangkitan kuman pula berada di tempat ketiga punca utama kematian di negara ini dengan 13.66 peratus manakala di kedudukan keempat adalah kanser, 13.62 peratus.

Pakar Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) Dr Beni Isman Rusani berkata, secara umum penyakit berkaitan jantung mempunyai pelbagai kategori. Di mana tiga jenis utama adalah penyakit arteri koronori (CAD), penyakit lemah jantung dan struktur jantung yang rosak atau tidak lengkap (seperti kerosakan injap dan jantung berlubang).

Katanya, penyakit paling utama adalah penyakit serangan jantung yang disebabkan oleh saluran darah ke jantung tersumbat. Ini adalah satu penyebab berlakunya kes kematian mengejut.

“Masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa saja terutama individu yang berusia 50 tahun ke atas, namun sejak akhir-akhir ini golongan muda berusia 40 tahun ke bawah turut berisiko tinggi mengalaminya.

“Malah, berdasarkan rekod IJN, pesakit serangan jantung paling muda dirujuk ke institut perubatan ini adalah berusia 21 tahun,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan data daripada National Cardiovascular Disease Database (NCVD) 2011-2013 yang membabitkan 18 hospital di seluruh negara, mendapati sebanyak 4,047 kes serangan jantung dilaporkan berlaku pada 2011, manakala pada 2012, jumlahnya meningkat kepada 4,589 kes dan pada 2013 pula keseluruhan kes serangan jantung yang direkodkan adalah sebanyak 6,127 kes. Daripada keseluruhan pesakit ini, 20 peratus adalah berusia bawah 40 tahun.

“Di IJN pula, pada 2014 sahaja sebanyak 562 kes berkaitan serangan jantung dirujuk kepada kami dan jumlah itu meningkat kepada 711 kes tahun lalu. Bagi 2016, sehingga Ogos lalu sebanyak 681 kes dirujuk kepada IJN,” katanya.

Menurut Dr Beni lagi, ada dua kategori utama penyakit arteri koronari iaitu penyebab tidak boleh ubah seperti umur, jantina (lelaki lebih berisiko berbanding wanita) dan genetik membabitkan sejarah keluarga.

Katanya, penyebab boleh ubah pula banyak berpunca daripada amalan merokok, menghidap penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, mempunyai tahap kolesterol tinggi serta obesiti.

Katanya, banyak kes yang dirujuk kepada IJN berpunca daripada individu itu sendiri yang bukan saja tidak mengamalkan gaya hidup sihat malah tidak mengambil pemakanan yang betul.

“Pengambilan makanan yang tidak dikawal boleh menyebabkan obesiti dan ia turut menyumbang risiko tinggi kepada CAD. Jadi, untuk mengurangkan risiko mendapat serangan jantung, kita perlu menjalani gaya hidup aktif dan mengambil makanan yang sihat,” katanya.

Jelas Dr Beni lagi, golongan muda juga perlu menyedari bahaya kolesterol kepada kesihatan jantung mereka. Ini kerana, masalah tahap kolesterol yang tinggi boleh berlaku pada sesiapa saja tanpa mengira tua atau muda, kurus mahu pun mempunyai masalah berat badan.

“Kolesterol inilah yang menyebabkan saluran darah (menuju ke jantung) tersumbat dan jika ia tidak dirawat, boleh membawa maut kerana bekalan oksigen dan darah tidak dapat sampai ke jantung.

“Jadi, untuk memastikan tahap kolesterol di dalam badan tidak berlebihan, amalkan pemakanan sihat dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak atau bergoreng, lebihkan sayur-sayuran dan bersenamlah secara konsisten,” katanya.

Katanya, kes kematian mengejut juga banyak berlaku kepada ahli sukan atau individu yang bersukan secara aktif dan ia sebenarnya bukan serangan jantung tetapi lebih kepada masalah genetik terutama berkaitan gangguan denyutan jantung secara tiba-tiba menjadi tidak stabil.

“Dalam istilah perubatan ia adalah ventricular fibrillation, namun 90 peratus kes kematian serangan jantung adalah diakibatkan oleh saluran darah tersumbat,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di Perak yang mahu dikenali sebagai Ravi, 35, berkata beliau mendapat serangan jantung secara tiba-tiba pada awal Ogos lalu dan ketika kejadian sedang bekerja serta dibantu rakan setugas yang segera membawanya ke bahagian kecemasan hospital.

Menurut Ravi, dia tidak menyangka akan mendapat serangan jantung kerana memikirkan usianya yang masih muda serta tiada sejarah keluarga mempunyai penyakit berkaitan jantung. Malah, kerjayanya sebagai pegawai perubatan turut menjadikan dia mengambil mudah aspek kesihatan kerana beranggapan ‘doktor mestilah sihat’.

Bagaimanapun, Ravi terlupa bahawa amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat yang diamalkan selama ini adalah faktor utama mengapa dia boleh terkena serangan jantung pada usia semuda itu.

“Memang jadual makan tidak menentu dan saya tidak teragak-agak untuk menikmati apa saja makanan apabila lapar termasuk ketika lewat malam. Selain itu, saya juga gemarkan makanan bergoreng serta berlemak dan semua faktor itu menyebabkan saluran darah saya tersumbat tanpa disedari.

“Bayangkan jika serangan itu berlaku ketika saya tidur atau berada jauh dari hospital dan lambat bertindak, kemungkinan besar tidak dapat diselamatkan lagi,” katanya ketika ditemui.

Ravi berkata, kesibukan kerja juga menyebabkan dia tidak dapat melakukan riadah secara tetap setiap minggu dan senamannya hanya sekadar berjalan ke sana-sini melawat pesakit di wad hospital.

“Saya menjalani rawatan Elektro Cardiogram (ECG) dan mendapati kadar denyutan jantung tidak normal seperti biasa. Ketika itu, denyutan jantung saya adalah 130 dan ia jauh lebih tinggi berbanding kadar denyutan biasa iaitu sekitar 90 hingga 100.

“Saya segera diberikan ubat untuk mencairkan darah dan kemudian dirujuk ke IJN untuk rawatan lanjut,” katanya yang diberikan cuti sakit selama dua minggu dan segera menjalani angiogram serta perlu memasangkan satu stent.

Kata Ravi, dia bersyukur kerana dapat mengesan penyakit ini lebih awal berikutan ia adalah penyakit pembunuh utama di seluruh dunia dan kelihatan seperti Tuhan memberinya peluang kedua untuk hidup.

Ini membuatkan beliau lebih menghargai kehidupan kerana ia boleh berlaku pada sesiapa saja termasuk golongan muda dan berharap ia dapat membuka mata masyarakat supaya tidak mengambil mudah aspek kesihatan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 5:02 AM

Alternatif lutut sendi besi

Assalamualaikum Prof Nizar,

Saya sering mengikuti artikel Prof dalam akhbar Sinar Harian. Saya amat tertarik dengan pelbagai rawatan sakit kronik terkini yang mampu mengembalikan kehidupan kepada pesakit. Bagi saya ini satu rahmat besar kepada semua pesakit kronik yang lama menderita kerana kebanyakan rawatan moden dan alternatif sebelum ini kurang menyerlah keberkesanannya.

foto-6Begini, bapa saya seorang pesara tentera berumur 75 tahun. Beliau mengidap sakit lutut dan tidak mampu berjalan jauh kerana menanggung kesakitan.

Dalam rumah beliau boleh berjalan hanya dengan menggunakan tongkat. Bila bangun pagi beliau tidak boleh berdiri dan berjalan sendiri kerana lutut menjadi kaku dan sakit. Malah beliau perlu dipapah untuk ke bilik air. Beliau sudah lama bersolat sambil duduk di kerusi.

Beliau tidak boleh bertinggung untuk buang air besar kerana pasti mengalami kesukaran berdiri semula.

Selain itu lututnya sentiasa berbunyi ‘klik’ apabila cuba digerakkan.

Ubat tahan sakit seperti ponstan dan celebrex sudah macam tidak berkesan lagi.

Saya merujuk bapa saya kepada seorang doktor pakar ortopedik, beliau kata bapa saya mengidap penyakit osteoarthritis (OA).

Doktor mencadangkan rawatan pembedahan menggantikan kedua-dua sendi lutut dengan sendi besi (total knee replacement) tapi bapa saya menolak.

Saya tertarik dengan rawatan suntikan radiofrequency yang mampu menyelesaikan hampir kesemua jenis kesakitan kronik.

Soalan saya, bolehkah kaedah suntikan ini membantu sakit lutut yang berpunca daripada OA?

Johari Muhammad, Shah Alam, Selangor.

Jawapan Prof Nizar:

Sakit lutut dalam kalangan orang berusia dinamakan osteoarthritis iaitu sejenis sakit sendi yang disebabkan oleh proses penuaan yang berlaku dalam sendi. Apa yang berlaku ialah permukaan rawan sendi menipis dan cecair sinovial (pelincir) dalam sendi juga berkurangan.Ruang sendi secara tidak langsung menjadi kecil di samping terdapat tulang baru yang tumbuh di kelilingnya.

Akibat semua perubahan ini pergerakan pada sendi akan menyebabkan geseran kasar dan menyakitkan.

Pada peringkat awal proses ini akan menimbulkan tindak balas inflamasi / keradangan, itu menjawab kenapa pada peringkat awal ubat than sakit seperti ponstan dan celebrex dapat melegakan sakit.

Tapi lama kelamaan proses artritis ini akan bertukar kepada proses degenerative iaitu satu bentuk proses penuaan. Maka tidak hairanlah ubat tahan sakit tidak lagi berkesan. Ubat yang sesuai pada peringkat ini ialah ubat yang bertindak terus pada pusat sensori saraf pusat (otak) seperti paracetamol, tramadol, ultracet dan oxycontin.

Semua sakit artritis cenderung untuk berbunyi ‘klik’ kerana geseran kasar sendi tadi dan juga daripada ligamen dan tendon otot yang mengalami beberapa perubahan degenerative pada masa sama.

Semua sakit sendi akan memberi gejala kaku / ketat sendi bila lama berehat seperti baru bangun tidur atau lama menonton TV. Jadi pantang larang untuk orang sakit sendi ialah jangan berehat lama.

Sendi perlu terus digerakkan. Rawatan radiofrequency (RF) untuk sakit lutut OA baru saja diperkenalkan setahun lalu. Penemuan besar ini telah memberi rahmat kepada pengidap sakit lutut seperti bapa anda.

Fokus utama rawatan RF ini ialah mengurangkan rasa sakit dalam lutut dengan ‘melemahkan’ saraf kecil yang mensarafi permukaan lutut.

Apa yang menariknya ialah, suntikan dilakukan di luar lutut bukan dalam lutut. Rawatan ini akan lebih berkesan jika suntikan cecair pelincir lutut (monovisc) turut dilakukan.

Jadi matlamat rawatan yang sempurna ialah dua dalam satu; mengurangkan sakit sendi lutut dan melincinkan pergerakan sendi lutut.

Kejayaannya boleh mencapai 80 peratus terutama bagi pesakit yang tidak mempunyai masalah lebihan berat badan.

Jelas sekali dengan kepakaran baru ini pembedahan sendi lutut boleh dielakkan. Pembedahan bukannya jalan terakhir untuk pesakit OA lutut yang kronik.

Walau bagaimanapun kaedah RF ini hanya sesuai untuk sakit lutut yang belum lagi timbul kecacatan (deformity) seperti lutut yang sudah bengkok.

Di Malaysia pakar sakit kronik (pain specialist) yang dapat melakukan suntikan RF ini amat terhad bilangannya.

Ramai tak sedar kanser usus besar

kanser-usus

Kuala Lumpur: “Ramai yang mengetahui mengenai kanser payudara, tetapi tidak ramai yang sedar dan mengambil berat mengenai kanser usus sedangkan ia merupakan kanser kedua terbesar yang menyerang lelaki dan wanita,” kata Ahli Majlis Tertinggi Yayasan Sime Darby (YSD) Datin Paduka Zaitoon Datuk Othman.

Menurut beliau, faktor kewangan, kekurangan masa serta usia yang semakin meningkat menyebabkan kanser usus atau juga dikenali kanser kolorektal sering diabaikan.
“Kebanyakan mereka yang kurang berkemampuan tidak melakukan pemeriksaan awal untuk mengesan penyakit ini kerana kos rawatan yang mahal.

“Sebab itu program ini diwujudkan untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah terutama mereka yang berusia menjalani pemeriksaan awal,” katanya dalam satu majlis anjuran YSD, di sini, semalam.
Pada majlis itu, Zaitoon mewakili YSD menyerahkan sumbangan RM135,000 kepada The Cancer Advocacy Society of Malaysia (EMPOWERED) sebagai tanda sokongan kepada program yang dianjurkan iaitu Program Kesedaran, Saringan dan Rawatan Barah Usus selama tujuh bulan bermula Januari tahun depan membabitkan penduduk Perumahan Awam Seri Sabah.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YSD Yatela Zainal Abidin serta Presiden yang juga Pengasas EMPOWERED Dr Christina.

Christina berkata, tiada tanda-tanda jelas menunjukkan seseorang diserang kanser usus menyebabkan ramai yang gagal mendapatkan rawatan di peringkat awal.
“Bagaimanapun, jika terdapat darah pada najis selain kerap berasa seperti ingin membuang air besar dan ia berlanjutan sehingga sebulan, pesakit dinasihatkan ke hospital untuk melakukan ujian dan rawatan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, kanser usus boleh dirawat sekiranya ia dikesan pada peringkat awal dan pesakit mendapatkan rawatan susulan dengan segera. “Justeru, saya mohon penduduk berikan kerjasama sepanjang program berlangsung untuk mencegah penyakit ini daripada menjadi lebih teruk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/29